TIGA puluh tiga hari lagi, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad akan bersara. Secara kebetulan ia akan berlaku selepas 33 tahun beliau mengejutkan orang Melayu melalui bukunya ‘The Malay Dilemma.
Sebagaimana bukunya masih relevan sehingga hari ini, begitu jugalah Dr Mahathir di sepanjang berada dalam Kabinet, apatah lagi ketika menjadi teraju utamanya.
Setelah lebih tiga dekad berlalu dan setelah memasuki tahun ke-22 menjadi Perdana Menteri sejak 1981, beliau masih kecewa kerana tidak dapat menyelesaikan dilema orang Melayu.
The Malay Dilemma yang terhasil selepas peristiwa 13 Mei 1969, yang membawa kepada beliau disingkirkan daripada Umno, juga sebaliknya menjadi buku yang membuktikan pendirian Dr Mahathir tidak berubah sepanjang perjuangannya menjadi Perdana Menteri.
Penulis bukan mahu mengulas buku ini yang sudah lunyai diperkatakan sepanjang 22 tahun itu, tetapi ingin mengimbas betapa relevannya pemikiran Dr Mahathir dalam sejarah tamadun Melayu, bahkan dunia sekalipun.
Kepada sesiapa yang mengikuti perkembangan Dr Mahathir sebelum era beliau berkecimpung di arena politik sekalipun, malah ketika beliau masih menjadi penuntut perubatan di Universiti Malaya, Singapura, beliau telah mula menulis dan memperkatakan apa yang tersirat di sanubari jiwa dan hati kecilnya – ingin memperkasakan martabat orang Melayu.
Penulis pernah terbaca artikel pertama yang ditulis oleh beliau melalui kolumnya di atas nama pena ‘C.H.E. Det’ di akhbar Straits Times dan Sunday Times bertarikh 20 Julai 1947 di atas tajuk Malay Women Make Their Own Freedom ketika beliau masih menjadi penuntut perubatan lagi.
Secara ringkasnya, beliau mengajak wanita Melayu supaya mempunyai anjakan paradigma dalam menentukan martabat wanita Melayu ketika itu agar dapat bersaing dengan wanita lain walaupun ketika itu ramai wanita Melayu yang masih di dalam ‘kepompong budaya’ mereka.
Anjakan itu disambut dengan jayanya oleh wanita Melayu ketika itu dan hasilnya ialah apa yang wanita Melayu telah kecapi di depan mata kita hari ini.
Pada malam Jumaat lalu (waktu Malaysia), pada saat-saat akhir persaraannya, Dr Mahathir memperkatakan keyakinan isi hatinya sekali lagi disaksikan oleh jutaan penduduk dunia apabila beliau menyentuh mengenai peranan dan keberkesanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, terutama mengenai kuasa veto Amerika terhadap badan itu.
Bertahun-tahun lamanya sebelum beliau mengulanginya ketika berucap pada sesi ke-58 Perhimpunan Agung PBB Khamis lalu, Dr Mahathir sudah mengungkap betapa pincangnya sistem badan dunia itu.
Tiada yang menyambutnya atau lebih tepat berani mengakuinya, sehinggalah seminggu sebelum beliau muncul di PBB, apabila Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan, turut mengakui kelemahan sistem PBB itu.
Apa yang jelas, sehingga ke saat-saat akhir mahu mengucapkan sayonara, Dr Mahathir tetap teguh berdiri di atas landasan perjuangannya, bukan saja di negara ini malah pada arena antarabangsa.
Di luar sana, di PBB, dalam Pergerakan Negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), di kalangan negara membangun dan banyak lagi pertubuhan dunia, mereka merasakan kehadirannya. Mereka menghargai dan menghormati ketabahan dan keberanian beliau untuk memperkatakan sesuatu yang benar. Seluruh dunia mula merasai kesepiannya tanpa Dr Mahathir pada arena dunia.
Apa pula kita sebagai rakyat di Malaysia. Setiap individu, pada segenap pelusuk, ceruk rantau bandar mahupun desa, lebih-lebih lagi merasakannya. Sehinggakan ada yang tidak percaya, enggan percaya atau sengaja tidak mahu percaya beliau akan berundur diri.
Biarlah Dr Mahathir berundur, kembali ke pangkuan keluarganya. Kita ucapkan perpisahan kepada jasadnya yang bukan lagi menjadi Perdana Menteri, tetapi kita masih bersama dengan pemikiran yang membentuk perjuangannya.
Kita terimalah hakikat bahawa sudah sampai masanya ada peralihan pucuk kepemimpinan dan cara peralihan yang cukup unik ini adalah satu keistimewaan. Kita akan ada Perdana Menteri yang baru, mungkin dengan gaya kepemimpinan yang berbeza, tetapi landasan perjuangannya tetap serupa dengan matlamatnya juga sama.
Kalau dikaji sejarah perjuangan Dr Mahathir sejak beliau menjadi Perdana Menteri hingga sekarang, jelas kelihatan liku-liku perjuangannya, ombak dan badai, cabaran dan gugatan yang dihadapinya. Dua dekad beliau menjadi Perdana Menteri menampakkan kekuatan intelek cemerlang yang membawa perubahan begitu besar pada negara, agama dan rakyat Malaysia.
Kalau selepas ini Dr Mahathir hanya sebagai ahli biasa Umno, beliau adalah ahli parti yang masak dengan asam garam parti, ahli parti yang arif dengan kerenah dan budaya parti, ahli parti yang berpandangan jauh terhadap masa depan parti.
Kita belum tahu dan tidak dapat membayangkan usaha yang akan dilakukan oleh Dr Mahathir, namun kita amat menghargai hasrat sebegini dan mudah-mudahan beliau terus dianugerahkan Allah kesihatan yang baik bagi melaksanakan impian itu.
Semua orang tahu bahawa kegagalan Dr Mahathir membawa orang Melayu menghayati perjuangannya untuk memartabat dan menobatkan bangsa Melayu ke tahap yang lebih tinggi tidak tercapai sepenuhnya. Inilah cabaran dan wawasan yang akan ditinggalkan beliau untuk kita rakyat Malaysia sahut dan buktikan.
Sesungguhnya, dilema Mahathir untuk mengatasi ‘Dilema Melayu’ akan berterusan sehinggalah beliau mengundurkan diri sebagai Perdana Menteri. Nampaknya dilema Melayu semacam tidak akan ada kesudahannya.
Lantaran itu, penulis berpendapat bahawa hadiah yang paling berharga dan paling layak diberikan kepada beliau ialah menjadikan realiti setiap impiannya untuk Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang 2020 tercapai. Bukan banyak yang beliau idamkan.
Beliau mahu rakyat Malaysia menjadi bangsa yang maju, dihormati, berkemahiran, berakhlak dan cemerlang dalam setiap bidang yang diceburi dan tentu sekali orang Melayu bersatu padu. Selagi semua ini belum tercapai, maka belum selesai juga perjuangannya selagi hayat di kandung badan. Terima Kasih Dr Mahathir.
Berita Harian, Isnin 29/9/03
Monday, September 29, 2003
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment