Wednesday, September 10, 2003

Menjelang Bajet 2004

Oleh Faridah Ahmad

Bajet 2004 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan pada 12 September ini. Seperti yang ketahui umum, bajet negara merupakan suatu perancangan bagi merangka dan melaksana strategi kewangan negara dalam sesuatu tahun.

Dalam semua aspek yang melibatkan kewangan, bajet adalah suatu perkara penting yang sentiasa diberi penekanan. Ia penting bukan sahaja kepada sesebuah negara, tetapi juga kepada individu, keluarga, jabatan dan organisasi perniagaan.

Sudah pasti semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung mengharapkan satu bajet yang boleh memberi keuntungan dan manfaat kepada mereka. Antara perkara yang diharapkan mungkin terhadap pemberian insentif yang lebih baik, rebat cukai yang tinggi, penurunan kadar cukai dan insentif lain boleh mengurangkan bayaran cukai.

Namun, tidak semua yang diharapkan akan menjadi kenyataan. Bajet negara perlulah dilihat dari perspektif yang lebih luas, iaitu yang berkaitan dengan kepentingan negara bukan kepentingan diri individu semata-mata.

Sebelum Bajet 2004, kita telah melihat pelaksanaan pelbagai insentif terutama yang berkaitan dengan cukai langsung dan tidak langsung. Dalam aspek hartanah umpamanya, jualan aset seperti tanah dan bangunan yang berlaku di antara 1 Jun 2003 hingga 31 Mei 2004 dikecualikan cukai keuntungan hartanah. Selain daripada itu, cukai perkhidmatan ke atas restoran dan hotel telah dimansuhkan.

Bagi kakitangan kerajaan pula, mereka telah menikmati imbuhan bonus yang dibayar pada bulan Jun 2003.

Strategi Bajet 2004 dijangka membabitkan pakej ekonomi yang memberi penekanan kepada perubahan strategi pembangunan negara berbanding pemberian insentif kewangan seperti pengurangan kadar cukai atau sebagainya.

Kerajaan akan terus mengamalkan pelaksanaan polisi dan strategi ekonomi yang pragmatik serta memberi perkhidmatan dan kemudahan yang bersesuaian bagi memantapkan pertumbuhan ekonomi negara.

Justeru, strategi pengujudan kekayaan melalui sumber-sumber baru dijangka akan digalakkan. Namun begitu, strategi pemberian insentif masih boleh diteruskan selagi strategi ini tidak menjejaskan kestabilan ekonomi negara.

Cabaran utama negara ialah untuk meyakinkan pelbagai pihak termasuk orang awam dan pelabur-pelabur asing mengenai keadaan ekonomi negara.

Dalam jangka masa yang panjang, negara perlu mewujudkan persekitaran ekonomi yang berdaya saing yang berasaskan pengetahuan.

Untuk melaksanakan strategi ekonomi berasaskan pengetahuan, Bajet 2004 perlu mengambil langkah-langkah berikut:

- Pengurangan kos dalam perkhidmatan telekomunikasi.

- Menggalakkan urus niaga melalui elektronik (e-dagang). Oleh itu, insentif perlu diberi bagi menggalakkan penggunaan e-dagang.

- Rakyat harus digalakkan untuk mempelajari perkara-perkara baru bagi mewujudkan lebih ramai rakyat yang berpengetahuan.

Budaya belajar ini harus ditingkatkan dengan memperkenalkan insentif seperti potongan cukai ke atas yuran pengajian terutama kepada mereka yang melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi seperti professional, sarjana dan kedoktoran.

- Bagi menggalakkan penulisan buku-buku berasaskan penyelidikan, penulis harus dibenarkan menuntut potongan perbelanjaan penyelidikan daripada pendapatan royalti yang diperoleh daripada penulisan buku tersebut.

- Dalam usaha untuk meningkatkan pengetahuan melalui penterjemahan buku-buku dari satu bahasa ke bahasa yang lain, potongan perbelanjaan juga boleh diberi.

- Lazimnya orang yang berpengetahuan dan berpengalaman terdiri daripada mereka yang telah lama dalam bidang kepakaran masing-masing. Oleh itu, umur persaraan mereka boleh dilanjutkan kepada 60 tahun.

Dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan asing di samping sebagai persediaan menjadi negara perindustrian, Malaysia perlu meningkatkan lagi bilangan tenaga kerja mahir dan terlatih.

Matlamat ini boleh dicapai segera jika terdapat persefahaman dan usaha sama antara sektor swasta dengan kerajaan. Pada masa ini syarikat yang menawarkan latihan teknikal dan vokasional boleh memohon 100 peratus elaun cukai pelaburan. Namun begitu, bilangan institusi teknikal dan vokasional masih kurang.

Oleh itu, beberapa insentif tambahan mungkin perlu diberi bagi menyemarakkan lagi pembangunan institusi teknikal dan vokasional dalam usaha menambah bilangan tenaga kerja terlatih.

Syarikat-syarikat swasta boleh digalakkan untuk menyumbang bukan sahaja kepada pembangunan institusi teknikal dan vokasional itu sendiri bahkan juga menawarkan peluang latihan amali kepada pelajar-pelajar bagi meningkatkan kemahiran teknikal dan vokasional mereka.

Oleh itu, syarikat berkenaan boleh diberi potongan dua kali terhadap perbelanjaan yang terlibat. Di samping itu ibu bapa juga boleh digalakkan menghantar anak mereka melanjutkan pengajian dalam bidang teknikal dan vokasional dengan memberi potongan cukai atau rebat terhadap yuran yang dibayar.

Setiap tahun sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak dilupakan untuk menerima pelbagai insentif. Ini disebabkan PKS merupakan sektor yang telah memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara.

Bajet 2004 dijangka akan terus memberi perhatian yang sewajarnya kepada PKS bagi memastikan sektor ini berdaya maju, berdaya tahan dan berdaya saing.

PKS yang terlibat dalam bidang yang berkaitan dengan pelancongan seperti perhotelan dan kraftangan perlu diberi insentif bagi meningkatkan lagi industri pelancongan di negara ini yang sebelum ini sedikit sebanyak telah terjejas oleh kehadiran wabak Sindrom Pernafasan Akut teruk (SARS) baru-baru ini. Pengusaha dalam bidang ini boleh dipertimbangkan untuk mendapat kemudahan kewangan yang tidak membebankan.

Bagi menggalakkan pelancongan dalam negara pula, pelepasan atau potongan pada jumlah yang menarik (umpamanya RM2,000 setahun) boleh diberikan kepada setiap pembayar cukai.

Selain daripada itu, kakitangan yang hilang pekerjaan kerana diberhentikan boleh diberi pengurangan sementara terhadap bayaran ansuran pinjaman perumahan dan kereta. Di samping itu, mereka juga boleh dibenarkan untuk mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekarja (KWSP) bagi menjelaskan ansuran pinjaman tersebut.

Kadar caruman KWSP oleh pekerja mungkin boleh diturunkan lagi bagi menggalakkan mereka berbelanja.

Kesimpulannya, di samping menekankan pembangunan negara melalui sumber-sumber baru, Bajet 2004 juga perlu meneruskan pemberian insentif menarik terutama kepada PKS dan individu. Dengan kewujudan sistem taksiran sendiri, diharapkan pihak pembayar cukai akan terus memberi sumbangan kepada pendapatan negara dengan membuat pembayaran cukai secara sukarela.

- Profesor Madya Faridah Ahmad ialah pensyarah perakauanan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Utusan Malaysiam, Selasa 9/9/2003

No comments: