Wednesday, September 10, 2003

Membela ummah melalui pendidikan

Kita prihatin dengan kedudukan ummah yang lemah dan mudah ditindas oleh pihak-pihak lain di seluruh dunia.

Cara Malaysia seperti yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad ialah dengan mempertingkatkan kekuatan umat Islam dalam bidang politik, ekonomi dan pertahanan.

Kita tidak berupaya meningkatkan kekuatan umat Islam di seluruh dunia secara keseluruhan dan serentak. Apa yang boleh dilakukan ialah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan memberi sumbangan yang termampu kepada umat Islam di seluruh dunia.

Tetapi kuncinya masih terletak kepada usaha kita meningkatkan kekuatan Malaysia dengan menjadikannya negara maju. Untuk maju pula, kita perlu meningkatkan kemampuan politik, ekonomi dan pertahanan negara.

Inilah jalan yang dipilih oleh negara ini untuk membela ummah kerana ia merupakan cara paling rasional dan berkesan walaupun ia memerlukan usaha bersungguh-sungguh dan memakan jangka masa yang panjang.

Asas kepada usaha ini ialah meningkatkan ilmu dan kemahiran umat Islam dan ia dapat dicapai hanya melalui pendidikan.

Sebab itu, Dr. Mahathir berulang kali mengingatkan umat Islam di negara ini supaya bersikap serius dalam bidang pendidikan.

Beliau tidak mahu pelajar-pelajar kita diganggu atas alasan apa sekalipun, apatah lagi apabila mereka dilibatkan dengan aktiviti politik kepartian.

Justeru, beliau mahu pelajar-pelajar khususnya di universiti yang dibiayai kerajaan sentiasa menumpukan kepada pencapaian kecemerlangan ilmu dan kemahiran yang mereka ceburi.

Ini kerana ilmu pengetahuan dan kemahiran yang mereka raih di universiti itu kelak akan dapat digunakan untuk memajukan negara dan sekali gus menyumbang kepada kekuatan ummah.

Tetapi jika perhatian pelajar-pelajar ini dipalingkan kepada aktiviti-aktiviti yang tidak mendatangkan kesan langsung kepada pengajian, maka mereka tidak akan berupaya mencapai kecemerlangan yang dicita-citakan oleh negara dan diharapkan oleh rakyat keseluruhannya.

Lebih-lebih lagi hakikat bahawa perbelanjaan mereka dibiayai oleh kerajaan yang merupakan dana daripada sumbangan rakyat.

Walaupun pembiayaan pengajian mereka berbentuk pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Negara (PTPN) dan pelajar-pelajar itu perlu membayar balik kemudian hari, tetapi dana asas, baik bagi penubuhan universiti mahupun untuk tabung itu datangnya daripada kutipan cukai daripada rakyat. Maka tanggungjawab pelajar-pelajar adalah memenuhi harapan dan hasrat rakyat untuk melihat mereka berjaya dalam pengajian dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan negara.

Justeru, jika ada pihak termasuk pembangkang yang cuba mengganggu pengajian pelajar-pelajar ini, maka mereka telah menjejas usaha kerajaan untuk memberikan pendidikan terbaik kepada pelajar.

Apabila pelajaran anak-anak Malaysia ini terganggu, maka hasrat negara untuk melihat generasi yang terpelajar dan mahir bagi menyumbang kemajuan negara akan turut terjejas.

Akhirnya, cita-cita untuk menguatkan umat Islam melalui kemajuan negara tidak akan dapat dicapai. Justeru, sebelum perkara malang ini berlaku, kita harus melindungi pelajar-pelajar daripada hasutan yang negatif itu.

Lidah Pengarang

Utusan Malaysia, 9/9/03

No comments: