UCAPAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad di London baru-baru ini benar-benar membuka minda saya. Melihat kepada ucapannya yang menyentuh persoalan menilai semula amalan kita dan kembali kepada Islam yang satu, ia memerlukan suatu usaha bersungguh-sungguh dan komitmen daripada bijak pandai dan pemikir Islam.
Saya berpendapat ada tiga prasyarat yang perlu bagi menjayakannya. Pertama, ia memerlukan keterbukaan sikap dan pemikiran, kedua perlu diterapkan sikap berbaik sangka sesama Islam dan ketiga ia mesti diusahakan oleh orang yang benar-benar berkuasa dan berpengaruh dalam Islam.
Keterbukaan sikap dan pemikiran yang dimaksudkan di sini adalah menolak sikap dan pemikiran yang berdasarkan kepada fanatisme puak, kumpulan atau mazhab yang mana ia adalah penghalang besar untuk kita bersatu. Kita hendaklah menyedari bahawa, yang ingin kita usahakan di sini ialah menyatukan pendapat dan tafsiran yang sudah berabad-abad lamanya berbeza.
Oleh itu, keterbukaan diperlukan untuk mencari titik permulaan ke arah penyatuan. Seperti dinyatakan Dr Mahathir, sebenarnya perbezaan tidak patut ada. Apa yang patut diusahakan adalah Islam yang satu seperti ketika Rasulullah masih hidup.
Bagaimanapun, langkah pertama ke arah Islam yang satu hendaklah dimulakan dengan keterbukaan dalam berhadapan dengan perbezaan tafsiran dan pendapat yang sedia wujud sekarang. Keterbukaan sikap dan pemikiran akan menjadikan umat Islam walaupun tidak dapat disatukan dalam satu mazhab, saling menghormati dan berlapang dada terhadap perbezaan yang timbul.
Usaha ini sebenarnya sudah berjaya direalisasikan dalam mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang terdiri daripada empat mazhab. Bayangkan keterbukaan sikap dan pemikiran kita dalam Ahli Sunnah telah diamalkan walaupun perbezaan yang timbul kadang kala membabitkan halal dan haram serta sah dan tidak sah, misalnya dalam masalah bersentuhan wanita dan lelaki sama ada membatalkan wuduk atau tidak dan dalam hal haiwan yang halal dimakan atau tidak.
Semangat toleransi dan berlapang dada ini sepatutnya digunakan juga apabila berhadapan dengan puak atau mazhab luar daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana perbezaan di antaranya tidak lebih daripada halal dan haram serta sah atau tidak.
Kedua, berbaik sangka sesama Islam. Untuk diterima sebagai umat Islam, seseorang itu wajib pada awal sekali mengucap dua kalimah syahadah. Dengan dua kalimah syahadah, seseorang itu dikatakan sudah menjadi seorang Muslim. Namun, apa yang sering berlaku ialah seseorang itu menaruh perasaan buruk sangka terhadap keislaman sesama Muslim hanya kerana ia tidak sealiran dengan fahaman yang dipegang. Ini adalah satu lagi halangan dalam penyatuan umat Islam.
Sebagai contoh, di Malaysia pernah berlaku kekecohan isu kafir mengkafir yang membawa kepada peristiwa dua imam, tidak hadir kenduri atas alasan sembelihan tidak sah dan sebagainya.
Di negara Islam lain seperti Pakistan misalnya berlaku pembunuhan di antara pengikut Syiah dengan golongan Wahabi, termasuk pembunuhan berlaku di dalam masjid hanya kerana tafsiran sempit yang menghalalkan darah pengikut Syiah, begitu juga dendam Syiah sehingga mengakibatkan perpecahan sesama Islam.
Ini semua berlaku kerana tiada perasaan berbaik sangka sesama Islam. Mereka yang melakukan perkara ini adalah dari golongan yang merasakan hanya Islam yang mereka tafsirkan saja yang betul dan menolak bulat-bulat tafsiran dan pandangan orang Islam lain tanpa mengkaji terlebih dulu.
Ketiga, urusan ke arah Islam yang satu ini haruslah diusahakan oleh orang yang layak dan berkuasa. Untuk menilai semula amalan kita dan merujuk kepada amalan yang menepati al-Quran dan Hadis yang sahih, ia memerlukan orang yang berkelayakan serta berkuasa.
Sebagai permulaannya, kita hendaklah mengumpulkan pemikir Islam serta alim ulama daripada semua mazhab dalam Islam untuk mencari titik pertemuan itu. Usaha ini memerlukan mereka yang berpengaruh dalam mazhab masin-masing kerana keluasan ilmu dan kemahiran yang ada di antara mereka.
Jika urusan yang penting seperti menyatukan umat Islam diusahakan oleh orang yang layak dan berkuasa, maka kebarangkalian untuk berhasil itu ada kerana keluasan ilmu mereka yang mengkaji kesemua mazhab di dalam Islam.
Tetapi, jika kita biarkan orang yang tidak berpengaruh, maka kita akan lihat perpecahan umat Islam akan terus melebar dan titik pertemuan hampir pasti tidak akan ditemui. Di Malaysia sendiri kita lihat orang yang tidak berpengaruh akan mengeluarkan pandangan yang semakin menyesatkan serta menimbulkan perpecahan seperti isu kafir mengkafir yang berlaku dulu yang lahir daripada suatu ‘amanat’, isu Tuhan mencarut dan samseng dan sebagainya.
Sebagai kesimpulannya, saya yakin gagasan pemikiran Dr Mahathir itu dapat direalisasikan oleh pemimpin kita seterusnya dan saya berharap sebagai permulaan, mesyuarat Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bulan depan akan dijadikan langkah pertama ke arah Islam yang satu.
Saiful Sidek Abdullah,
Johor Bahru.
Berita Harian, Isnin 29/9/03
Monday, September 29, 2003
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment