Oleh Zin Mahmud
(WARTAWAN UTUSAN)
Dua tahun lalu dunia digemparkan dengan serangan berani mati ke atas Pusat Perdagangan Dunia New York (WTC) dan Pentagon.
Imej Amerika Syarikat (AS) sebagai kuasa kebal terjejas dengan serangan yang tidak disangka-sangka. Kecanggihan teknologi diatasi dengan kelicikan pengganas.
Pada waktu sama, imej Islam sebagai agama perdamaian juga terjejas teruk dan bayangan keganasan yang dikaitkan dengan Islam untuk beberapa lama selama ini menjadi bertambah kukuh.
Dalam dua tahun ini, dunia juga menyaksikan bagaimana rangkaian pengganas Al-Qaeda ini mempunyai sekutu yang tidak kurang berbahaya, iaitu Jamaah Islamiah (JI).
Kemunculan JI yang telah meletupkan bom di Bali dan Jakarta menghancurkan kesemua imej damai Islam di Nusantara. Selama ini para pemerhati melihat orang Melayu sebagai penganut Islam yang lembut dan damai, tidak seperti kalangan di Pakistan, Afghanistan, Iran dan dunia Arab yang mereka anggap sebagai keras dan sanggup berperang.
Malah kemunculan JI di Singapura, sebuah negara moden yang memiliki keupayaan teknologi tercanggih mengejutkan banyak pemerhati. Bagaimana sekumpulan orang Islam Singapura yang menjalani kehidupan secara moden serta terbuka, tidak seperti anggota-anggota Taliban di Afghanistan juga turut serta dalam rangkaian pengganas.
Hakikat bahawa pihak berkuasa Singapura tidak dapat mengesan mereka lebih awal juga mengejutkan seperti mana kesangsian banyak orang terhadap kemampuan sistem perisikan dan keselamatan AS ketika serangan 11 September itu.
Dalam dua tahun ini, dua peperangan yang dikaitkan dengan Peristiwa 11 September, Al-Qaeda dan Osama bin Laden telah berlangsung. Kalau AS kehilangan dua menara WTC, kini dunia Islam mendapati dua negaranya, Afghanistan dan Iraq berada dalam kawalan tentera yang diterajui AS.
Sehingga ini juga tiga tokoh yang tersungkur dalam peperangan itu belum ditemui: Osama, Mullah Omar dan Saddam Hussein.
Walaupun Saddam tidak terlibat dengan Peristiwa 11 September, salah satu alasan yang diberikan oleh Presiden George W. Bush ketika bersedia untuk menyerang Iraq ialah negara itu mempunyai hubungan dengan Al-Qaeda.
Tidak ada bukti konkrit tetapi Saddam yang sekular terheret sama. Namun begitu ketika AS menyerang Iraq, kumpulan sekutu Al-Qaeda iaitu Al-Ansar muncul di Iraq bagi membantu Baghdad. Kumpulan ini dimusnahkan terus oleh AS dalam peringkat awal peperangan itu tetapi mereka muncul kembali setelah AS menguasai sepenuhnya Iraq. Merekalah kini yang menjadi kumpulan penentang AS dengan setiap hari ada saja anggota tentera kuasa besar itu terbunuh.
Menurut satu laporan, tekanan yang dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi terhadap warganegaranya yang disyaki ada kaitan dengan Al-Qaeda menyebabkan banyak daripada mereka lari ke Iraq.
Dari situ mereka dikatakan menggabungkan diri dengan penyokong-penyokong Saddam bagi menentang AS.
Maka medan pertempuran antara AS dan Al-Qaeda muncul di Iraq selepas dua tahun kumpulan itu memusnahkan dua simbol kedaulatan kuasa besar itu, iaitu Pentagon bagi pihak pertahanan dan WTC yang mewakili kekuasaan ekonomi.
Sehingga ini masih banyak kalangan khususnya di dunia Islam yang tidak percaya terhadap tuduhan AS bahawa Al-Qaeda melakukan serangan 11 September itu.
Kepercayaan ini berleluasa di Pakistan dan dunia Arab. Ia terserlah dalam buku-buku, antaranya The Great Deception yang turut dijual di negara ini, selain daripada tulisan dalam Internet dan majalah agama di seluruh dunia.
Satu kecenderungan umat Islam pada zaman moden ialah mempercayai teori konspirasi dengan meletakkan segala kesalahan pada Zionis, Yahudi dan Israel. Inilah tuduhan yang dilemparkan oleh sebahagian umat Islam terhadap orang Yahudi.
Mereka tidak menerima bahawa pihak yang melakukan serangan itu ialah Al-Qaeda. Mereka percaya ia merupakan tindakan Yahudi dengan alasan bahawa pihak Israel mengetahui beberapa ketika sebelum serangan itu berlaku. Akibatnya kesemua orang Yahudi yang bekerja di WTC terselamat.
Timbul persoalan ialah mengapa orang Yahudi mahu menyerang WTC? Jawapan mereka ialah untuk menjatuhkan imej Islam dan seterusnya mendapatkan label keganasan itu ke atas pejuang-pejuang Palestin yang turut bertindak secara berani mati.
Hujah ini sukar hendak diterima kerana ia begitu kompleks dan komplikated untuk dirasionalkan. Lebih mudah untuk memahami dan menerima bahawa Al-Qaeda yang melakukannya.
Apabila dibandingkan antara kedua-dua hujah, apa yang dikemukakan oleh AS lebih mudah diterima akal. Walaupun tidak ada bukti secara langsung tetapi apabila diambil kira segala isu yang berkaitan dengan Peristiwa 11 September, sudah sewajarnya dapat diterima bahawa pelakunya ialah Al-Qaeda.
Sememangnya dalam banyak perkara, kerajaan AS melakukan pembohongan untuk mencapai matlamat politik mereka. Tambahan pula mereka, khususnya orang Yahudi menguasai media antarabangsa yang berorientasikan Barat. Tetapi itu tidak bermakna dalam banyak masa mereka tidak menyatakan perkara yang benar.
Dalam banyak hal, tidak boleh juga ditolak kemungkinan, yang juga besar bahawa pelaku serangan itu ialah rangkaian Al-Qaeda.
Sebaik saja berlakunya Peristiwa 11 September, secara mudah muncul pelbagai kisah yang tidak dapat disahkan, antaranya amat pelik. Fenomena yang disebut sebagai legenda kota (urban legend) ini tersiar dalam Internet dan tersebar luas di seluruh dunia.
Di kalangan umat Islam yang sudah tertanam sikap mencurigai Barat, AS dan media antarabangsa, dengan mudah, mereka lebih mempercayai kisah-kisah daripada legenda kota ini.
Ia diperkukuhkan dengan teori konspirasi dengan anggapan seolah-olah Yahudi, Zionis dan Israel amat kuat dan besar pengaruhnya hingga dapat melakukan pelbagai perkara di dunia yang berada di luar amalan biasa.
Ini berlaku kerana banyak umat Islam percaya kepada kandungan buku Protokol Zionis yang dikatakan mempunyai rancangan jangka panjang dan bersifat global untuk menguasai dunia dan meminggirkan umat Islam.
Protokol Zionis ini, malangnya dinafikan oleh pengkaji-pengkaji Barat yang menyifatkannya sebagai dokumen palsu ciptaan kerajaan Czar Rusia yang anti-Yahudi pada abad ke-18 untuk menekan masyarakat Yahudi di Rusia.
Bertambah malang lagi, tidak ada orang Islam yang melakukan kajian terhadapnya secara serius tetapi sebaliknya menerimanya sebagai satu fakta untuk menguatkan lagi sentimen anti-Yahudi.
Sedangkan dalam pernyataan-pernyataan terbuka kebanyakan kumpulan Islam di seluruh dunia, apatah lagi kalangan radikal dan militan, umat Islam secara terus terang menunjukkan sikap mahu menghapuskan bangsa Yahudi yang dianggap musuh Islam.
Sedangkan sepanjang pemerintahan Islam, baik semasa Rasulullah s.a.w., mahupun Khalifah, orang Yahudi telah memainkan peranan besar memberi sumbangan kepada tamadun Islam terutama di Andalusia dan Balkan.
Sememangnya gerakan Zionis telah merampas negara Palestin dan mereka perlu ditentang dengan jihad. Namun dalam Israel sendiri, terdapat orang Yahudi yang menyokong perjuangan Palestin.
Tetapi dengan mengambil sikap anti-Yahudi secara ganas, ia akan mengecilkan lagi bilangan orang Yahudi yang pro-Palestin.
Apa yang dilakukan oleh Al-Qaeda dan pengganas-pengganas atas nama Islam menyebabkan pihak Barat yakin bahawa umat Islam mahu memusnahkan mereka. Dalam menghadapi keadaan ini, sudah tentu mereka perlu bertindak keras dan yang menerima balasannya, adalah umat Islam. Itulah yang kini ditanggung oleh rakyat Afghanistan, Iraq dan juga Indonesia, yang turut menerima padah akibat ketidakstabilan ekoran pengeboman-pengeboman yang hanya mendatangkan penderitaan.
Sebenarnya musuh utama orang Islam adalah kejahilan dan kegagalan memisahkan antara legenda dengan fakta.
Utusan Malaysia, Jumaat 12/9/03
Friday, September 12, 2003
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment