Wednesday, September 24, 2003

PM bimbang umat Islam salah tafsir agama: Nilai semula amalan

Daripada Manja Ismail

LONDON: Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menyarankan agar Islam yang diamalkan kebanyakan penganutnya sekarang dinilai semula jika umat Islam mahu menangani pelbagai ancaman dan penghinaan terhadap agama itu dan umatnya secara berkesan.

Perdana Menteri berkata, walaupun Islam agama yang sempurna, kecenderungan penganutnya menyalahtafsirkan agama dan memesongkan ajarannya sehingga memecahbelahkan perpaduan ummah, memerlukan penilaian semula itu.

Sehubungan itu, beliau mengajak umat Islam di seluruh dunia kembali mengamalkan ajaran Islam sebenar yang relevan sepanjang zaman seperti menguasai ilmu, menjalin persaudaraan Islam, mengamalkan cara hidup seperti dituntut agama serta mempelajari agama seperti dalam al-Quran dan hadis sahih, bukannya dalam bentuk kulit atau daripada hadis daif.

“Adalah tidak mustahil untuk menjadi Islamik walaupun kita mengamalkan sistem dan pentadbiran moden termasuk demokrasi. Ia boleh dilakukan jika kita kembali semula kepada ajaran Islam sebenar.

“Masalahnya ialah umat Islam lebih cenderung memberi penekanan kepada kulit daripada isi dalam setiap perkara yang dilakukan. Malah, dalam pemodenan pun mereka melihat kepada kulit,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian ketika menyampaikan syarahan bertajuk ‘Islam dan Ummah: Menilai Semula dan Membina Semula Diri Kita Dalam Menghadapi Cabaran-cabaran Baru’ di Sekolah Pengajian Oriental dan Afrika, Universiti London di sini, semalam.

Perdana Menteri yang tiba di sini, pagi kelmarin diundang oleh universiti itu bagi menyampaikan pandangannya mengenai Islam, terutama dalam konteks dunia hari ini kepada ahli akademik dan pelajar sekolah pengajian itu sebelum berlepas untuk lawatan rasmi dua hari ke Sweden.

Dalam ucapannya selama kira-kira 40 minit itu, Perdana Menteri menghuraikan pelbagai faktor kejatuhan kegemilangan Islam sehingga menjadikan umatnya lemah dan dipandang rendah, manakala Islam sendiri dicap sebagai agama yang mengajar keganasan.

Sambil mengakui tajuk syarahannya itu amat sensitif dan kontroversial, Dr Mahathir berkata, yang jelas bukan saja Islam, malah semua agama, ideologi dan sistem nilai masyarakat dunia perlu berikutan perubahan daripada ajaran asal mereka akibat peredaran zaman.

Ajaran Kristian misalnya mengalami pelbagai perubahan sehingga hampir tiada lagi ajaran asal dengan apa yang dianggap dosa dulu tidak dianggap demikian sekarang sehingga paderi boleh melakukannya secara terbuka.

“Tetapi apa yang menjadi kebimbangan kita ialah agama Islam. Adakah ia kini agama yang dibawa Nabi Muhammad saw atau sudah berbeza? Jika berbeza, adakah ia menjadi punca keadaan buruk yang menimpa umat Islam sekarang?

“Atau adakah kerana agama itu sudah berubah sehingga ia tidak membawa kebaikan seperti dijanjikan? Adakah benar sesetengah dakwaan yang mahu kita percaya bahawa kesengsaraan umat Islam sekarang adalah takdir Allah dan mereka harus menerimanya? Apakah betul bahawa mereka akan menikmati syurga pada hari akhirat kerana mereka menderita di dunia,” kata Dr Mahathir.

Sambil memetik al-Quran yang bermaksud ‘semua yang buruk adalah daripada kita dan semua yang baik datang dari Allah’, Perdana Menteri berkata, umat Islam mesti akur bahawa nasib buruk dihadapi mereka sekarang seperti penindasan dan penghinaan ke atas Islam adalah berpunca daripada mereka sendiri, bukannya takdir.

Sehubungan itu, katanya, umat Islam perlu mencari apakah kesilapan mereka yang dilakukan tanpa mengikut ajaran Islam dan menyebabkan nasib buruk menimpa mereka.

“Kita perlu tahu ini dan sedar bahawa kita perlu memperbaiki diri dan kepada ajaran Islam sebenar supaya kita dikasihi Allah semula,” katanya.

Perdana Menteri berkata, umat Islam perlu memperbetulkan semula diri mereka kerana merekalah yang perlu berubah, bukan secara mengetepikan Islam tetapi dengan kembali semula kepada asas-asas sebenar Islam.

“Fundamental Islam adalah baik. Umat Islam terdahulu yang berjaya membina keagungan tamadun Islam semestinya fundamentalis kerana tidak banyak tafsiran bercanggah yang mengelirukan ummah ketika itu.

“Nabi Muhammad membawa hanya satu agama Islam. Hari ini ada beratus ratus Islam. Kita perlu kembali kepada Islam yang satu yang dibawa Rasulullah. Kita mesti melakukan ini sebagai orang yang waras, bukannya orang yang emosional," katanya.

Dr Mahathir bagaimanapun menegaskan, Islam tidak perlu dicipta semula kerana ia sudah cukup sempurna dan sesuai sepanjang zaman, malah keadaan semasa sekarang pun tidak menjadikan Islam tidak relevan. Islam tetap relevan jika umatnya berpegang kepada ajaran sebenar dan mentafsirnya dengan betul.

“Masalahnya ialah tafsiran mengenai Islam. Ia bukan saja memecahbelahkan ummah tetapi secara umumnya menjadikan mereka naif sehingga tidak mampu menangani walaupun masalah kecil dalam menguruskan diri mereka,” katanya.

Berita Harian, Selasa 23/9/03

No comments: