Oleh Lokman Othman
(WARTAWAN UTUSAN)
DI KALANGAN ahli UMNO Kelantan, mereka umumnya tahu bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pernah menyimpan kekecewaan terhadap mereka.
Dr. Mahathir pernah menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri tetapi terpaksa melepaskannya beberapa tahun kemudian kepada Tengku Razaleigh Hamzah ekoran pelbagai bentuk kerenah yang wujud di kalangan ahli UMNO negeri itu.
Baru-baru ini, Perdana Menteri untuk sekian kalinya juga meluahkan kekecewaannya terhadap UMNO negeri itu yang masih dibelenggu masalah perpecahan dan cantas-mencantas di kalangan mereka.
Sehinggakan beliau menyifatkan masalah berlarutan yang berlaku di kalangan ahli di negeri ekoran wujudnya `hantu' yang masih berkeliaran.
Bagaimanapun, semua orang tahu, sayangnya Perdana Menteri terhadap rakyat negeri itu tidak pernah luntur.
Dari semasa ke semasa beliau terus melawat ke negeri Cik Siti Wan Kembang itu bagi meninjau kehidupan dan permasalahan rakyat.
Setiap kali mengadakan pertemuan dengan kepimpinan UMNO negeri, Dr. Mahathir terus menerus mencetuskan semangat agar mereka bersatu dan meninggalkan setiap permasalahan yang ada. Ini kerana banyak yang beranggapan bahawa di Kelantanlah berpusatnya permasalahan politik Melayu.
Negeri itu telah menyaksikan perpecahan dalam politik Melayu, tertubuhnya Parti Melayu Semangat 46, jatuhnya Kelantan di tangan Pas, kemiskinan, perbezaan fahaman mengenai Islam, wujudnya pemimpin-pemimpin Melayu yang lebih melihat kepada agenda sendiri serta gagal bermuhasabah diri dan bermacam-macam lagi.
Malangnya ahli UMNO yang bersikap jelik demikian sering lupa akan realiti yang perlu diinsafi iaitu betapa perpecahan dalam UMNO-lah merupakan penyumbang utama kepada kekuatan Pas di negeri itu.
Dr. Mahathir kerap dijanjikan dan diberikan gambaran bahawa pemimpin-pemimpin UMNO Kelantan telah bersatu dan membuang hasad dengki sesama mereka.
Air yang tenang di permukaan jangan disangka tidak berkocak di dasarnya. Bagi pemerhati politik Kelantan, persoalan yang sentiasa berlegar di pemikiran mereka benarkah cahaya perpaduan benar-benar telah menyinari UMNO Kelantan atau gambaran yang diberikan itu hanya retorik semata-mata.
Jika di permukaan air nampak tenang, bunga-bunga perpecahan yang bersembunyi di dasar sebenarnya masih wujud.
Masih ada di kalangan ahli UMNO yang tidak mempedulikan amanat Dr. Mahathir sebaliknya lebih mengutamakan kepentingan sendiri dalam berparti.
Mereka lebih gemar untuk bertindak bersendirian dalam kumpulan masing-masing dalam meraih pengaruh tanpa mengendahkan usaha ahli-ahli yang lain dalam meraih sokongan rakyat.
Dalam masa yang sama kumpulan atau individu yang pentingkan diri ini sanggup mencantas ahli-ahli yang lain.
Ada pula yang lebih senang menggunakan platform-platform tertentu daripada sama-sama berjuang dalam kelompok majoriti yang lain.
Pokoknya, kelompok ini mahu dilihat lebih berpengaruh dan diperlukan berbanding kelompok yang lain.
Apa sahaja keputusan atau tindakan yang dibuat oleh pucuk kepimpinan negeri akan diberikan tafsiran yang pelbagai sehinggakan menimbulkan spekulasi yang bukan-bukan.
Misalnya, menjelang lawatan Perdana Menteri ke negeri itu, isu yang terus berlegar di kalangan orang-orang UMNO Kelantan ialah dalam soal pelantikan jawatankuasa penaja dalam badan perhubungan, isu muka baru dan lama sehingga pada satu ketika menenggelamkan terus perjuangan asal mereka - menumbangkan Pas.
Difahamkan senarai penaja seperti yang diminta UMNO Pusat telah pun siap, tetapi ia dilihat sebagai bayangan mereka yang akan dicalonkan atau digugurkan dalam pilihan raya umum kelak.
Sedangkan bagi kepimpinan UMNO negeri, senarai penaja itu sepatutnya tidak boleh dibayangkan demikian dan ia tidak ada kena-mengena dengan bayangan pencalonan.
Bagi mereka yang tidak tersenarai pula, senarai itu tidak boleh pula dilihat bahawa mereka akan tersisih daripada dicalonkan.
Sepatutnya mereka yang gemar membuat spekulasi ini kembali kepada asas pemilihan iaitu, calon yang diterima rakyat dan sanggup bekerja keras untuk rakyat.
Seperti yang kerap kali diingatkan Perdana Menteri, wakil-wakil rakyat yang gagal memenuhi tanggungjawab selama ini akan digugurkan agar digantikan dengan muka baru.
Inilah sebenarnya dilema yang terpaksa digalas oleh kepimpinan UMNO negeri, lebih-lebih lagi menjelangnya pilihan raya ini, setiap tindakan dan kenyataan yang dibuat perlu ibarat `menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak.'
Bukan satu rahsia lagi, antara penyakit utama UMNO Kelantan ialah wujudnya pemimpin yang sukar memberikan laluan kepada anggota yang lebih muda dan berpotensi untuk memimpin.
Walaupun pemimpin ini telah beberapa kali kalah dalam pilihan raya, mereka masih tetap hendak berada di atas.
Malangnya mereka secara sulit turut terbabit mencantas tunas-tunas yang berpotensi.
Dilema yang dihadapi oleh kepimpinan negeri dalam menghadapi pemimpin sebegini ialah mereka masih mempunyai kumpulan-kumpulan penyokong yang bukan sedikit.
Jika pemimpin mereka diketepikan, para penyokong dikhuatiri akan mensabotaj jentera parti.
Bagi anggota muda yang berpotensi untuk memimpin, mereka kekurangan penyokong pula. Untuk mengumpul sokongan bagi anggota muda ini sudah pasti agak memakan masa.
Jadi untuk menentukan calon pada pilihan raya nanti, ia sudah pasti menjadi tanggungjawab yang berat buat kepimpinan negeri.
Di Kelantan bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang.
Senario ini tidak termasuk kekalutan yang berlaku setiap kali pemilihan perwakilan atau pemilihan di peringkat bahagian dijalankan.
Inilah yang sentiasa melingkari pemikiran Presiden parti sendiri.
Justeru, lawatan Perdana Menteri kali ini haruslah menjadi landasan keinsafan di kalangan anggota-anggota UMNO Kelantan.
Lawatan kali ini besar signifikannya. Anggota UMNO Kelantan boleh menyifatkan lawatannya kali ini adalah yang terakhir sebagai Perdana Menteri.
Sudah pasti fikiran Dr. Mahathir telah sarat dengan pelbagai amanat yang hendak disampaikan kepada ahli UMNO Kelantan.
Beliau juga sudah tentu mengharapkan agar amanatnya yang terakhir itu menjadi penawar berguna buat mereka untuk membentuk perpaduan yang ampuh.
Walaupun sehinggalah ke akhir perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir masih tidak dapat melihat kemenangan semula BN di negeri itu, anggota UMNO negeri masih boleh menggembirakannya.
Masih belum terlambat untuk mereka memupuk kembali perpaduan dan memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada pucuk kepimpinan UMNO negeri.
Pemuda tidak boleh lagi bersikap pasif seperti yang digambarkan sebaliknya bersama-sama abang mereka mendukung kekuatan dalam parti.
Kesatuan juga perlu diperteguh dalam Wanita dan Puteri.
Dalam pada itu potensi golongan veteran UMNO juga tidak harus diketepikan kerana mereka mempunyai pendekatan tersendiri dalam parti.
Kesilapan dalam pilihan raya 1999 apabila potensi golongan itu dikatakan telah dipinggirkan harus ditebus kali ini.
Apa yang penting, setiap perlakuan dan kenyataan yang dikeluarkan perlu sentiasa disulami dengan keikhlasan dan ketaatan tidak berbelah bahagi.
UMNO Kelantan seharusnya tidak dilihat dipimpin oleh tiga atau empat pemimpin sebaliknya hanya satu pemimpin sahaja.
Mereka tidak seharusnya mendendangkan irama kerincing yang sama sebaliknya kembali berpadu jika ingin memikat rakyat seterusnya mengambil semula Kelantan daripada Pas.
Inilah yang seharusnya dijadikan tanda terima kasih UMNO Kelantan kepada keprihatinan dan kasih sayang Dr. Mahathir terhadap UMNO negeri itu selama ini.
Utusan Malaysia, 8/9/2003
Wednesday, September 10, 2003
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment