Monday, September 29, 2003

Bina Islam melalui bisnes

Oleh Azman Anuar (Wartawan Utusan)

Baru-baru ini, di kota London, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menyeru umat Islam supaya kembali kepada agama yang satu iaitu Islam. Selain melalui dasar penerapan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran kerajaan, Perdana Menteri menyeru kita supaya mengamalkan prinsip agama yang satu iaitu yang diseru oleh Nabi Muhammad s.a.w.

``Saya bersetuju dengan pandangan beliau, bahawa Nabi Muhammad telah membawa kepada kita satu sahaja agama iaitu Islam. Tetapi hari ini, kita didedahkan dengan beratus-ratus agama Islam. Ini berlaku kerana umat Islam tidak menghayati ilmu Islam secara sempurna,'' kata Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan Forum Etika Perniagaan Islam di Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Muhyiddin ingin bersama Perdana Menteri untuk menyeru peniaga dan usahawan Melayu kembali mengamalkan prinsip-prinsip Islam bukan sahaja dalam tugas harian tetapi juga dalam usaha menjalankan perniagaan.

Langkah yang sama untuk mengembalikan Islam sebenar perlu dilakukan oleh kementerian-kementerian tertentu dalam aspek sosial, pendidikan dan lain-lain agar ia tidak tenggelam begitu saja tanpa langkah susulan.

Dalam aspek ekonomi, usahawan Islam contoh harus diketengahkan dengan nilai-nilai yang boleh diterima pakai oleh pengguna global. Malaysia yang kini menjadi umat Islam contoh harus memainkan peranan dalam mengembalikan imej Islam yang sebenar di mata dunia.

Kekuatan

Dari segi kekuatan ketenteraan, seperti kata Muhyiddin, sudah pasti umat Islam tidak lagi mempunyai kekuatan, malah dari segi sosial pula, kekuatan umat Islam semakin menjurus kepada unsur-unsur kemusnahan yang memerlukan penyusunan semula.

Begitu juga dari segi kekuasaan ekonomi, umat Islam masih jauh ketinggalan sedangkan ekonomi Islam memang mempunyai kekuatannya tersendiri. Di mana suatu ketika dahulu umat Islam mempunyai sistem perniagaan dan sistem ekonomi tersendiri yang berbeza dengan sistem ekonomi dunia ala fahaman kebendaan yang telah diguna pakai oleh semua negara pada masa ini.

Sejarah tidak berbohong bahawa dalam dunia perniagaan, umat Islam sebenarnya adalah umat yang paling handal berniaga. Namun kerana nilai asal perniagaan Islam itu telah dicampur-adukkan dengan nilai perniagaan ala kebendaan, contoh popular ialah amalan `pelincir yang berunsur rasuah'. Oleh sebab itu, wujudlah kelemahan dalam persaingan dan musnahlah keagungan perniagaan umat Islam.

Sebenarnya, mencari nafkah yang halal melalui bidang perniagaan memang digalakkan dan ia dipraktikkan oleh para anbiya sebelum Rasulullah lagi. Malah Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: Tidak ada makanan yang dimakan oleh seseorang yang lebih baik daripada hasil usaha tangannya sendiri. (Riwayat al-Bukhari).

Malangnya dalam berjuang untuk kehidupan di dunia yang semakin mencabar ini, umat Islam tidak terlepas daripada menghadapi pelbagai pergolakan globalisasi yang tidak menentu sama ada dari sudut percaturan politik, sosial mahupun ekonomi.

``Malah dalam menghadapi persaingan sengit ini sebahagian daripada kita yang cetek keimanannya akan mudah terjerumus kepada bentuk dan amalan perniagaan yang terpesong daripada yang disyariatkan oleh agama kita. Lantas, mana-mana niat yang terpesong ini sememangnya tidak akan diredhai oleh Allah s.w.t.,'' kata Muhyiddin.

Beliau menambah, oleh itu tidak hairanlah umat Islam hari ini dikatakan berada di kedudukan yang tidak selesa di mana kredibiliti umat Islam disangsikan dan dilabelkan umat yang menjurus kepada kemiskinan dan keganasan.

Di London, Dr. Mahathir mengingatkan juga bahawa ``Umat Islam dunia perlu menilai semula Islam yang mereka amalkan hari ini dan kembali kepada Islam yang sebenar jika mahu keluar daripada keadaan buruk yang sedang mereka hadapi.''

Menurut Muhyiddin, jika Perdana Menteri boleh berkata begitu, kita sebagai umat Islam contoh di Malaysia harus memulakannya.

Bagi pihak kementerian beliau, usaha sedang diambil untuk menilai semula etika serta prinsip-prinsip dan amalan perniagaan yang sedang dipraktikkan dalam perniagaan oleh usahawan Islam di Malaysia.

``Kita sedang mengambil langkah-langkah perlu dengan mengenal pasti etika sebenar Islam dalam perniagaan. Apa yang ingin kita lakukan ialah mendidik usahawan Islam supaya mereka tidak terpengaruh dengan perniagaan yang berteraskan pemikiran logikal manusia dengan mencampur-adukkan perniagaan berteraskan hukum syarak,'' jelas beliau.

Bagi memastikan usaha tersebut berjaya, Forum dan Latihan Etika Perniagaan Islam yang dilancarkan Khamis lalu diharap akan menjadi titik tolak atau permulaan kepada peniaga, kakitangan syarikat korporat serta individu dalam dunia perniagaan untuk berusaha mengembalikan landasan perniagaan Islam secara serius agar prinsip dan amalan yang diseru oleh Islam dapat dijalankan dengan sempurna.

Membantu

Sebagai umat Islam contoh, peniaga Melayu/Islam tidak boleh lagi mengharapkan pertolongan bulat-bulat daripada kuasa besar dunia untuk membantu umat Islam.

``Kita sudah tidak boleh mengharap akan adanya keseimbangan dunia pada masa ini dari segi ekonomi, apatah lagi percaturan perniagaan.

``Kalau kita ikut secara total yang dianjurkan oleh ekonomi sekular, nescaya kita akan terjerumus dalam kancah persaingan rekaan mereka di mana mereka ini adalah aktor utama atau pelakon dunia sementara kita hanya pesaing kerdil yang ketinggalan dan miskin,'' kata Muhyiddin.

Oleh itu umat Islam patut berubah seperti firman Allah dalam surah ar-Rad 13:11 yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.

Dalam ayat itu, penekanan berat yang ditegaskan oleh Allah ialah perkataan `berubah'. Apa yang berlaku di depan mata kita sekarang ialah umat Islam masih menjadi umat yang miskin, umat yang meminta-minta dan umat yang sering merendahkan kebolehan mereka sendiri.

Umat Islam sering mengiakan sistem yang ada tanpa melihat semula sistem perniagaan Islam yang sebenarnya lebih kuat, mapan dan sistem yang berpaut kepada sistem keadilan yang bersepadu dan menyeluruh dalam semua aspek kehidupan.

Tetapi kenapa orang Islam lemah dalam perniagaan masa kini? Adakah ia disebabkan hukum atau usahawan Islam terlalu tegar mengikut hukum dan melupakan sistem perniagaan yang merangkumi layanan, perkhidmatan selepas jualan dan sebagainya.

``Sebab itu peniaga Islam usah terlampau melihat soal hukum kerana mereka juga perlu memberi tumpuan kepada suasana persekitaran,'' komen Pengerusi Program Latihan Etika Perniagaan Islam, Prof. Dr. Abd. Razak Omar.

Dalam mengharungi cabaran untuk menggalakkan etika perniagaan Islam, beliau menjelaskan usahawan Islam perlu bijak menyesuaikan pendekatan dengan kehendak semasa.

``Orang Islam perlu bijak menyesuaikan strategi perniagaan yang dipopularkan Barat dengan menerapkan cara Islam.

Jika tidak lebih, sistem yang ditawarkan oleh Islam sekurang-kurangnya perlu sama dengan sistem yang ditawarkan oleh Barat. Barulah orang Islam akan ikut menggunakan sistem ini. Inilah cabarannya,'' kata beliau yang juga adalah Pengarah Yayasan Nurul Yaqeen.

Tegas beliau, perniagaan mengikut hukum Islam masih belum memadai jika tidak diubah strategi yang sesuai dengan perkembangan semasa terutama mengikut kehendak masyarakat pengguna sekarang yang lebih mengutamakan layanan, kemudahan, harga yang murah dan perkhidmatan yang terbaik daripada ahli perniagaan.

Oleh itu ahli perniagaan Islam harus bijak mengeksploitasi suasana ini di samping meningkatkan imej sistem perniagaan Islam.

Apa yang berlaku sekarang ialah kekurangan orang Islam sendiri menggunakan perkhidmatan berlandaskan sistem ekonomi Islam.

Mereka tidak boleh dipersalahkan kerana terdapat beberapa kelemahan perkhidmatan dan kemudahan sistem ekonomi Islam yang ditawarkan kepada pelanggan Islam sendiri.

Etika

Sebenarnya etika perniagaan Islam sedang giat dipromosikan oleh kementerian berkenaan dan modul-modul latihan untuk usahawan Islam telah disiapkan oleh Yayasan Nurul Yaqeen. Usaha ini adalah sebahagian daripada proses penerapan nilai-nilai Islam dalam perniagaan.

Bagi menyahut seruan Dr. Mahathir supaya kembali kepada Islam yang sebenar dari sudut ekonomi, malah bersesuaian dengan Sidang Kemuncak Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) Ke-10 di Putrajaya Oktober ini, maka peniaga dan usahawan Islam di Malaysia harus dan wajib menjadi usahawan Islam contoh di mata dunia.

Untuk mencapai hakikat itu, mereka harus melakukan perubahan dan pembaharuan dalam perniagaan Islam. Amalan perniagaan biasa harus diubah dengan memulakan amalan etika perniagaan Islam itu sendiri supaya kita dapat mengembalikan kewibawaan dan maruah sebagai umat yang disegani di dunia.

Utusan Malaysia Isnin 29/9/03

No comments: