Sunday, September 07, 2003

Kalau tidak rotan, anak memuakan! : jangan binasakan khazanah minda Melayu

KATA peribahasa Inggeris spare the rod and spoil the child, lebih kurang – manjakan anak (segan mahu merotannya) anak itu akan memudaratkan dirinya atau memuakan.

Saya seorang bapa dan datuk yang liberal. Saya tidak pernah merotan anak saya, sungguhpun saya percaya kepada doktrin spare the rod and spoil the child. Saya bersyukur kepada Allah SWT, walaupun saya tidak pukul anak, mereka telah dewasa tanpa bermasalah. Mungkin kerana asuhan guru, saya dan isteri yang berteladan. Saya sebenarnya selalu ‘merotan’ mereka melalui kata-kata. Saya dapati ‘senjata lisan’ lebih berkesan daripada rotan.

Waktu saya kecil, kalau saya nakal dan malas belajar dan mengaji, saya tidak pernah dirotan tetapi dicubit sampai merah paha.

Sebelum pendidikan menjadi universal, disiplin di sekolah cukup ketat.

Mereka yang baik mendapat pujian dan hadiah manakala mereka yang berkelakuan buruk dan tidak pandai didera dan dipandang rendah bahkan kadangkala dihina, dibuang sekolah pun ada. Dibuang sekolah adalah satu keaiban yang mencemar nama baik keluarga dan kampung. Sampai sekarang pun, saya yakin ini satu pendekatan yang efektif: Puji dan keji. Doktrin ini teruji sejak beribu-ribu tahun tetapi dalam dunia yang mabuk demokrasi dan hak asasi manusia, cara kuno ini tidak lagi diterima dan amat dikeji pula oleh manusia dan ibu bapa sekarang. Mereka mahu hak tanpa pula menerima tanggungjawab yang lazimnya mengikut hak itu.

Kejadian buruk di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) di Ipoh dan Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), sekolah berasrama penuh tertua di negara ini (98 tahun) dan STAR, kedua tertua amat memalukan bangsa Melayu. Di sinilah pelajar Melayu yang berbakat dan pintar dihantar. Kedua-dua sekolah itu (juga sekolah berasrama penuh lain) adalah perbendaharaan minda Melayu di masa kemuka. Tetapi apa telah berlaku? Beberapa pelajar telah berperangai seolah-olah mereka dari keluarga yang sangat teruk. Saya amat kecewa dan malu dengan insiden buruk di sekolah lama saya kerana gara-gara lapan titik nila, rosak susu sebelanga.

Apakala gangsterism atau budaya Mafia terbongkar di STAR, saya telah menulis satu editorial di New Straits Times (NST) yang keras, mahu kerajaan bertindak tegas dan segera. Kerajaan melakukannya. Dalam masa itu, saya bangga kerana peristiwa buruk itu tidak berlaku di MCKK.
Sebenarnya tidak pernah berlaku pada zaman saya atau sepanjang sejarahnya.

Padan muka, seminggu selepas rencana pengarang itu, lapan pelajar MCKK dibuang kerana melakukan kekacauan dan bersenjata dengan parang pula. Bagaimana parang boleh dibawa ke sekolah? Tiada peraturan dan tidak ada pemeriksaankah? Nanti tidak lama lagi, mungkin pistol dan bedil pula dibawa. Saya tulis dua rencana lagi (dalam NST) mendesak kerajaan jangan berkompromi dengan disiplin di sekolah terutama sekolah berasrama penuh. Kalau tidak bangsa dan negara hancur nanti.

Sekolah asrama penuh: Khazanah Melayu

MCKK adalah khazanah bakat Melayu mulai tertubuhnya pada tahun 1905 dan selepas merdeka STAR mengikuti MCKK. Semenjak 46 tahun kita merdeka, saya diberitahu berpuluh-puluh lagi sekolah ala MCKK telah diwujudkan (tidak termasuk MRSM yang konsepnya sama seperti MCKK dan sekolah swasta seperti Kolej Yayasan Saad di Melaka) bagi memberi pendidikan cemerlang kepada anak Melayu yang dianggap bijak bestari.

Saya mahu lihat banyak lagi sekolah ala MCKK ini ditubuhkan kerana saya dapati pendidikan di sekolah berasrama penuh memang yang terbaik. Saya boleh cakap berdasarkan pengalaman, begitu juga isteri saya dan ketiga-tiga anak saya yang belajar di sekolah berasrama penuh. Doa saya, cucu dan keturunan saya seterusnya dapat belajar di sekolah berasrama penuh. Di sekolah berasrama penuh, seorang pelajar memasuki dunia nyata sejak hari pertama: jauh dari rumah, tanpa bantuan dan perlindungan ibu bapa. Ia harus pintar, mahu hidup dihormati dan tidak dibuli. Kalau bijak, dia menjadi pemimpin pula– baik formal atau tidak formal. Sebaik latihan untuk ke universiti, memasuki kerjaya dan berinteraksi.

Akhlak tiga perempat daripada kehidupan

SAYA sedar disiplin semestinya tidak sekebal zaman saya kerana pendidikan kini tidak lagi untuk golongan elit, ia untuk semua sama ada pandai atau tidak. Tetapi bagi sekolah berasrama penuh tidak semestinya. Kita mesti hanya terus memilih mereka yang benar-benar berbakat tanpa kira bulu. Maka sepatutnya dengan pemilihan yang begitu ketat perkara buruk tidak harus berlaku. Mungkin sudah sampai masa kita berfikir: jangan lagi mengejar jumlah bilangan pelajar atau kuantiti; kejar pula kualiti, Melayu sudah ramai di sekolah dan universiti, tetapi apa kualiti mereka? Tidak bolehkah kita tingkatkan markah untuk lulus peperiksaan pada semua peringkat persekolahan?

Apa yang berlaku di sekolah dan dunia pendidikan kita, pada pandangan ramai, tidak membawa petanda yang baik kerana ia tidak kompetitif. Penggunaan kembali Bahasa Inggeris dalam dua subjek: Sains dan Hisab (Matematik) satu tindakan yang wajar. Mungkin ia boleh diperluaskan kepada Kesusasteraan Inggeris pula. Kalau kejadian buruk boleh berlaku di MCKK dan STAR, saya kira ketandusan disiplin dan akhlak itu mencerminkan ketidakbertanggungjawaban guru besar, guru disiplin (zaman saya tiada guru disiplin, tetapi sekolah aman dan terpuji) dan guru agama, pengawas, jemaah pengelola sekolah (Board of Governors) dan pegawai pendidikan daerah dan negeri. Apa helah mereka, termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)?

Zaman kolonial sekolah berasrama penuh hanya dua saja: MCKK dan Malay Girls’ College Kuala Lumpur (kini Kolej Tunku Kursiah) ditadbir langsung oleh Kementerian Pendidikan. Saya cadangkan agar semua sekolah berasrama penuh diletak terus di bawah Kementerian Pendidikan. Jelas Pegawai Pendidikan Negeri apalagi Daerah telah gagal menjalankan tugas mereka dan saya tidak hairan kerana di bawah mereka ada beratus-ratus sekolah. Pada hal sekolah berasrama penuh, kalau tidak silap, belum pun 100 buah lagi, maka senang diurus langsung oleh Kementerian Pendidikan.

Wahai bangsaku: Ingatlah perangai baik adalah tuntutan dan suruhan Allah SWT dan seperti kata Matthew Arnold, ahli pendidikan, guru besar, pakar disiplin dan pengarang British terkenal zaman Ratu Victoria, conduct is three fourths of our life and its largest concern. Akhlak (dan perangai) adalah tiga perempat daripada kehidupan kita dan itulah masalah terbesar sepanjang hayat.

Homs: Masjid dan Makam Khalid al-Walid

DALAM perjalanan saya ditemani Datuk Hashim Makaruddin (Pegawai Khas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad) dan Datuk Zakaria Wahab (Setiausaha Akhbar Perdana Menteri) ke Aleppo dari Damsyik (lapan jam pergi balik) dengan kereta kami melalui Homs, bandar ketiga terbesar di Syria (selepas Damsyik dan Aleppo). Homs dimulai 1,000 tahun Sebelum Masihi.

Di Homslah, sebuah masjid telah didirikan – Masjid Khalid al-Walid – bagi mengenang memorinya. Masjid ini diabadikan untuknya kerana Khalid al-Walid disanjung tinggi disebabkan dia mengIslamkan Syria pada tahun 636 Masihi. Di dalam masjid terdapat makamnya.

Panglima Islam yang termasyhur itu mengenakan tuntutan (rampasan) perang (bagi pemenang) amat sederhana kerana itu Walid al-Walid dan tenteranya hanya 500 saja disambut dengan baik oleh mereka yang ditawannya. Walaupun tentera Kristian Byzantines (berjumlah 50,000 orang) mereka kalah kepada Khalid al-Walid. Di Homs, panglima Islam itu tinggal sehingga dia kembali ke rahmatullah.

Di negara Arab, kami dikenali sebagai Syed Tan Sri Abdullah Ahmad, Syed Datuk Hashim dan Syed Datuk Zakaria – kerana Syed dalam bahasa Arab sama seperti tuan atau encik saja. Kalau rakyat Malaysia, dikenali sebagai Syed Yunus Ibn Souq, pergi ke negara Arab dia akan dikenali Syed Syed Yunus Ibn Souq.

Apapun, saya akan kembali ke Aleppo! Aleppo disebut dua kali oleh Shakespeare dalam Macbeth, Anda ingatkah? Tak apa kalau lupa. Antaranya: The witches say of a sailor’s wife, “Her husband’s to Aleppo gone.” Begitu tua usia bandaraya Aleppo.

Kata Hikmah Hujung Minggu

SEBARANG musibah yang menimpa kamu adalah perbuatan kamu sendiri, iaitu apa yang telah dilakukan oleh tangan kamu sendiri. Allah mengampunkan kamu (sebahagian besar kesalahan yang telah kamu lakukan). – As-Syura 42:30
Bertaubatlah wahai manusia. Allah Maha Pengasih, Penyayang lagi Pengampun...

BERAPA kali Rasulullah SAW mengerjakan ibadat umrah? Empat kali mengikut riwayat Saidina Umar r.a. Ada orang sampai berpuluh-puluh kali. Saya hanya baru 17 kali!

Petang-petang bunyi lesung,
Orang menumbuk padi jawi;
Petang-petang ingatkan kampung,
Hendak balik, tiada cuti.

BAGI PERANTAU

Pisang emas jangan ditebang,
Batang lain banyak lagi;
Hujan emas di negeri orang,
Tidak sama di negeri sendiri.
(Dari pengalaman sendiri – enam tahun di Amerika Syarikat, hampir satu dekad di United Kingdom).

Rumah kecil tiang seribu,
Rumah besar tiang sebatang;
Kecil-kecil ditimang ibu,
Sudah besar menimang abang.

Terang bulan menggetah pungguk,
Pungguk bersarang tali temarang;
Pada tuan tembaga buruk,
Pada saya intan berkarang.

Kereta api tak ada serombong,
Bas ekspres pergi ke Batu Pahat;
Sekali-kali hamba tak sombong,
Tapi andalah yang tak tahu adat.

SEMUA orang yang saya kenal dan tak kenal di Kuala Lumpur semua sibuk (lorak, kata orang Kok Lanas).

PERSEPSI

A fool sees not the same tree that a wise man sees – Pandangan si bodoh terhadap sebatang pokok itu tidak serupa dengan penglihatan si bijak bestari – William Blake.

NO object is mysterious. The mystery is your eye – Tiada sesuatu benda yang misteri. Misteri itu adalah mata kita – Elizabeth Bowen.

ANAK
SETIAP orang panggil anaknya anak, sama ada dia berbakat atau tidak – Confucius.

NOTHING has an uglier look to us than reason, when it is not on our side – Tiada yang lebih buruk dari reason (pemikiran waras/ bernas/ berakal waktu berhujah) kalau ia tidak berada di pihak kita – Marquess of Halifax.

Mingguan Malaysia - Ahad 8/9/2003

No comments: