Oleh Anis Yusal Yusoff
Negara kita sejak kebelakangan ini seolah-olah berada dalam persimpangan. Kebanyakan masyarakat kita berbangga dengan pencapaian Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang telah menerajui negara ini selama 22 tahun dengan jayanya sehingga menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang paling pesat membangun antara negara-negara setaraf dengannya, malah turut dipilih sebagai negara contoh untuk diikuti oleh negara-negara mundur yang lain. Malaysia juga sering dipilih sebagai jurucakap Dunia Ketiga.
Namun pada masa yang sama, kejayaan kita juga menjadikan penyebab kenapa kita dicemburui oleh pelbagai pihak. Pada waktu di mana kita kini mampu tersenyum kerana berhak berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju, tetapi kita juga tidak lari daripada pelbagai masalah dalaman dan luar negara.
Pokok persoalannya, adakah kita sudah benar-benar maju? Atau kita masih tergolong dalam kelompok negara yang tidak mahu menerima kenyataan tentang masalah yang sedang dihadapi.
Sudah bersediakah kita untuk membenarkan rakyat membicarakan tentang masalah-masalah sosial ini secara terbuka atau adakah kita masih terus mahu menutup dan melupakan segala permasalahan kita?
Masih segar dalam ingatan saya bagaimana lutut saya dipegang dan kaki saya hampir dicium hanya kerana saya memberi sekeping tiket wayang kepada seorang miskin di kota New Delhi. Bila ditanya kenapa beliau melakukan demikian, beliau menjawab: ``Tuan tidak tahu betapa besarnya makna untuk saya dapat menonton wayang pada hari ini. Ia akan memberi peluang untuk saya melupakan segala kesengsaraan hidup yang saya alami walaupun untuk seketika.''
Pengalaman saya di Filipina juga tidak banyak bezanya, ketika berita di radio mengumumkan bahawa terdapat taufan dan angin kencang yang akan melanda kota Manila, teman-teman hanya sekadar tersenyum, sambil salah seorang daripada mereka mengambil sebuah gitar, saya dijemput ikut ke tingkat bawah tanah bangunan pejabat untuk turut serta dalam satu `pesta' nyanyian. Sambil angin meniup kencang dan menerbangkan bumbung-bumbung rumah serta bangunan di atas, rata-rata rakyat di sana lebih senang melupakan malapetaka tersebut sambil menghiburkan hati mereka di tempat yang selamat.
Saya mungkin tidak berlaku adil kerana membuat `generalisasi' kepada masyarakat di New Delhi dan Manila dalam membuat andaian kepada dua pengalaman saya itu, tetapi yang penting adalah bagaimana sesetengah masyarakat dunia cuba lari daripada kenyataan. Persoalannya di sini, adakah kita juga ingin lari daripada masalah dengan mengalihkan pandangan kita kepada perkara-perkara yang menghibur dan yang melekakan atau adakah kita bersedia untuk mengupas masalah yang melanda negara ini.
Saya masih ingat pesan seorang profesor, kata beliau, ``Tidak ada isu yang sensitif yang tidak boleh dibincangkan... yang sensitif cuma manusia, bukan isu!'' Pada masa yang sama, saya juga pernah dinasihatkan oleh seorang lagi sahabat bahawa kita harus belajar bersedia untuk bercanggah pendapat. Maknanya, peraturan nombor wahid dalam sesuatu perbincangan adalah untuk menghormati pendapat orang lain biarpun pendapat tersebut berbeza dengan kita.
Tetapi perbincangan, dialog, wacana, forum, seminar dan apa juga namanya program berbentuk diskusi yang interaktif harus kita popularkan. Hanya dengan cara ini kita dapat melahirkan bangsa berilmu. Bangsa berilmu akan terlahir daripada rakyat yang terbuka minda untuk menimba ilmu pengetahuan, membicarakan isu semasa serta mengupas realiti kehidupan yang kemudiannya dibincang dan dimanfaatkan bersama.
Tidak kira apa isunya, masyarakat berilmu harus sudah bersedia untuk tidak menyapu sampah ke bawah permaidani lagi. Kita sebenarnya memperkecil-kecilkan kebolehan kita sendiri. Kita sebenarnya sudah bersedia untuk menerokai angkasa raya, malah lebih daripada itu. Kejayaan demi kejayaan, saban hari di kaca TV kita dipertontonkan - yang terbaru, Malik Mydin (kini Datuk) berjaya menyeberangi Selat Inggeris. Dulu, Datuk Azhar Mansor berlayar mengelilingi dunia, juga tidak lupa pada yang menawan Gunung Everest dan banyak lagi.
Kita jangan hanya berharap menumpang tuah pada kejayaan orang seperti Michele Yeoh, Jimmy Choo dan ramai lagi kerana mereka ini menempa nama setelah mereka keluar dari negara ini. Mereka mampu berjaya kerana mereka diberi ruang dan batas-batas yang jauh berbeza daripada kita yang berada di Malaysia.
Yang ingin kita banggakan adalah apabila ada antara kita yang lahir daripada acuan Malaysia dan dibesarkan dalam persekitaran negara yang serba mencabar ini berjaya mencipta nama setanding dengan nama-nama besar di peringkat antarabangsa biar dalam apa juga bidang yang diceburi. Lebih hebat lagi kalau ada yang berani untuk bersuara atas dasar kebenaran biarpun ada waktunya yang benar itu amat pahit untuk ditelan.
Dalam konteks masyarakat berilmu atau yang lebih gemar digunakan istilah Inggerisnya Knowledge Society, adalah amat malang untuk kita terus-terusan berbicara tentang kemajuan dan kemakmuran negara yang dikecapi tetapi kita tidak berani untuk berbicara secara terbuka contohnya, masalah perpaduan kaum. Ada sesetengah pihak menjadi takut apabila isu bangsa Malaysia diketengahkan.
Negara yang sudah mencapai kemerdekaan selama 46 tahun sudah semestinya cukup dewasa untuk rakyatnya menggunakan akal fikiran yang matang serta tidak terlalu emosional dalam memperkatakan tentang sesuatu isu. Yang penting, setiap pihak harus mampu menganalisis fakta masing-masing dan mengutarakan hujah tanpa dipengaruhi sentimen kaum yang menebal dan sebaliknya meletakkan kemakmuran sebenar serta semangat muhibah yang sering kita ucapkan setiap kali menjelang kemerdekaan sebagai objektif utama yang ingin kita capai. Jangan hanya untuk iklan TV!
Dalam ucapan Dr. Mahathir ketika merasmikan persidangan tahunan MCA baru-baru ini secara terbuka membicarakan isu peri pentingnya perpaduan kaum dan perkongsian kuasa dalam negara ini.
Sambil memberi fakta sejarah, Dr. Mahathir juga secara terbuka bercakap tentang isu kuota antara kaum dan banyak lagi perkara yang mungkin kalau dibicarakan oleh orang lain akan ditafsir sebagai menimbulkan kemarahan kaum lain.
Soalnya siapa sebenarnya yang menjadi penafsir apa yang dianggap sensitif atau yang akan menimbulkan kemarahan kaum lain? Apa pula kriteria yang digunakan? Atau adakah hanya sebilangan orang yang membuat tekaan kedua tentang apa yang mungkin difikirkan oleh ketua mereka, maka mereka secara tidak rasmi menjadi `AJK Penapis' yang tak bertauliah? Mereka ini yang mungkin bertindak keterlaluan dalam mengehadkan apa yang boleh dibicarakan secara terbuka dan apa yang tidak.
Kita sedia maklum bahawa seboleh-bolehnya kita cuba menghindari sebarang pernyataan yang boleh menyinggung perasaan kaum-kaum dalam negara ini.
Dalam konteks ini - bukan hanya menyinggung perasaan kaum lain tetapi menyinggung perasaan sesama manusia. Ini lumrah alam dan sebagai manusia yang dianugerahkan Tuhan dengan akal fikiran maka sudah semestinya kita sedar bahawa kalau kita menyindir dan memperlekehkan orang lain, sudah tentu orang itu tidak akan terus berpeluk tubuh dan tersenyum mendengar sindiran kita.
Sudah pasti apabila takat kesabaran melampaui batas, orang tersebut akan bertindak balas. Oleh kerana itu kita harus bersopan dan berhemah dalam hidup bermasyarakat.
Malaysia sebagai sebuah negara kalau diumpamakan sebagai seorang manusia, sudah cukup matang dengan asam garam hidup. 46 tahun adalah usia yang cukup dewasa untuk kita semua memberi makna sebenar apa yang kita maksudkan dengan `Malaysia Boleh.' Tidak ada gunanya kalau kita terus menjerit `Malaysia Boleh' tapi pada masa yang sama, banyak perkara yang `tidak boleh' di Malaysia.
Dalam tempoh menyambut Bulan Kemerdekaan ini, harapan kita adalah untuk sekurang-kurangnya melihat Malaysia dengan rakyatnya yang boleh berfikir, boleh berbincang, boleh berhujah dan juga boleh berbalah secara bertamadun.
Utusan Malaysia, 1 September 2003
Monday, September 01, 2003
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment