Minda Pengarang:
PESANAN Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad kepada orang Melayu supaya pemikiran mereka tidak dijajah semula dan kekal sebagai bangsa yang menerajui pemerintahan Malaysia, memang tepat ketika orang Melayu semakin lupa tanggungjawab mereka, terpengaruh dengan pihak tertentu yang menggunakan Islam untuk kepentingan peribadi serta mempercayai ilmu ghaib yang dikatakan mampu membantu mereka mencapai kejayaan. Hakikat inilah yang menyelubungi orang Melayu dan Islam pada hari ini hingga Perdana Menteri sendiri terpaksa memberi ingatan demikian. Orang Melayu lebih gemar mengambil jalan mudah untuk berjaya, walaupun menyedari tidak ada kejayaan yang datang bergolek tanpa sebarang ikhtiar dan usaha.
I k l a n
Dalam kita merayakan sambutan Hari Kebangsaan ke-46 dengan semangat merdeka, kita sewajarnya merenung sejenak erti sebenar kemerdekaan itu. Kemerdekaan yang kita kecapi bukan sekadar bebas daripada belenggu penjajahan Inggeris, tetapi lebih luas daripada itu. Kita perlu membebaskan pemikiran kita daripada kejumudan dan ketaksuban. Kita perlu bebaskan diri kita daripada sifat negatif yang sering dirujuk kepada kita seperti malas dan hanya berserah kepada takdir. Islam tidak pernah mengajar kita semua itu, sebaliknya sentiasa mengingatkan kita bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu jika mereka sendiri tidak berusaha untuk mengubahnya.
Kita juga sepatutnya menanam tekad untuk menjauhkan diri daripada sifat kurang sabar, inginkan sesuatu dengan mudah dan sifat tamak yang banyak membelenggu pencapaian kita selama ini. Sememangnya, kita boleh mencapai kejayaan jika kita sanggup melatih diri, tidak tamak, sabar dan berdisiplin, selain menolak tanggapan bahawa hanya ilmu ghaib dan doa saja yang boleh membantu kita. Jika kita sanggup bertekun, sabar, tidak mencari jalan mudah, kita sudah pasti boleh berjaya seperti orang lain berjaya. Kita mungkin berjaya dan ada ketikanya kita mungkin gagal. Jika gagal selepas berusaha, kita mohon pertolongan daripada Allah dan jika berjaya kita hendaklah bersyukur.
Selepas 46 tahun merdeka, orang Melayu dan Islam masih jauh ketinggalan. Tahap pembangunan kita belum sama dengan kaum lain. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan 33 tahun lalu untuk membantu kita gagal mencapai matlamat. Ada orang Melayu sanggup menjual hak dan maruah mereka untuk mendapatkan keuntungan segera sehingga akhirnya menjual agama untuk mencapai kemenangan politik. Itulah sikap segelintir daripada kita yang tidak pernah rasa bersalah, apa lagi mahu membetulkannya.
Hari ini, ketika kita merayakan kemerdekaan dan berkuasa mengurus hal ehwal kita sendiri, tidak salah rasanya jika kita mengakui kesalahan kita sebelum ini dan berusaha memperbaikinya. Masih belum terlambat bagi kita untuk berusaha. Janganlah nanti anak cucu kita membenci kita kerana gagal mengambil peluang dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita. Sebagai bangsa yang merdeka, kita bukan saja perlu bercita-cita besar, menguasai ilmu termasuk bijak berbahasa Inggeris, malah kita hendaklah memiliki disiplin yang tinggi dan tidak mudah patah semangat, terutama pada ketika negara kini sudah menjadi negara separuh maju.
Semalam, kita sekali lagi merayakan ulang tahun kemerdekaan negara. Dalam gema patriotik dan semangat yang membara, kita sebenarnya berada di persimpangan. Sambutan kali ini adalah yang terakhir di bawah kepemimpinan cemerlang Dr Mahathir yang akan bersara bulan depan. Kita bukan saja terhutang budi kepada beliau, malah sumbangannya terhadap pembangunan negara tidak dapat diukur dan sukar untuk dibalas. Dr Mahathir bukan saja menjulang nama Malaysia di persada dunia, malah berjaya mengekalkan keamanan, keharmonian dan kestabilan negara yang mempunyai rakyat pelbagai bangsa dan agama. Bagi orang Melayu, mungkin hadiah paling istimewa kepada Perdana Menteri ialah dengan membuktikan bahawa mereka mampu bangkit untuk membetulkan kesilapan masa lalu.
Dr Mahathir pernah menitiskan air mata mengenangkan betapa orang Melayu mudah lupa. Beliau juga tidak jemu-jemu menasihatkan kita supaya sedar daripada kealpaan. Oleh itu, kita sewajarnya tidak menghampakan beliau. Dengan semangat merdeka yang masih membara, kita satukan tekad untuk membuktikan bahawa orang Melayu bukan lagi bangsa pelupa, orang Melayu tidak bergantung kepada ilmu ghaib, orang Melayu sedar diri dan orang Melayu mampu bersaing dengan bangsa lain, duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi.
Berita Harian, 1 September 2003
Monday, September 01, 2003
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment