Oleh SUBAHIR TAIB
``MENGAPA sejak sebelum merdeka hingga ke zaman manusia berlumba-lumba mencipta keajaiban, bangsa Melayu gagal dilihat sebagai bangsa yang mampu bersaing. Hanya orang Melayu mampu menjawab kemusykilan tersebut - Satu persoalan yang ditinggalkan oleh wartawan Utusan Noraini Abd Razak di akhir rencana beliau bertajuk: Kemampuan Melayu berhadapan pengaruh luar tersiar dalam Utusan Malaysia pada 20 Ogos lalu. Penulis cuba menjawabnya.
Rencana tersebut ditulis untuk memberikan liputan tentang satu seminar yang beliau hadiri baru-baru ini. Iaitu seminar Za'ba Mengenai Alam Melayu I. Ia dianjurkan oleh Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris bertepatan dengan pelbagai perubahan dan cabaran kesan proses globalisasi dan pertemuan tamadun. Temanya ialah, Nilai-Nilai Peradaban Melayu.
Apa yang penulis lihat dalam pembahasan isu global ini ialah saranan-saranan lama pihak lain yang diberikan tajuk atau nafas baru. Sebagai contohnya, saranan meningkatkan penggunaan teknologi dalam menghasilkan produk yang berkualiti tetapi menggunakan kos yang rendah, bersikap profesional, mempunyai wawasan global serta meningkatkan sekala pengeluaran. Ini merujuk kepada kertas kerja seminar bertajuk: Membina Daya Saing Usahawan Melayu Menyusur Arus Globalisasi yang dibentangkan oleh sekumpulan pensyarah Jabatan Pembangunan Sumber Manusia, Universiti Teknologi Malaysia.
Sementara isu tempatan yang cuba mereka kaitkan ialah permasalahan sikap orang Melayu. Mereka terus menegur perlakuan buruk orang Melayu seperti suka mengambil jalan mudah, tidak mahu berkerja keras, bertindak secara tidak profesional, kurang senang melihat bangsanya maju dan sebagainya.
Mereka mahu orang Melayu membuangnya. Jika tidak membuangnya orang Melayu akan tersisih dalam proses globalisasi dari segi pembinaan daya saing yang kuat bagi merebut peluang perniagaan. Tetapi yang memusykilkan mereka, semakin orang Melayu ditegur perlakuan buruknya semakin menjadi-jadi perlakuannya itu.
Penulis faham mereka menggunakan pendekatan psikologi secara memberi ingatan berterusan. Dengan harapan orang Melayu akan membuang sikap buruknya itu suatu hari nanti. Apa yang mereka lakukan ini tidak ubah seperti seorang isteri yang tidak henti-henti mengingatkan suaminya supaya berhenti merokok.
Bukan begitu? Tetapi, berapa ramai suami yang berhenti merokok setelah asyik diingatkan isterinya? Bukankah perokok akan mula berhenti setelah diserang penyakit akut?
Dalam konteks ini serta tanpa prasangka penulis memberikan empat sebab mengapa mereka (pihak-pihak yang mahukan orang Melayu membuang perlakuan buruknya) terikat dengan pendekatan psikologi itu dalam memikirkan cara memajukan orang Melayu era globalisasi.
Pertama, menggunakan cara mudah dalam menyelesaikan masalah masyarakat seperti pendekatan psikologi, walhal cara yang berkesan ialah dengan melakukan kajian menyeluruh dan bersepadu.
Cara mudah boleh dimaksudkan cara menyelesaikan masalah menggunakan logik akal. Dalam sesi pembahasan misalnya, mula-mula mereka mengatakan orang Melayu tidak maju kerana tidak sanggup berkerja keras. Lalu mereka merayu orang Melayu supaya berkerja keras jika ingin maju.
Kedua, dari aspek agama (Islam) mereka terikat dengan tuntutan penghayatan akidah dan akhlak, sedangkan penghayatan Islam merangkumi tuntutan syarah sebagai pelengkap khususnya bab muamalat atau sosioekonomi Islam.
Kesannya, mereka dilihat sukar untuk mengupas, mengemas kini dan merealisasikan pemikiran lama yang disanjunginya. Ini penulis rujuk kepada pemikiran Za'ba mengenai keyakinan beliau bahawa bangsa Melayu akan menjadi kukuh seandainya mereka dibentuk dan dibina mengikut disiplin yang tepat berasaskan nilai-nilai Islam memberi petunjuk bahawa orang Melayu boleh berjaya jika kena caranya.
Ketiga, dari aspek pengaruh persekitaran setempat mereka begitu yakin bangsa yang berjaya kerana mengamalkan nilai positif atau mulia dengan merujuk pencapaian bangsa tempatan yang maju. Ini bagaimanapun dilakukan tanpa mengkaji sebab lain yang berkaitan dengan soal sikap juga.
Keempat, perbincangan mengenai masalah memajukan orang Melayu didominasi golongan kemanusiaan - ahli sejarah, ekonomi, undang-undang, sains sosial, agama, sains politik dan lain-lain. Dari sudut pengurusan (isu) cara sistem, perbincangan yang membabitkan aspek atau golongan ini sahaja akan berkisar kepada persoalan falsafah, teori, prinsip, dasar dan pembentukan objektif (dasar), atau dari sudut perancangan dan pembangunan negara ia perbincangan peringkat makro.
Walhal ia perlu disusuli dengan perbincangan aspek teknikal bersama-sama golongan teknikal yang berperanan menterjemahkan aspek kemanusiaan tadi kepada tatacara pelaksanaan atau di peringkat mikronya.
Pembahasan seterusnya ialah paparan hasil kajian aspek teknikal penulis yang antara lain cuba membuktikan bahawa bangsa Melayu akan maju dari seadanya kini jika pendekatan muamalat Islam dimanfaatkan sepenuhnya. Atas sebab-sebab tertentu kajian difokuskan kepada masalah yang membelenggu kemajuan kontraktor Melayu. Pernah dibentangkan dalam satu seminar kebangsaan yang berkaitan dengan globalisasi.
Dalam muamalat Islam, kita (seluruh umat manusia) diberikan dua pilihan dalam melaksanakan kontrak bagi tujuan pembelian barangan belum siap. Iaitu pilihan di antara penggunaan kontrak Upahan Islam dengan kontrak tempahan Islam. Perlu diingatkan bahawa dua kontrak Islam ini adalah juga hukum Islam yang mempunyai takrif, rukun, syarat sah kontrak dan contoh-contoh penggunaan yang wajib dipatuhi seperti hukum Islam lain yang seumpamanya.
Jika tidak dipatuhi ia bukan sahaja akan mendatangkan masalah bahkan menjadikan transaksi yang dilakukan tidak sah. Ini adalah prinsip Islam dalam menjaga kemaslahatan manusia dalam mengurus sosioekonominya. Bagaimana memilihnya?
Mengikut tafsiran penulis pemilihannya banyak bergantung kepada penilaian jitu kemampuan pihak penjual iaitu dalam konteks semasa ia adalah pihak kontraktor. Seandainya pihak kontraktor mempunyai modal dan pengalaman bersesuaian sekali gus maka penggunaan kontrak Tempahan diharuskan.
Tetapi, seandainya pihak kontraktor hanya memiliki kemampuan pengalaman sebagai kontraktor atau memiliki pengetahuan pembinaan maka penggunaan kontrak Upahan diharuskan.
Untuk memudahkan kefahaman atau penghuraian dalam konteks Barat atau konvensional, kontrak Tempahan maksud Baratnya ialah kontrak price-in-advance yang terkenal dengan kontrak bentuk tradisional Lump Sum (LS), Bills of Quantities (BQ) dan Turnkey (TY).
Manakala kontrak Upahan maksud Baratnya ialah kontrak cost reimbursement yang terkenal dengan kontrak bentuk tradisionalnya Direct Labour (DL), Target Cost dan Cost Plus dan kontrak alternatif/modennya Management Contract, Design and Construction Management dan Project Management.
Hakikat bahawa walaupun Islam dan Barat menawarkan dua pilihan kontrak tersebut, tetapi realitinya cuma kontrak price-in-advance barat LS. BQ dan TY dipraktikkan di negara ini khususnya bagi projek kerajaan. Ini berlaku beberapa dekad sebelum merdeka hingga kini. Ertinya, sama ada kontraktor tempatan mampu atau tidak melaksanakan kontrak LS, BQ dan TY mereka terpaksa mencari jalan untuk memastikan mereka mampu melaksanakannya. Mengapa kontrak cost reimbursement tidak digunakan dalam pelaksanaan projek kerjaan? Hanya pihak berwajib mengurus kontrak kerajaan mampu menjawabnya?
Dipercayai bahawa sebab utama kerajaan penjajah Inggeris membawa masuk kontrak LS dan BQ ialah sebagai memberikan pilihan kepada kontrak cost reimbursement DL yang mereka bawa masuk seawal mereka menjajah negara ini.
Dari segi teorinya, kontrak DL membebankan para jurutera projek Inggeris. Kerana penggunaan kontrak DL memerlukan jurutera projeknya melakukan segala aspek kerja pembinaan - mengupah pekerja, membeli bahan binaan, menyewa jentera dan sebagainya. Sedangkan projek di tangan semakin banyak.
Sebaliknya jika kontrak LS dan BQ digunakan mereka hanya perlu melantik kontraktor utama untuk melakukan segalanya itu.
Namun setelah kajian mendalam dilakukan penulis mendapati ada sebab lain yang lebih utama yang mendesak kemasukan kontrak LS dan BQ ke negara ini. Pada hemat penulis ia adalah sebahagian daripada gagasan London untuk mengubah kegiatan dan kedudukan sosioekonomi masyarakat tempatan dari segi cara berkerja, cara fikir dan cara hidup mengikut acuannya yang mereka anggap lebih baik dari yang lain.
Maknanya, kalau dulu kegiatan sosioekonomi masyarakat tempatan berteraskan kontrak Upahan kini ia berteraskan kontrak Tempahan, kalau dulu mereka hidup sebagai tukang mengambil upah kerja kontrak kini mereka boleh menjadi tauke sebagai kontraktor, kalau dulu mereka berkerja secara perlahan sebagai buruh binaan kini mereka kena kerja keras sebagai kontraktor dan sebagainya. Akhirnya London berjaya mengubahnya.
Asas gagasan London ialah kemasukan golongan pemodal penjajah termasuk sistem bank ke negara ini. Kaitannya dengan kemasukan kontrak LS dan BQ ialah untuk memenuhi kehendak kontraktor utama (entiti organisasi kontrak yang diwujudkan dalam kontrak LS dan BQ) yang memerlukan modal pusingan daripada sistem bank untuk memodalkan dahulu kerja kontrak sebelum bayaran boleh dituntut. - SUBAHIR TAIB adalah seorang arkitek.
Utusan Malaysia, Rabu 10/9/03
Wednesday, September 10, 2003
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment