SAYA memilih untuk bercakap mengenai perkara yang sangat sensitif dan kontroversi – Islam dan Ummah: Menilai dan Membentuk Semula Diri Kita Dalam Menghadapi Cabaran Baru. Saya berharap ucapan ini tidak menyentuh mana-mana pihak.
Pertama, adakah Islam perlu dinilai semula? Untuk menentukan sama ada ia perlu atau tidak, kita hendaklah memahami asas Islam, Islam sebenar seperti yang dibawa dan disampaikan oleh Rasulullah dan melihat sama ada wujud sebarang perbezaan antara Islam yang dibawanya dengan Islam yang kita percaya dan amalkan hari ini.
Kita tidak boleh mengubah asas Islam. Jika kita mengubah mesej dan ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw, kita sebenarnya mengubah agama Islam dan tidak menjadi Islam lagi. Apa yang boleh kita lakukan ialah menentukan sama ada Islam yang ada hari ini sudah menyimpang disebabkan oleh tafsiran terhadap asas Islam untuk menyesuaikannya dengan perubahan keadaan. Kita tidak boleh dan jangan menerima ‘Perjanjian Baru’ bagi Islam.
Islam telah mengubah kabilah Arab yang bermusuhan menjadi masyarakat maju dan terancang yang bersatu yang membina tamadun besar yang bertahan selama 1,300 tahun. Tetapi hari ini pengikut Islam iaitu Muslim, bukan lagi orang yang hebat seperti zaman permulaan Islam. Tamadun Islam yang hebat sudah hampir hilang dan orang Islam hari ini dipandang rendah, ditekan dan dihina, agama mereka dikatakan ajaran pengganas dan disebarkan oleh nabi yang ganas.
Tetapi, kita tahu melalui al-Quran bahawa Rasulullah saw membawa berita gembira kepada masyarakat manusia dan menjanjikan kebaikan bagi mereka yang menerima Islam.
Oleh itu, kita selalu berdoa kepada Allah supaya mendapat kebaikan (hasanah) di dunia dan kebaikan (hasanah) di akhirat.
Doa Nabi Adam Alaihissalam sewaktu baginda sampai ke dunia dalam Surah Al-Baqarah, ayat 201 jelas menyatakan baginda meminta: “Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat.”
Bolehkah kita secara jujur menyatakan keadaan orang Islam di dunia kini baik? Sudah tentu tidak dan jika tidak, adakah ia kerana Islam, kerana ajarannya? Adakah ia kerana perubahan sudah dilakukan kepada Islam maka dengan itu ia tidak lagi selari dengan ajaran Islam yang sebenar?
Perubahan terjadi kepada semua benda sepanjang masa. Semua agama berubah sepanjang masa. Semua idea dan nilai berubah sepanjang masa. Agama Kristian misalnya, telah berubah dan berubah lagi sehingga penganut awal Kristian sudah tentu mendapati mustahil untuk menyamakan ajaran Kristian mereka dengan yang diamalkan hari ini.
Dosa pada beberapa tahun lalu sekarang tidak lagi menjadi dosa, malah paderi pun boleh melakukannya secara terbuka.
Perkara yang sama berlaku kepada ajaran fahaman persamaan hak. Revolusi Perancis sepatutnya adalah mengenai kebebasan, persamaan dan persaudaraan tetapi tidak ada persamaan dikenakan kepada golongan bangsawan. Dengan berlalunya masa, ajaran revolusi itu bertukar menjadi sosialisme, komunisme dan kemudian diktator proletariat (golongan marhaen), segelintir diktator dalam rejim komunis. berjuta-juta orang dibunuh sewaktu perubahan idea persamaan hak dalam sosialisme dan komunisme. Sebenarnya ajaran kebebasan, persamaan dan persaudaraan dijadikan sebagai alasan terbaik untuk menafikan mereka yang menentang golongan elit komunis.
Hari ini kita melihat perkara yang sama berlaku kepada demokrasi. Ia menjadi alasan untuk mengenakan sekatan, menafikan makanan serta ubat dan akhirnya memerangi orang yang tidak bersalah, membunuh dan menghapuskan mereka, menceroboh dan menjajah negara mereka. Keputusan yang dibuat oleh majoriti diketepikan dengan hanya satu kuasa veto, walaupun ia bercakap mengenai usaha mempromosi proses demokrasi. Kita boleh menjangkakan banyak lagi perubahan terhadap penggunaan demokrasi sehinggalah kekejaman demokrasi akhirnya memusnah ajaran besar ini. Sama seperti komunis, sejarah akan berulang kembali.
Jelaslah bukan Islam saja yang perlu dinilai semula. Semua agama, ideologi dan sistem nilai dalam masyarakat manusia sedunia perlu dinilai semula. Tetapi apa yang kita bimbangkan hari ini ialah agama Islam. Adakah ia agama seperti yang disampaikan oleh Nabi Muhammad saw atau berbeza? Jika ia, maka adakah ia bertanggungjawab terhadap keadaan malang umat Islam hari ini? Atau adakah kerana agama ini sudah diubah menyebabkan ia tidak dapat menyampaikan kebaikan seperti dijanjikan? Adakah benar seperti sesetengah orang cuba meyakinkan kita bahawa penderitaan umat Islam hari ini sudah ditakdirkan oleh Allah dan orang Islam hanya perlu menerimanya? Adakah benar bahawa mereka akan mendapat syurga di akhirat kelak kerana penderitaan yang mereka alami di dunia?
Al-Quran menyatakan bahawa semua kejahatan datang daripada kita dan semua kebaikan datang daripada Allah. Jadi, kita boleh membuat kesimpulan bahawa nasib buruk yang kita alami hari ini, tekanan yang dikenakan orang lain terhadap kita dan celaan terhadap agama kita adalah kerana kita, bukan sudah ditakdirkan oleh Allah. Jika demikian, kita mesti mencari apakah kesalahan yang sudah kita lakukan yang tidak secocok dengan ajaran Islam dan membawa nasib malang kepada kita. Kita mesti tahu ini dan sedar kita perlu membetulkan diri kita serta kembali kepada Islam yang sebenar, dengan itu kita akan mendapat rahmat Allah.
Islam seperti semua umatnya tahu bukan saja sebuah agama, percaya kepada Tuhan yang satu, Allah, dan Rasul-Nya. Ia bukan saja mengenai pelaksanaan ibadat tertentu, menjauhi dosa. Islam adalah cara hidup – ad-din. Islam mengatur semua aspek kehidupan Muslim. Ia memandu tingkah laku mereka dan semua perkara yang mereka lakukan, sebagai individu dan masyarakat.
Tetapi adakah cara hidup kita hari ini mengikut Islam? Ramai daripada kita percaya bahawa dengan cara hidup Islam, kita mesti memakai pakaian tertentu, menyimpan janggut dan menutup tubuh badan kita atau ‘aurat’. Tetapi ini bukanlah segala-galanya mengenai cara hidup Islam. Kita mendirikan solat, berpuasa, membayar zakat dan menunaikan haji. Semua ini diwajibkan ke atas kita bersama-sama dengan ucapan syahadah kita beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Tetapi ini saja bukan ad-din, cara hidup yang selari dengan ajaran Islam.
Kehidupan bagi individu dan lain-lain, begitu juga untuk masyarakat, adalah lebih kompleks dan membabitkan banyak perkara. Kita mesti makan, berpakaian dan melindungi diri kita. Kita mesti menyelamatkan diri daripada semua jenis bahaya yang menggugat kita. Kita mesti memastikan diri kita sihat dan ini kita tidak boleh lakukan secara bersendirian. Kita memerlukan perkhidmatan dan sumbangan orang lain iaitu anggota masyarakat.
Seorang umat Islam bukan hak dirinya sendiri saja. Ia adalah hak masyarakat Islam, ummah. Kesejahteraan ummah adalah tanggungjawab semua anggota masyarakat Islam. Jika kesejahteraan itu tidak dipedulikan oleh individu atau secara bersama oleh masyarakat, maka semua orang Islam dalam masyarakat akan berdosa. Inilah yang dimaksudkan dengan fardu kifayah.
Sementara menunaikan fardu ain untuk mendapat pahala bagi individu, fardu kifayah adalah bagi masyarakat. Walaupun seseorang itu mengerjakan fardu ain, ia tidak menghapuskan dirinya daripada dosa jika keperluan masyarakat tidak diambil peduli oleh sebahagian anggota atau seluruh anggota masyarakat. Begitu juga dengan pengeluaran makanan, pakaian dan perlindungan untuk masyarakat menjadi sebahagian daripada tuntutan Islam, jika tidak seluruh ummah akan berdosa dan menerima hukuman di akhirat. Malah, seperti kita lihat, hukuman itu boleh datang walaupun di dunia.
Selain makanan, pakaian dan tempat berlindung, manusia memerlukan doktor untuk merawat kesihatan individu dan masyarakat, undang-undang dan penguatkuasaannya bagi memastikan keselamatan masyarakat dan anggotanya.
Seorang Muslim dan masyarakatnya sudah tentu memerlukan bimbingan agama supaya tidak menyeleweng daripada jalan yang ditetapkan. Untuk itu, mesti ada ulama dan ustaz. Tetapi sudah tentu bukan semua orang mesti menjadi ulama atau ustaz. Jika semua, sudah tentu tidak ada orang yang akan menghasilkan makanan, tempat tinggal dan pakaian. Jika ini berlaku, maka masyarakat, termasuk ulama akan berdosa kerana tidak ada seorang pun yang menyumbang kepada keperluan bukan rohani masyarakat untuk membolehkan cara hidup Islam diamalkan.
Jumlah ulama yang mahir dengan ajaran Islam mesti terhad supaya orang lain juga boleh melaksanakan fardu kifayah. Orang yang menunaikan fardu kifayah yang membolehkan ulama menunjukkan cara hidup Islam sebenar sudah tentu akan mendapat pahala. Tidak sewajarnya hanya yang belajar agama dan menjadi ulama saja mendapat pahala.
Peranan ulama dan ustaz memang penting, tetapi peranan pembekal makanan, pakaian, tempat berlindung dan keselamatan juga penting. Oleh kerana semua orang melaksanakan tugas masing-masing dan menyumbang kepada cara hidup Islam, semua mesti mendapat pahala, selain pahala yang diperoleh kerana mengerjakan fardu ain.
Kemudian tanggungjawab terpenting ialah mempertahankan ummah daripada serangan luar. Dalam al-Quran ada menyebut menjadi kewajipan umat Islam untuk bersiap sedia mempertahankan ummah, mempunyai kelengkapan perang dan senjata yang diperlukan. Malangnya, ramai yang lebih menekankan mengenai kuda dan senjata perang zaman silam, bukan pertahanan. Mereka percaya akan mendapat pahala jika boleh menunggang kuda kerana ia adalah antara perkara yang dilakukan Rasulullah.
Jika dengan berbuat begitu mereka tidak boleh mempertahankan diri, dalam dunia hari ini mereka seolah-olah tidak peduli. Bentuk persiapan lebih ditekankan berbanding tujuan persiapan. Kita akui negara Islam memang bersiap sedia untuk pertahanan mereka, tetapi mereka tidak mempunyai keupayaan untuk mengeluarkan senjata mereka sendiri. Ini kerana sebahagian besar mereka mengabaikan pengajian mengenai perkara berkaitan dengan penghasilan dan pengeluaran senjata moden. Sekali lagi dalam menafsirkan arahan membaca di dalam al-Quran, mereka lebih melihat kepada bentuk daripada kandungan ajaran Islam.
Keadaan yang sama juga berlaku dalam pelaksanaan undang-undang Islam. Di sebalik perintah al-Quran iaitu apabila kita menghukum, kita mesti menghukum dengan adil, kita masih menekankan kepentingan prosedur dan proses, mengetepikan ketidakadilan yang boleh berlaku. Dengan itu, jika seorang wanita dirogol dan ia membuat laporan terhadap perogol, jika ia tidak boleh mengemukakan empat saksi, maka ia bersalah kerana membuat dakwaan palsu dan patut disebat. Jika kemudian ia melahirkan anak, dan ada bukti berlaku perzinaan, maka ia akan dihukum rejam dengan batu. Sudah jelas pelaksanaan undang-undang Islam sebegini mengetepikan perintah untuk menghukum secara adil. Tetapi golongan ortodoks masih mempertahankan bahawa prosedur itu mesti dilaksanakan walaupun ia menyebabkan ketidakadilan. Jika ada sesiapa yang tidak bersetuju, maka ia dikatakan menentang hukum Islam dan dihukum sebagai bukan penganut Islam.
Jelas bahawa ajaran Islam ditafsir dengan cara yang salah. Natijahnya kebaikan yang dijanjikan kepada penganutnya tidak menunjukkan ajaran yang sebenar.
Malah, sebenarnya boleh dikatakan terdapat penghalang besar menyebabkan cara hidup Islam tidak dapat diamalkan dan kebaikannya dicapai. Pada zaman awal Islam, orang Islam patuh kepada perintah untuk ‘membaca’ iaitu mendapatkan ilmu, mengkaji ilmu orang Greek dan orang lain mengenai ilmu Falsafah, Perubatan, Sains dan Matematik. Mereka sebenarnya mengembangkan bidang ilmu ini sehingga orang Eropah dan bangsa lain terpaksa mendapatkan ilmu Greek ini menerusi terjemahan yang dibuat dalam bahasa Arab, disimpan di perpustakaan besar di Sepanyol dan Iraq hari ini serta tempat lain.
Orang Islam mendahului bangsa lain di dunia dalam bidang pertanian (makanan), dalam pengeluaran kapas dan sutera (pakaian) dan dalam seni bina dan pembinaan rumah dan bangunan awam. Mereka adalah pentadbir yang baik, memerintah negara yang luas dan menerima Islam. Sudah tentu mereka mampu mempertahankan wilayah mereka. Mereka adalah pelayar dan pedagang yang hebat, memberi kemakmuran kepada negara di mana mereka tinggal dan rakan kongsi mereka.
Disebabkan mendalamnya pengetahuan dalam semua bidang ilmu dan kecekapan mereka dalam mengumpul kekayaan, dalam pentadbiran dan pertahanan ketenteraan, tamadun Islam tumbuh dan berkembang membolehkan orang Islam hidup mengikut cara hidup yang dinyatakan dalam al-Quran.
Umat Islam mesti merujuk kepada al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan. Bagaimanapun, bagi umat Islam biasa, memahami kandungan al-Quran bukanlah sesuatu yang mudah. Terdapat ayat dalam al-Quran yang jelas maksudnya dan mudah difahami. Tetapi kebanyakan ayat adalah teladan dan dalam bentuk kisah pendek zaman sebelum dan selepas kedatangan Islam. Ia tidaklah tepat tetapi atas sebab itu, ia boleh menjadi panduan dalam menghadapi pelbagai kerenah dunia yang berpunca daripada perubahan seiring peredaran masa. Bagaimanapun, setiap orang akan membuat tafsiran berbeza mengenainya.
Malangnya, pelbagai tafsiran yang berbeza itu menyebabkan berlaku percanggahan sesama sendiri. Sebahagian daripada perbezaan dalam tafsiran itu adalah terlalu melampau hingga mendorong kepada perpecahan kumpulan agama di kalangan umat Islam. Ketika Nabi Muhammad masih hidup, Baginda menjadi tempat rujukan dan penjelasannya akan diterima oleh semua pihak. Sejurus selepas Baginda wafat, tafsiran al-Quran mulai berbeza dan pelbagai mazhab mulai muncul. Perpecahan paling besar ialah apabila lahirnya mazhab Sunni dan Syiah. Kedua-duanya kemudian berpecah pula menjadi pengikut imam berbeza. Seterusnya, ada pula mazhab lain yang muncul daripada ajaran persendirian ulama dan imam yang sebahagiannya membawa ajaran salah. Biasanya, amalan puak ini jauh berbeza daripada ajaran Islam sehingga mereka saling menuduh kononnya pihak satu lagi tidak mengikut ajaran Islam dan murtad. Dan disebabkan perkara itu, mereka saling bergaduh, malah sanggup berperang sesama sendiri. Keadaan kini sama seperti puak Arab yang bertelagah pada zaman sebelum Islam.
Berikutan perbezaan itu dan keperluan untuk menunjukkan apa yang dianggap sebagai nilai-nilai Islam, perkara yang kononnya tidak bersifat keagamaan diabaikan. Umat Islam pada zaman lebih awal mendapat pendidikan dan pengetahuan seimbang, manakala yang terkemudian cenderung memberi tumpuan kepada pengetahuan keagamaan saja. Walaupun umat Islam tidak mempunyai sistem paderi, ulama mempunyai peranan utama dalam masyarakat. Jika mereka menyalah tafsir Islam sama ada secara sengaja atau tidak, pengikut tidak akan menolak ajaran itu. Sejak sekian lama, ramai ulama yang menyalah tafsir Islam untuk meraih kepentingan peribadi, sekali gus menyebabkan lahirnya pelbagai puak yang taksub dan saling bertelagah.
Dengan dilengkapi pengetahuan hanya dalam bidang agama, ulama memandang rendah bidang ilmu yang lain. Bilangan pakar matematik, saintis, ahli fizik, pelayar dan ahli astronomi dalam dunia Islam semakin berkurangan apabila ulama dan pakar perundangan Islam meraih kuasa dan pengaruh di Sepanyol. Lama kelamaan, umat Islam kehilangan kedudukan sebagai peneraju dalam bidang berkenaan yang sebelumnya banyak menyumbang kepada keagungan tamadun Islam. Mereka berpandangan sempit dan mengabaikan pembangunan negara masing-masing. Mereka juga terlepas daripada menikmati Revolusi Perusahaan.
Tidak lama selepas itu, perpecahan kepada mazhab berbeza menjadi semakin rumit dengan penerimaan umat Islam terhadap konsep negara bangsa. Ini adalah konsep asing bagi mereka. Umat Islam tidak pernah mempunyai negara bangsa sedemikian. Mereka hanya mempunyai masyarakat Islam iaitu ummah. Kesetiaan mereka adalah kepada ummah tanpa mengira di mana mereka berada. Tetapi selepas British dan Perancis memecahkan Empayar Uthmaniyah, negara bangsa yang baru dibentuk tanpa mengambil kira aspek etnik atau sempadan geografi. Justeru, Syam yang terletak di utara Semenanjung Arab dan menjadi tumpuan peniaga dari benua Arab termasuk Nabi Muhammad, dibahagi menjadi Iraq, Lubnan, Syria dan Palestin. British menempatkan pemimpin feudal di wilayah yang dikuasainya, manakala Perancis menyifatkan kawasan taklukannya sebagai wilayah Perancis. Apabila wilayah kolonial ini merdeka, mereka menjadi negara berasingan dan bukan lagi Syam.
Apa juga negara yang dibentuk berikutan pemisahan itu, kesetiaan terhadap negara kini merumitkan komitmen terhadap ummah. Oleh itu, kesetiaan kepada negara mendorong kepada konflik dan peperangan antara umat Islam. Keretakan perpaduan umat Islam itu pula mendatangkan hasil lumayan kepada penjual senjata Eropah yang mengaut keuntungan besar.
Selepas keruntuhan Empayar Uthmaniyah Turki, umat Islam terus berpecah dan menjadi semakin lemah. Malah, pada satu ketika, tiada negara Islam yang tidak dijajah atau dikuasai oleh Eropah.
Beberapa penggerak reformasi Islam kemudian mulai mempersoalkan pandangan ortodoks ulama. Mereka mahu ‘memodenkan’ Islam untuk mencontohi bangsa Eropah. Sesetengahnya percaya umat Islam boleh menguasai semula kemasyhurannya jika mengetepikan Islam dan menjadi sekular. Mereka bagaimanapun gagal kerana berdepan dengan tentangan hebat daripada ulama ortodoks yang berpengaruh.
Masalahnya ialah sesetengah daripada penggerak reformasi itu terlalu dipengaruhi oleh konsep Eropah yang memisahkan negara daripada gereja. Ia mungkin boleh dilakukan dalam konteks Kristian. Ia mustahil berlaku dalam dunia Islam. Islam adalah cara hidup dan cara hidup tidak boleh dibahagikan kepada rohani dan kebendaan. Segala yang dilakukan oleh seseorang adalah cara hidup. Sistem kerajaan sesebuah negara dan pembangunannya juga adalah sebahagian daripada cara hidup.
Kita masih boleh menjadi Islam walaupun melaksanakan pentadbiran atau sistem moden, termasuk demokrasi. Ia boleh berlaku jika kita kembali kepada asas Islam. Masalahnya ialah umat Islam lebih cenderung memberi penekanan dan menghormati bentuk, berbanding kepentingan amalan dalam segala hal. Malah, dalam pemodenan pun mereka lebih ghairah melihat bentuknya.
Justeru, pakaian yang bertujuan menutup tubuh diterjemahkan sebagai memakai pakaian Arab. Bentuk pakaian lain, termasuk kot dan seluar panjang yang turut menutup tubuh dan sudah menjadi pakaian sejagat, dianggap tidak elok dan tidak mengikut cara Islam. Membaca untuk menambah pengetahuan ditafsir sebagai membaca untuk mendapatkan ilmu Islam saja. Mempertahankan ummah diterjemah sebagai menghormati senjata lama yang digunakan dalam peperangan.
Semua ini mungkin terlalu mudah bunyinya. Tetapi apa yang perlu dilakukan terhadap pengabaian kepentingan mencari ilmu dan pertahanan dalam dunia Islam? Mestikah umat Islam terus menerus membeli senjata daripada orang lain, sesetengahnya mungkin musuh Islam sendiri? Sudah tentu mereka memiliki kebolehan tersendiri untuk mencipta dan menghasilkan keperluan pertahanan sendiri. Untuk melakukannya, mereka mesti mempelajari sains, matematik, teknologi dan sebagainya.
Daripada menganggap pembelajaran bidang ini sebagai tidak sebaik mempelajari teologi Islam, ia sepatutnya dilihat sebagai ibadat yang akan menguntungkan individu itu dan ummah. Bagaimanapun, tumpuan terhadap pertahanan ummah memerlukan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi. Justeru, umat Islam perlu belajar untuk mengawal diri dan memastikan sistem yang diamalkan kerajaan mereka terlaksana sebaiknya.
Demokrasi adalah secocok dengan Islam. Nabi Muhammad saw tidak mencipta dinasti. Baginda membiarkan pengikutnya memilih sendiri ketua iaitu khalifah di kalangan mereka. Dinasti Islam hanya terbentuk selepas itu. Kita boleh mengatakan sistem yang mana ketuanya dipilih secara pengundian tanpa mengira keturunannya, adalah lebih Islam daripada cara lain. Selepas dipilih, ketua itu mesti menjaga rakyatnya, ummah. Menjaga bermaksud memastikan rakyatnya mempunyai makanan, pakaian dan tempat berlindung, selain selamat daripada ancaman dalaman atau luaran.
Jika asas Islam dipatuhi, konflik dan peperangan sesama Islam tidak akan berlaku. Asas tidak akan berbeza. Umat Islam adalah bersaudara. Inilah asas Islam. Sebaliknya, kita tidak mengamalkan persaudaraan itu. Kita sedia menuduh sesama sendiri sebagai murtad dan sanggup saling membunuh.
Islam membawa maksud keamanan. Kita saling mendoakan kesejahteraan sesama sendiri. Ini juga asas dalam Islam. Kita hanya melawan mereka yang menyerang kita, sama ada orang Islam atau tidak. Apabila musuh mahukan keamanan, umat Islam mesti bertindak balas secara positif. Tetapi bukan asas ini yang kita lakukan.
Umat Islam hari ini dilabel sebagai pengganas. Kita tidak menganggapnya sebagai adil. Kita mungkin betul. Namun hakikatnya ialah kita membunuh orang kerana marah tanpa mengira siapa yang dibunuh, tanpa mengira akibatnya. Perlu diakui, kita terdesak serta ditewaskan dan tidak banyak yang dapat kita lakukan untuk menentang ketidakadilan yang dikenakan terhadap umat Islam. Tetapi perlukah kita meluahkan kemarahan sesuka hati, membunuh orang yang tidak bersalah, termasuk mereka yang bersimpati dengan kita? Bukankah kita sepatutnya berhenti seketika untuk berfikir, merancang dan merangka strategi dengan menjadikan kemenangan mutlak sebagai matlamat?
Adakah mustahil untuk melakukannya? Jika kita berfikir secara rasional, kita mesti akui yang ia boleh dilakukan. Apa yang kita dapat selepas bergaduh hampir 100 tahun? Tiada apa. Kemarahan kita juga tidak reda. Malah, kita sebenarnya menjadi lebih marah.
Jika kita berfikir, kita mesti menyedari bahawa kesukaran yang sedang dialami bukannya ditakdirkan Allah. Ia berpunca sepenuhnya daripada perbuatan kita. Kita mengabai dan menyalah tafsir ajaran Islam. Kita menolak ilmu ketika kita sepatutnya mencari ilmu yang boleh membantu kita mengelak daripada diserang. Kita hanya tahu berserah dengan berdoa kepada Allah supaya membantu sedangkan Allah menyebut dalam al-Quran bahawa kita perlu menolong diri sendiri sebelum Allah menolong kita. Kita tidak membantu diri kita dengan cara yang disuruh oleh agama.
Kita tidak perlu mencipta semula Islam. Islam itu sempurna dan kekal sepanjang waktu. Zaman sekarang tidak menjadikan Islam tidak relevan. Ia relevan jika kita berpegang kepada asas, jika kita mentafsirkannya dengan betul. Masalahnya ialah dari segi tafsiran mengenai Islam. Ia bukan saja memecah-belahkan ummah, malah menjadikan ummah buta huruf, tidak mampu mengendalikan masalah semudah untuk mengendalikan diri.
Asas Islam masih relevan. Kita perlu kembali kepada asasnya, membaca untuk menimba ilmu, mengukuhkan persaudaraan dalam Islam, mengamalkan cara hidup yang dianjurkan Islam, inti pati ajaran Islam dalam al-Quran dan Hadis sahih dan bukannya bentuk Islam atau hadis daif.
Islam masih agama sempurna. Yang tidak sempurna ialah orang Islam yang membenarkan diri mereka menyalah tafsir Islam, menyimpang daripada ajaran Islam. Umat Islam mesti memperbetulkan diri mereka dan mereka yang perlu berubah, bukannya dengan mengetepikan Islam tetapi dengan kembali kepada asas Islam sebenar. Asas Islam adalah baik. Umat Islam terdahulu yang berjaya membina tamadun agung Islam semestinya adalah golongan fundamentalis kerana tidak timbul tafsiran bercanggah mengenai Islam yang mengelirukan atau membingungkan.
Nabi Muhammad hanya membawa satu agama Islam kepada kita. Kini sudah ada ratusan agama Islam. Kita kena kembali kepada Islam yang satu yang dibawa oleh Rasulullah. Kita mesti berbuat demikian sebagai manusia yang berfikir, bukan mengikut perasaan.
Kita boleh menghadapi cabaran masa kini tanpa melepaskan geram, kekecewaan dan kepahitan. Sebaliknya, kita mesti menggunakan akal fikiran yang dikurniakan Allah. Kita mesti mengenal pasti kekuatan kita, kita merancang dan merangka strategi. Allah mengurniakan kita dengan kekayaan yang tidak dapat dibayangkan. Kita mempunyai kekuatan tertentu yang perlu dikenal pasti dan digunakan dengan kepintaran.
Paling penting, kita perlu mengurangkan permusuhan sesama kita kalau pun tidak sepenuhnya, sekurang-kurangnya secara berpilih bagi menghadapi ancaman terhadap umat Islam.
Tiada keajaiban dalam kejayaan pengkritik kita. Kita boleh buat apa yang mereka buat. Tetapi kita perlu membuang beban sejarah dan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap masalah yang dihadapi sekarang. Insya-Allah, kita mampu mengatasi cabaran tanpa hilang kepercayaan atau terpesong daripada asas ajaran Islam.
Kita mesti menilai semula Islam yang kita amalkan. Kita tidak perlu menciptanya semula untuk berdepan dengan cabaran baru. Bagaimanapun, kita mesti memperbetulkan tafsiran salah mengenai Islam jika kita mahu mengatasi segala ugutan dan penghinaan yang dihadapi.
Berita Harian, Selasa 23/9/03
Wednesday, September 24, 2003
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment