Sunday, September 07, 2003

Layan pelanggan macam keluarga

Di Sebalik Nama
Mukadimah
Semua orang tahu kedai emas Habib. Barangan kemas jenama Habib mempunyai taraf dunia. Namun tidak banyak orang kenal dengan Habib Mohamed Abdul Latif, pengasas perniagaan keluarga yang berjaya itu.

Habib mula bekerja sebagai seorang pembantu di kedai emas ketika berusia 14 tahun. Beberapa tahun kemudian, kerana ketekunan dan kemahirannya berniaga, dia dinaikkan pangkat menjadi rakan kongsi.

Ketika berusia 27 tahun, Habib mula mereka bentuk barang kemasnya sendiri. Melalui beberapa orang pelanggan tetapnya, dia mengeksport barang kemasnya itu sampai ke Asia Barat.

Tetapi Habib memang seorang yang tidak pernah puas dengan apa yang dicapainya. Dia merasakan dirinya mampu untuk berdikari dan menjalankan perniagaan sendiri. Tahun 1958 pada usia 33 tahun, dia membuka kedai emasnya sendiri di Pulau Pinang.

Hari ini, perniagaan keluarga itu menjadi begitu besar. Bermula dengan nama M.A. Habib Mohamed, ia sekarang sudah ditukar kepada Habib Holding Berhad dan tersenarai di papan utama Bursa Saham Kuala Lumpur.

Wartawan NOOR AZAM SHAIRI menemu bual Habib, 78, untuk menyelami latar belakang, falsafah hidup dan rahsia kejayaannya sebagai seorang usahawan.

Bagaimanakah perniagaan ini bermula?

HABIB: Saya mula berniaga secara kecil-kecilan pada tahun 1953. Mula-mulanya saya membeli perhiasan emas dari kedai pajak. Saya bawa balik, cuci bersih dan jual semula.

Perniagaan seperti yang ada pada hari ini sebenarnya bermula lima tahun kemudian dengan modal RM3,800. Ketika saya mula membuka perniagaan sendiri, ia dikenali sebagai M.A. Habib Mohamed. Saya membuka kedai pertama di 111, Pitt Street (sekarang Jalan Masjid Kapitan Keling), kawasan yang terkenal sebagai sudut kedai emas di Pulau Pinang.

Saya bernasib baik kerana ada di antara pelanggan saya yang membeli barang kemas dan menjualnya di Mekah. Orang di Arab Saudi suka dengan reka bentuk barang perhiasan dari kedai ini. Mereka kemudian membuat pesanan borong dan dari situ sedikit demi sedikit perniagaan ini mendapat untung dan maju.

Saya juga ada pelanggan terdiri daripada tentera Amerika Syarikat di Vietnam yang datang bercuti ke sini. Saya buka kedai di lobi hotel tempat mereka menginap. Apabila berniaga dengan mereka, banyak barang saya laku. Perniagaan saya cukup maju.

Banyak orang tanya bagaimana Habib boleh jadi kaya? mereka ingat saya kena loteri. Tetapi mereka tidak tahu barang perhiasan jenama Habib sudah `berjalan' sampai ke Mekah. Para peniaga dari serata negara juga banyak membeli borong daripada saya dan menjualnya di tempat mereka.

Pada tahun 1986, saya datang ke Kuala Lumpur dan buka kedai di Semua House. Ekonomi tidak begitu baik ketika itu dan sewa kedai juga mahal. Saya juga susah mahu meyakinkan para pekerja di Pulau Pinang supaya ikut sama berpindah.

Tetapi saya beritahu mereka, saya akan sediakan tempat tinggal dan bawa tukang masak dari Pulau Pinang. Mereka duduk dan makan bersama-sama. Alhamdulillah, perniagaan di KL juga menguntungkan dan para pekerja saya juga gembira.

Anak saya, Meer Sadik, baru balik dari Amerika Syarikat. Saya hantar dia belajar pengurusan perniagaan dan gemologi. Apabila dia balik, saya minta dia jaga perniagaan di KL. Dia ketika itu seronok jadi model dan berlakon iklan TV. Tetapi saya beritahu dia berniaga ini lebih menjamin masa depannya untuk jangka panjang; berniaga ini kita sendiri yang punya. Kalau untung besar, kita yang punya.

Saya gembira dengan apa yang telah dicapai sekarang. Daripada perniagaan keluarga, syarikat ini sudah tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur. Pernah sekali, saya masuk ke kedai dan tengok ada banyak orang. Saya kira ada 72 orang semuanya. Saya pernah dengar orang bercakap: Kenapa kedai Habib ini ramai orang, macam supermarket?

Saya kata dalam hati, alhamdulillah, ini semua rezeki.

Tuan Haji satu contoh klasik bahawa pendidikan yang tinggi tidak menjamin seseorang itu berjaya dalam hidup.

HABIB: Memang saya belajar tidak tinggi, terbantut kerana perang zaman Jepun. Saya berhenti sekolah dan ikut orang berniaga. Saya tahu tentu lebih bagus kalau saya belajar tinggi.

Tetapi saya banyak belajar tentang dunia perniagaan ini daripada pengalaman. Setelah masuk dalam perniagaan baru kita tahu ilmu-ilmu yang sepatutnya kita ada. Saya belajar sedikit-sedikit, daripada bekerja dengan orang akhirnya saya jadi bos.

Menoleh ke belakang, apakah yang menjadi rahsia kejayaan ini?

HABIB: Saya selalu tanam dalam hati satu azam mahu jadi yang terbaik dan hidup senang. Saya tengok orang kaya, dan saya tanam azam saya juga boleh jadi kaya seperti mereka. Itu sebab saya tidak peduli apa-apa pun dan saya terus berusaha.

Sekarang orang bercakap Malaysia Boleh tetapi saya sejak dari dulu lagi sudah berpegang kepada keyakinan bahawa saya boleh melakukan apa saja yang saya idamkan. Itulah kata-kata perangsang yang saya selalu sebut kepada diri sendiri.

Dalam perniagaan, apa yang penting ialah sifat jujur dan amanah; orang mesti yakin dan percaya dengan kita. Kita mesti cakap betul. Kalau kita kata barang boleh siap dalam masa tujuh hari tetapi kita siapkan selepas lima hari, tentu orang suka.

Saya juga tidak ada tolak ansur dalam soal mutu. Kualiti mesti dijaga. Kalau orang tengok, mereka akan tanya beli dari mana, dan orang akan kata dari kedai Habib.

Bagaimanakah Tuan Haji melihat para pelanggan?

HABIB: Kita mesti cakap elok-elok dengan mereka. Saya layan para pelanggan seperti adik-beradik. Walaupun seperti adik-beradik tetapi berniaga tetap berniaga. Kita boleh beri kurang tetapi untung tetap mahu untung. Kita mesti cakap betul-betul. Jangan mulut lain, hati lain. Jangan cakap satu sen pun tidak untung, cakap ada untung tetapi sedikit.

Kita juga mesti tahu apa barang yang kita jual. Saya sendiri belajar tentang emas dan permata. Saya pergi ke Belgium dan tengok bagaimana batu permata diproses. Saya tahu yang mana bagus yang mana tidak, daripada sebelum dicuci sehingga selepas dicuci.

Alhamdulillah, saya ada pelanggan turun-temurun sejak dari perniagaan ini mula dibuka; sekarang dia sudah jadi datuk dan bawa cucunya datang ke Habib.

Apakah yang menjadi motivasi kejayaan Tuan Haji?

HABIB: Saya jadikan perniagaan ini seperti satu hobi dan saya buat bersungguh-sungguh. Siang malam saya berfikir bagaimana mahu jadi yang terbaik dalam bidang perniagaan ini.

Saya selalu ingat kesusahan semasa zaman Jepun. Kesusahan itu memaksa saya berusaha keras untuk menjadi senang. Saya selalu memikirkan tentang bagaimana mahu memajukan perniagaan ini.

Saya bukan mahu jadi kaya tetapi saya mahu berjaya. Kekayaan itu akan datang sendiri kalau kita berusaha. Ia satu bonus.

Saya berniaga ini pun tiada siapa yang suruh, saya mahu sendiri. Itu sebabnya saya kena tentukan apa yang saya mahu dan usaha bersungguh-sungguh.

Apakah pengajaran paling berguna yang Tuan Haji belajar setakat ini?

HABIB: Dulu saya ingat bangsa lain saja boleh berniaga tetapi hari ini saya sudah tunjuk bahawa kita juga boleh berniaga. Perniagaan ini sudah masuk ke bursa saham dan memberi pekerjaan kepada banyak orang.

Apakah yang paling penting da-lam hidup Tuan Haji sekarang?

HABIB: Saya mesti katakan keluarga saya. Saya mahu mereka mendapat pendidikan yang terbaik. Tetapi belajar tinggi pun tidak cukup kerana apa yang lebih penting ialah tingkah laku yang sempurna. Kalau perangai kita baik, semuanya akan jadi baik.

Hidup kita mesti ada peraturan. Kalau tidak ada peraturan semuanya akan rosak. Tuhan turunkan agama itu sebagai peraturan hidup kepada kita.

Apakah kekesalan kalau ada?

HABIB: Semua yang dikurniakan kepada saya dalam hidup ini sudah mencukupi. Alhamdulillah.

Kalau ada pun yang tidak seronok dalam hati saya ialah sikap orang kita yang tidak tahu menghargai barangan tempatan. Mereka tidak tahu bahawa barang kemas buatan tempatan setanding dengan yang datang dari luar negara tetapi jauh lebih murah.

Mereka ada pandangan bahawa yang datang dari luar negara itu lebih baik. Saya pernah jumpa orang kita yang beli barang di London. Saya tanya berapa harga, dia sebut 25,000 pound. Saya beritahu dia: Jangan marah kalau saya cakap. Barang seperti ini kami boleh buat di sini dengan harga RM25,000.

Saya bukan bohong. Ini cerita betul. Saya tidak faham kenapa terpaksa berbelanja banyak sedangkan kita boleh dapat barangan yang sama buatan tempatan. Mereka tidak tahu nilai kualiti, main beli saja. Mereka mungkin hendak tunjuk ada duit banyak boleh beli barang dari Belgium, dari London.

Kalau tidak mahu beli dari Habib pun tidak mengapa. Asalkan beli barangan tempatan saja sudah cukup kerana di sini lebih murah.

Apakah yang selalu Tuan Haji pesan kepada anak cucu?

HABIB: Mesti jaga tingkah laku dan belajar jangan main-main. Jangan bandingkan dengan saya yang tidak habis sekolah kerana zaman itu berlainan dengan sekarang. Sekarang ini, pendidikan yang baik akan lebih memudahkan seseorang itu maju dalam hidupnya pada masa depan.

Walaupun saya tidak ada pendidikan tinggi tetapi saya bercampur dengan semua orang dari segenap lapisan hidup. Saya boleh bercampur dengan orang kaya dan juga orang miskin. Kepada saya tiada bezanya antara manusia. Kita tidak boleh cemburu dan sombong dengan orang. Kita harus berkawan dengan semua orang.

Tingkah laku yang baik adalah aset yang paling berharga. Duit yang banyak pun tidak ada guna kalau orang itu hatinya tidak bersih dan perangainya tidak elok. Kepada saya, orang yang kaya itu adalah orang yang hatinya baik, bukan orang yang banyak duit. Jangan beza-bezakan manusia. Hidup juga mesti jujur.

Itulah yang saya pesan kepada anak cucu.

Apakah perasaan menjadi seorang yang berjaya dan kaya?

HABIB: Ada banyak duit pun saya makan macam orang lain juga. Hidup saya tidak ada beza dengan orang lain. Siang saya makan nasi, malam makan capati.

Saya selalu berdoa kepada Allah supaya memberkati hidup ini. Saya tidak lupa ini semua adalah rahmat yang dikurniakan oleh Allah. Saya bersyukur dengan rezeki yang ada ini.

Adakah Tuan Haji setuju dengan persepsi bahawa orang Melayu dan bumiputera umumnya tidak boleh berniaga?

HABIB: Saya ada ambil orang Melayu jadi tukang emas di sini. Kita latih mereka bekerja tetapi tidak banyak yang tahan; mereka lari dan cari kerja lain. Itu perangai yang saya tidak faham: Kenapa bulan puasa mereka boleh bersabar dan bertahan tetapi dalam bekerja mereka tidak boleh tahan?

Kalau kita mahu berjaya, kita mesti selalu tekun dan sabar berusaha. Kita berdoa saja tidak boleh; kita mesti berusaha.
Mingguan Malaysia, Ahad 7/9/03

No comments: