Banyak pihak mempersoalkan pengambilalihan Jaring oleh Telekom Malaysia (TM). Kebanyakan antara mereka juga mencemuh cadangan yang hampir pasti berlaku itu. Ada yang mendakwa perkara tersebut akan membawa kepada sistem monopoli.
Terdapat juga pihak yang mendakwa langkah tersebut akan mengundang penurunan mutu perkhidmatan Jaring kepada tahap perkhidmatan yang sama seperti TMNet dan ada juga di kalangan propembangkang yang menuding jari ke arah pemimpin negara dan ahli-ahli politik.
Kekeliruan mengenai perkara ini perlu diberikan penjelasan.
Pengambilalihan Jaring oleh TMNet sememangnya menunjukkan penurunan jumlah pembekal Internet (ISP) di negara ini daripada empat kepada tiga sahaja.
Bagaimanapun, penurunan tersebut tidak terlalu ketara untuk membentuk sistem monopoli perniagaan kerana masih wujud persaingan di antara TMNet, MaxisNet dan TimeNet.
Masing-masing mempunyai kebaikan dan kelemahan sendiri yang mampu dinilai oleh pengguna. Melihat contoh penyerapan Celcom dan TM Touch telah menyebabkan TM Touch menjadi penyedia perkhidmatan telefon mudah alih yang kedua terbesar selepas Maxis (Binariang).
Kebaikan
Melalui konsep ekonomi, kedua-kedua syarikat itu telah mengimbangi kuasa pasaran yang memberi kebaikan kepada pengguna telefon mudah alih melalui persaingan yang sihat seterusnya berlumba-lumba menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan murah.
Tambahan pula, pembelian Jaring tersebut bukanlah sesuatu yang boleh dikatakan menindas atau merugikan pengguna.
Sebaliknya, pengambilalihan tersebut mampu menjana perkhidmatan yang lebih baik sama ada kepada pengguna Jaring sedia ada, mahupun pengguna TMNet.
Pengambilalihan Jaring tidak bermakna TMNet mengambil alih pengguna Jaring sedia ada semata-mata.
Tetapi turut pengambilalihan aset, modal dan hutang yang ditanggung oleh Jaring.
Penggunaan modal pusingan yang lebih besar selepas dicantumkan dengan pusingan modal TMNet diharapkan dapat digunakan untuk menyediakan mutu dan teknologi perkhidmatan yang lebih baik.
Manakala, kepakaran Jaring sebagai ISP pertama di negara ini sekiranya dikongsi bersama TM yang lebih arif tentang pengurusan telekomunikasi dan dijana dengan pusingan modal yang tinggi tentunya menjanjikan hasil yang lebih baik.
Di samping itu, nasib pengguna Jaring akan lebih terbela melalui pengambil alihan ini disebabkan pengurangan kos bayaran telekomunikasi Jaring-TM, kerana melalui pembayaran yang boleh dibuat melalui subsidi TM sendiri atau diskaun terhadap subsidiari yang dimiliki oleh syarikat induk yang sama (TM sebagai syarikat induk manakala TMNet dan Jaring sebagai subsidiari).
Nasib pengguna akan menjadi lebih baik melalui pusat-pusat perkhidmatan yang boleh dikongsi antara TMNet dan Jaring.
Selepas pengambil alihan Jaring, kemungkinan besar pengguna Jaring tidak lagi perlu ke Pusat Perkhidmatan Jaring semata-mata sebaliknya boleh memilih untuk Pusat Perkhidmatan TMNet yang mungkin lebih hampir dengan rumah mereka atau hanya perlu ke Kedai Telekom.
Ini kerana sudah menjadi kebiasaan suatu penyelarasan sistem akan dilakukan seperti mana apabila TM mengambil alih Celcom di mana pengguna TM Touch boleh membayar bil mereka di kaunter perkhidmatan Celcom dan sebaliknya.
Pertambahan pusat-pusat perkhidmatan ini juga mampu menjadi pusat hentian tunggal dalam mengembangkan bentuk perkhidmatan.
Tujuan
Pembentangan Bajet 2004 oleh Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang juga selaku Perdana Menteri menunjukkan penurunan kutipan hasil kerajaan dan sebaliknya peningkatan peruntukan perbelanjaan negara untuk program-program dan projek-projek pembangunan.
Oleh yang demikian, salah satu tujuan penjualan Jaring kepada TM adalah untuk mengurangkan kos pembiayaan kerajaan. Sudah diketahui umum bahawa Jaring yang di bawah kelolaan Mimos menggunakan dana kerajaan dalam operasi mereka.
Dana yang diperoleh daripada pembayar cukai adalah tidak bertepatan untuk membiayai kos operasi Jaring yang semakin meningkat dari tahun ke tahun untuk membiayai pembangunan teknologi maklumat dan telekomunikasi yang sentiasa berubah.
Sedangkan pembiayaan itu boleh disalurkan ke bidang lain yang juga memerlukan tumpuan seperti pembangunan MSC ataupun pembangunan MM Chip yang dilancarkan baru-baru ini.
Oleh yang demikian, perlu ditekankan bahawa pengambilalihan Jaring melalui TMNet oleh TM tidak perlu dipandang serong. Sebaliknya, perlu diberikan sokongan dalam memperbaiki tahap perkhidmatan yang ditawarkan.
Ñ HAZIAN IBRAHIM, Cyberjaya, Selangor.
Kirim pendapat anda melalui faks 03-92239854
atau pendapat@utusan.com.my
Utusan Malaysia, Jumaat 19/9/03
Friday, September 19, 2003
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment