Oleh Zulkiflee Bakar
(Wartawan Utusan)
``Saya bersyukur kerana sikap rakyat begitu baik dan tidak suka kepada keadaan huru-hara. Adalah menjadi tanggungjawab kita mengekalkan keadaan ini dan bekerjasama membangunkan negara.''
Itulah kata-kata yang dilafazkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad ketika menghadiri sebuah majlis sempena kemerdekaan di Putrajaya, baru-baru ini.
Sememangnya rakyat Malaysia selama ini telah membuktikan bahawa mereka tidak suka kepada huru-hara apatah lagi keganasan.
Oleh itu setiap tahun sambutan kemerdekaan di negara ini jauh berbeza daripada sesetengah negara yang rakyatnya terpaksa menyambut hari kebebasan itu dalam keadaan bimbang.
Apa yang berlaku di Indonesia baru-baru ini di mana serangan bom terjadi seminggu sebelum negara itu menyambut kemerdekaan menjadi bukti betapa beruntungnya rakyat Malaysia.
Kita sering sahaja dapat menyambut sesuatu perayaan termasuk Hari Kebangsaan dengan penuh meriah dan kesyukuran. Semua ini tercapai kerana sejak dulu lagi masyarakat pelbagai kaum di negara ini hidup bersatu padu dan bertolak-ansur.
Walaupun suatu ketika negara ini pernah digugat oleh usaha pihak tertentu yang cuba mencetuskan huru-hara melalui usaha untuk merampas kuasa melalui gerakan bersenjata seperti Al-Ma'unah atau jeritan reformasi dengan mengadakan demonstrasi di jalan-jalan raya namun rakyat tidak pernah terpengaruh. Sebaliknya, rakyat Malaysia terus mengecam sebarang tindak-tanduk yang menjurus kepada keganasan dan huru-hara.
Apa juga usaha atau tindakan yang dilihat boleh menggugat ketenteraman negara ini akan ditolak dengan tegas oleh rakyat Malaysia.
Hasilnya sepertimana kita kecapi sekarang Malaysia maju dalam pelbagai bidang dan lebih daripada itu mampu meloloskan diri daripada apa juga krisis termasuk ekonomi melalui cara kita sendiri.
Inilah keistimewaan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, keturunan dan agama.
Rakyat Malaysia sememangnya menyedari dan sentiasa mengambil iktibar bahawa perpecahan kaum, tindakan keganasan dan huru-hara tidak akan mendatangkan sebarang keuntungan kepada mereka.
Sebaliknya semua perkara itu hanya akan mendatangkan penderitaan kepada mereka sendiri sepertimana terjadi di sesetengah negara.
Oleh itu pendekatan menyerahkan kepada kerajaan dalam membuat keputusan, mengadakan rundingan dan menyuarakan pandangan melalui saluran yang betul terus menjadi pegangan rakyat negara ini untuk menyelesaikan masalah.
Walaupun ada sesetengah rakyat negara ini mempunyai pandangan atau ideologi politik yang berbeza namun ia tidak pernah dijadikan senjata untuk mencetuskan ketegangan antara satu sama lain.
Kebebasan untuk mengundi dan memilih parti melalui pilihan raya dijadikan saluran bagi menunjukkan sikap mereka.
Keadaan ini sudah tentulah berbeza berbanding sesetengah negara yang sering sahaja menyaksikan perbalahan politik kadangkala menyebabkan mereka berbunuhan sesama sendiri dan negara terus berada dalam huru-hara.
Sebagai rakyat Malaysia, sudah tentu kita juga bersyukur dengan kecekapan anggota-anggota pasukan keselamatan seperti polis dan tentera yang sudah membuktikan keupayaan mereka menjaga keamanan negara ini.
Malah ketika dunia belum lagi ditimpa isu keganasan akibat serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia di New York pada 11 September 2001, pihak berkuasa Malaysia sudah pun berjaya membanteras kegiatan militan.
Ranapnya rangkaian Al-Ma'unah dan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) telah membuktikan hakikat itu.
Kejayaan ini dicapai kerana rakyat Malaysia sering kali diingatkan oleh pemimpin negara bahawa keganasan bukanlah cara terbaik untuk menyelesaikan masalah.
Oleh itu, ketika negara-negara jiran lain seperti Indonesia, Thailand dan Filipina diancam oleh puak pengganas yang kononnya berjuang untuk umat Islam, Malaysia sudah pun mampu menyekat gejala berkenaan.
Apa yang lebih menarik, Malaysia melalui Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang turut menyumbang sumber perisikan bagi membantu negara-negara berkenaan mematahkan rangkaian pengganas di rantau ini.
Lanjutan itu, Malaysia kini menjadi negara contoh bukan sahaja sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk yang hidup aman damai tetapi juga berjaya dalam semua bidang termasuk keselamatan.
Bagaimanapun, kegembiraan dan kebanggaan yang diperoleh ini tidak harus menyebabkan kita lupa untuk melafazkan syukur kepada Allah s.w.t.
Kita harus bersyukur kerana kemerdekaan adalah nikmat Allah yang tidak terhingga bagi rakyat Malaysia.
Bersyukur atas nikmat Allah adalah sesuatu yang patut dilakukan. Allah sentiasa mengingatkan hamba-Nya agar mensyukuri apa yang telah Dia berikan, dan jangan sekali-kali mengingkari-Nya.
Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 152 yang bermaksud, Bersyukurlah atas kenikmatan-Ku dan janganlah mengingkari-Ku.
Firman Allah ini harus menjadi pegangan kepada kita kerana melalui sikap bersyukur sahaja kita akan terus mendapat redha-Nya.
Sikap bersyukur ini juga kita laksanakan kerana melalui petunjuk dan pertolongan-Nya, Malaysia sering sahaja mampu menyelesaikan apa juga masalah dengan cara sendiri.
Apa yang diharapkan sempena Hari Kebangsaan Ke-46 ini, rasa syukur itu akan disulami dengan iltizam kita untuk terus mengekalkan segala kesenangan dan kenikmatan yang kita kecapi sekarang.
Ini kerana sepertimana kata Perdana Menteri, perjuangan kita masih belum selesai, masih terdapat banyak lagi ranjau dan duri yang harus diharungi untuk menjadi sebuah negara yang maju dan makmur.
Semua itu hanya akan tercapai jika kita bersatu padu dan mengekalkan perpaduan yang sedia ada.
Utusan Malaysia, 1 Sept 2003
Monday, September 01, 2003
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment