Oleh HARIS ZALKAPLI
Kegagalan mesyuarat Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) di Cancun, Mexico, minggu lalu terbukti disebabkan antaranya sikap negara-negara maju yang bertekad untuk mengekalkan subsidi kepada industri penting mereka.
Walaupun negara membangun dan mundur, akibat kekurangan modal dan sebagainya, memerlukan lebih subsidi dan perlindungan dari negara maju, negara maju membelanjakan jumlah yang besar untuk subsidi, dan pada masa yang sama memaksa negara membangun membuka pasaran seluas-luasnya untuk produk negara maju.
Menurut Prof. Joseph Stiglitz, penulis buku Globalization and its Discontents, keadaan ini dapat dilihat di negara Afrika, apabila petani miskin yang tidak terdaya berdepan kesan-kesan buruk globalisasi terhadap ekonomi mereka.
Penanam kapas ini menjadi mangsa harga kapas yang terlalu rendah kerana Amerika Syarikat (AS) membelanjakan sehingga AS$4 bilion setahun memberikan subsidi kepada 25,000 petani negara itu, menggalakkan mereka menghasilkan lebih kapas malah subsidi yang diberi melebihi nilai apa yang mereka hasilkan dan apabila mereka menghasilkan lebih kapas, harga kapas menjadi semakin rendah.
Jelas Stiglitz lagi, usaha menambah pendapatan dengan menjual susu juga menghadapi kesukaran kerana perlu bersaing dengan susu tepung dari AS dan Eropah yang memperoleh subsidi.
Negara maju membelanjakan sekitar AS$300 bilion untuk subsidi pertanian, manakala AS dan Kesatuan Eropah (EU) memberikan subsidi pertanian berjumlah AS$150 bilion setahun. Akibatnya, banyak negara mundur dan membangun tidak dapat bersaing dengan produk pertanian negara maju.
Bulan Jun lalu, EU bersetuju untuk menjalankan reformasi pertanian, termasuk mengurangkan subsidi pertanian, satu tindakan yang menurut Pesuruhjaya Pertanian EU, Franz Fischler merupakan permulaan era baru. Bagaimanapun, ada pemerhati beranggapan usaha berkenaan tidak mencukupi, kerana antaranya Perancis akan meneruskan subsidi sehingga 2007 dan tindakan ini tidak memberi kesan besar terhadap longgokan produk di pasaran dunia, isu yang menjadi tumpuan utama negara membangun.
Negara maju seperti AS sering kali dipengaruhi politik dalaman dalam pembuatan keputusan memberi subsidi.
Presiden AS, George W. Bush menimbulkan kontroversi apabila memberikan subsidi kepada industri besi negara itu.
Di Cancun, isu ini menjadi perselisihan penting di antara negara maju dan membangun. Dan dalam satu tindakan yang dilihat sebagai kejayaan negara membangun dalam politik WTO, sekumpulan negara membangun bersatu menggesa negara maju menghapuskan subsidi pertanian.
Kumpulan lebih 20 negara disertai Malaysia, Brazil dan India ini juga bersatu menolak permintaan baru negara maju.
Mengabaikan
Korea Selatan, Taiwan, Jepun dan Switzerland menyertai EU menggesa rundingan mengenai empat perkara baru.
Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Seri Rafidah Aziz, ini menunjukkan negara maju tidak lagi boleh meminggirkan atau mengabaikan negara membangun, terutama sekali yang menghadapi masalah sebenar dalam memberikan komitmen terhadap sesuatu yang mereka belum bersedia.
Menurutnya lagi, sekiranya pandangan negara membangun didengari sebelum ini, perkara ini tidak akan berlaku.
Walaupun tentangan negara membangun terhadap permintaan negara maju memang sudah dijangka, pakatan yang juga dikenali G21 ini adalah sesuatu yang baru, dan menjadi perhatian dalam mesyuarat di Cancun.
Jelas Menteri Luar Brazil, Celso Amorim, kumpulan tersebut telah berjaya mengubah keseluruhan dinamik politik dunia. Katanya, ia merupakan satu kuasa pengimbang antara AS dan Brussels, lapor akhbar Independent.
Pakatan G21 ini dikecam oleh Wakil Perdagangan AS, Robert Zoellick. Kata Zoellick, pendekatan retorik kumpulan berkenaan menjadi punca kegagalan mesyuarat WTO ini. Sebelum itu, timbalan beliau, Peter Allgeier berkata kumpulan negara membangun itu kelihatan tidak bersedia untuk berbincang.
Tetapi beberapa pertubuhan bukan kerajaan menyalahkan negara-negara maju seperti AS, ahli-ahli EU dan Jepun.
Isu subsidi pertanian negara maju masih menjadi isu besar yang belum dapat diselesaikan. Jelas Stiglitz, sejak 1994, AS sebenarnya telah meningkatkan subsidinya, bukan mengurangkan.
Mark Ritchie, Presiden Institut bagi Pertanian dan Dasar Perdagangan dilaporkan sebagai berkata apa yang berlaku di Cancun membuktikan kerapuhan sistem perdagangan global hari ini.
Katanya lagi, kita tidak dapat meneruskan satu sistem perdagangan global yang sebahagian besarnya memberi manfaat kepada kepentingan perbadanan multinasional dan tidak menangani masalah serius petani, pekerja dan rakyat seluruh dunia.
Selain isu subsidi, masyarakat sivil dan pemerhati korporat mendakwa multinasional negara maju sentiasa menggunakan pengaruh mereka untuk mempengaruhi persidangan perdagangan bebas. Kebimbangan ini turut disuarakan oleh Stiglitz.
Menurut profesor Universiti Colombia ini, antara masalah yang perlu dilihat ialah harta intelek, kerana terdapat kes multinasional memperoleh paten dadah dan makanan tradisional sehingga menyebabkan negara membangun terpaksa membayar royalti untuk apa yang mereka sangka selama ini milik mereka.
Pada masa sama, multinasional negara maju sangat melindungi harta intelek mereka, termasuk ubat-ubatan yang sangat diperlukan oleh negara mundur. Katanya lagi, rundingan perdagangan ini menunjukkan, seperti juga hal lain, kuasa kepentingan tertentu, yang sering dipengaruhi sumbangan kempen, dalam menentukan hasil politik.
Antara yang ditentang negara membangun dan badan bukan kerajaan (NGO) ialah dasar yang cuba diketengahkan AS dan EU, yang berupaya mengehadkan kuasa kerajaan untuk bertindak untuk kepentingan awam kerana kuasa yang diperuntukkan kepada multinasional.
Utusan Malaysia, 26 September 2003
Saturday, September 27, 2003
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment