Sejenak Bersama Mualim
SATU perbezaan yang agak menarik dalam penyebaran dakwah melalui media pada kebelakangan ini ialah penekanan terhadap iman yang dulu kurang dikupas oleh para penceramah sama ada di TV atau radio.
Dalam tempoh sedekad yang lalu, para penceramah atau panel forum terlalu mengongkong skop perbincangan kepada syariat agama Islam. Perkataan Islam lumrah disebut, tetapi iman jarang sekali.
Di dalam khutbah Jumaat juga soal keimanan jarang mendapat tempat, kecuali dinyatakan secara sepintas lalu.
Pada hemat Mualim ada beberapa faktor kemungkinan yang menyebabkan tajuk iman tidak diberikan perhatian. Pertama, kalangan yang berilmu agama mengandaikan bahawa masyarakat umum sudah memahami tentang iman.
Kedua, mungkin secara umum umat Islam sendiri beranggapan bahawa iman itu adalah sesuatu yang tersemai secara automatik dalam sanubari seseorang Muslim. Kekukuhan iman juga dianggap seolah-olah hanya bergantung kepada kesungguhan seseorang melaksanakan tuntutan syariat Islam.
Ketiga, para ilmuwan Islam itu sendiri kurang mengerti tentang iman untuk berbicara ke tahap yang berkesan.
Sebenarnya iman adalah perkara yang paling asas dalam agama. Syariat antara agama yang Allah s.w.t redhai sejak zaman nabi-nabi sebelum Muhammad s.a.w adalah berbeza, tetapi bentuk iman yang dimiliki oleh manusia yang beriman adalah tidak berbeza sejak dulu hingga sekarang.
Malah pada zaman sebelum manusia diperintahkan dengan syariat yang lengkap, iman sudah mencukupi untuk menjadi asas penilaian diri mereka di sisi Allah.
Secara mudah, iman boleh ditakrifkan sebagai keyakinan dalam diri seseorang manusia terhadap Tuhan. Jika ditanya, amat mudah bagi sesiapapun untuk menjawab bahawa dia beriman kepada Tuhan atau Allah Yang Maha Esa.
Namun yang betul-betul mengetahui sama ada dirinya benar-benar beriman hanyalah tuan tubuh itu sendiri dan Allah Yang Maha Mengetahui.
Sebab itulah pernah sekumpulan orang-orang Badwi datang kepada Rasulullah dengan mengaku bahawa diri mereka beriman, diturunkan ayat kepada baginda yang menerangkan bahawa mereka sebenarnya belum beriman.
Di dalam Quran terdapat banyak ayat yang boleh dijadikan panduan untuk memastikan sama ada diri kita ini termasuk dalam golongan orang yang beriman.
``Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman; (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya; dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna; dan orang-orang yang menunaikan zakat; dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela.
``Barang siapa yang mencari di sebalik itu, maka mereka adalah orang-orang yang melampaui batas.
``Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat yang (dipikulnya) dan janjinya, dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya.''- Al Mukminun 1 hingga 9.
Sekadar menafsir maksud ayat-ayat Al Mukminun itu, ambil sahajalah bab khusyuk dalam sembahyang sebagai panduan untuk mengenali keimanan dalam diri kita.
Banyak orang menunaikan sembahyang sebagai rukun Islam, tetapi belum tentu khusyuk sembahyang mereka. Orang lain tidak tahu sama ada kita khusyuk atau tidak. Hanya diri kita sendiri yang tahu.
Kekhusyukan dalam sembahyang akan menjadikan seseorang suka atau gemar bersolat. Sebab itulah Rasulullah suka bersembahyang malam ketika bersendirian sehingga bengkak kaki baginda.
Amat sukar untuk menceritakan kepada orang lain tentang kelazatan bersembahyang kerana ia merupakan kenikmatan yang lahir daripada kehampiran diri kita dengan Allah.
Kekhusyukan dalam sembahyang sukar dicapai jika kita melaksanakannya sekadar untuk mencari pahala, atau untuk mengelakkan dosa. Soal pahala dan dosa ini hanya menjadi pegangan orang-orang yang baru mengenali agama, terutama bagi kanak-kanak.
Kekhusyukan dan seterusnya kelazatan dalam sembahyang hanya boleh dicapai melalui satu proses yang bermula dengan mengenal Allah.
Sabda Rasulullah, mulanya agama ialah dengan mengenali Allah (Awaluddin makrifatullah). Maka carilah jalan untuk mengenali Allah yang tidak boleh dilihat dan tidak boleh dibayangkan dalam apa bentuk sekalipun. Mohonlah dengan ikhlas kepada Allah supaya dipimpin-Nya anda ke jalan itu.
Dalam surah Qaf ayat 16, Allah berfirman: ``Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan dalam hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.''
Allah lebih dekat kepada manusia daripada urat lehernya, tetapi malangnya kebanyakan manusia tidak mengenali-Nya, termasuklah mereka yang mengaku beragama Islam. Apabila tidak mengenali-Nya, maka kita tidak akan terasa kehampiran-Nya.
Yang merasai kehampiran-Nya ialah hati kita yang menjadi lubuk perasaan dan nafsu kita. Jika hati kita tidak merasai kehampiran-Nya, bagaimana kita mahu khusyuk dalam sembahyang.
Jika hati kita sudah mengenali Allah, barulah kita akan terasa kehampiran-Nya. Keadaan ini akan melahirkan perasaan gemetar di hati kita.
``Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal.'' - Al Anfaal:2.
Apabila hati gemetar disebut nama Allah, sembahyang bukan sahaja akan menjadi khusyuk, malah lazat kerana seluruh perlakuan solat itu adalah mengingati dan menyebut nama-Nya. Itulah tanda kita beriman.
Bicara Ugama - Utusan Malaysia 8/9/03
Wednesday, September 10, 2003
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment