Lidah Pengarang
Harapan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad kepada bumiputera, orang Melayu dan Islam amat tinggi. Dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan Ke-46 kelmarin, beliau terus mengulangi nasihat dan mengharapkan supaya orang Melayu memperbaiki kesilapan dan bangkit menjadi bangsa yang benar-benar merdeka.
Barangkali ada di kalangan kita yang tidak akan ambil peduli nasihat Dr. Mahathir kerana beliau akan berundur tidak lama lagi. Apatah lagi kehidupan orang Melayu kini sudah bertambah baik _ ada kereta, ada rumah dan tidak ada yang kebuluran. Berbeza dengan keadaan orang Melayu sebelum dan pada awal kemerdekaan negara dahulu.
Pemikiran cukuplah apa yang ada dan tidak perlu tamak mengejar harta dunia, sebaliknya yang perlu diutamakan ialah akhirat mungkin sudah sebati di jiwa orang Melayu Islam. Namun tanpa kita sedar fahaman sebegini yang menghambat masyarakat Melayu daripada berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi bangsa yang maju di negara sendiri.
Sebab itu, ada masyarakat Melayu yang tidak berasa apa-apa mengenai seruan kemajuan yang perlu dicapai oleh bangsa mereka berbanding kesedaran yang sudah lama wujud di kalangan kaum lain. Kaum lain bersungguh-sungguh memperbaiki diri dalam semua bidang.
Melayu mungkin tunduk kepala apabila menilai pencapaian yang dicapai oleh mereka selama hampir lima dekad mereka menikmati kemerdekaan. Pencapaian yang boleh dibanggakan hanya penguasaan politik tetapi penguasaan bidang ekonomi masih tidak banyak perubahan.
Lihat pula bidang sosial, budaya dan pendidikan orang Melayu yang terus menghadapi masalah. Berapa lama orang Melayu hendak bergantung pada kuasa politik bagi memberi mereka keistimewaan, sedangkan perkembangan negara dan dunia kini menuju budaya persaingan. Mungkin perkara ini yang tidak mahu disedari oleh Melayu. Mereka mahu kuasa politik yang dipegang oleh Melayu mesti membantu mereka dalam apa keadaan sekalipun.
Kita rasa terharu apabila Dr. Mahathir yang menyampaikan perutusan terakhir Hari Kebangsaannya selaku Perdana Menteri terpaksa meminta maaf kepada rakyat negara ini. Beliau kecewa kerana gagal membantu Melayu selama beliau memimpin negara ini. Pembangunan yang dinikmati oleh bumiputera, orang Melayu dan Islam yang sudah merdeka ini belum mencapai taraf yang sama dengan kaum lain.
Sedangkan begitu banyak keistimewaan, bantuan dan peluang diberikan tetapi sasaran yang ditetapkan masih belum menampakkan hasilnya. Jelas, sebahagian besar di kalangan kita belum menyerapkan nasihat dan pesanan yang dibuat oleh Perdana Menteri sejak 22 tahun beliau menerajui negara.
Kita hanya mendengar teguran dan kritikan beliau bagaimana hendak memajukan orang Melayu, tetapi kurang usaha dilakukan untuk melaksanakan apa yang disuruh oleh beliau. Sikap kita masih belum banyak berubah terutama rakyat yang kini majoritinya adalah generasi selepas merdeka. Kita tidak merasai penderitaan hidup di bawah pemerintahan kuasa bangsa asing seperti yang dilalui oleh generasi Perdana Menteri.
Begitu banyak nasihat dan panduan untuk mencapai kejayaan digariskan oleh Perdana Menteri. Sebagai penghormatan dan berterima kasih kepada Dr. Mahathir, setiap rakyat terutama Melayu perlu mengubah sikap terutama kurang sabar dan suka pada jalan mudah untuk cepat kaya. Pahatkan amanat beliau ke dalam pemikiran kita bahawa tidak ada kejayaan yang dicapai dengan cara mudah.
Utusan Malaysia, Isnin 1 Sept 2003
Monday, September 01, 2003
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment