Thursday, September 04, 2003

Belajar amalan Cina di negara ini

Pemikiran Firdaus
Seorang mahasiswa Melayu yang sedang mengerjakan tesis Ph.D-nya di bidang pendidikan di Universiti Bristol mengirimkan lima baris e-mel kepada saya minggu lalu. Beliau menyarankan supaya saya melanjutkan tulisan saya mengenai masyarakat Cina Malaysia di ruangan ini dua minggu yang lalu.

Beberapa hari setelah menerima e-mel itu saya mendapat satu maklumat menarik mengenai dua lagi amalan masyarakat Cina yang secara am saya percaya telah ramai yang faham, tetapi secara lebih terperinci mungkin belum ramai orang Melayu yang mengetahui. Dua amalan itu ialah:

Mengetepikan sentimen dan sengketa politik demi kepentingan pelajaran dan pendidikan Cina;

Mengadakan kutipan dana pendidikan sama ada pada upacara berduka cita (kematian) apatah lagi pada upacara bersukaria (seperti majlis perkahwinan atau perhimpunan murid-murid tua atau sahabat-sahabat lama);

Saya mendapat maklumat itu daripada seorang lagi tokoh masyarakat Cina yang sengaja saya hubungi untuk bertukar-tukar fikiran. Beliau bernama Goh Hin San, bekas seorang guru dan sekarang berkecimpung di dunia perniagaan sambil memimpin (menjadi presiden) Persatuan Penterjemah dan Penulisan Kreatif Malaysia.

Menurut Goh, di serata Malaysia terdapat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah Cina dan Lembaga Pengelola Sekolah Cina yang anggota-anggotanya terdiri daripada penyokong-penyokong MCA, Gerakan dan DAP. Tetapi perbezaan fahaman dan parti politik tidak pernah menghalang mereka daripada berpakat dan bekerjasama untuk kemajuan sekolah dan pendidikan sekolah Cina.

Goh juga menjelaskan betapa amalan mengutip dana pendidikan (mengumpulkan wang) sama ada di upacara duka lara mahupun pada pesta riang ria, lazimnya mendapat liputan media massa.

Maka akan tersiarlah di dada akhbar gambar dan berita penyerahan sejumlah wang untuk dana pendidikan Cina hasil kutipan di majlis kematian si anu atau di upacara perkahwinan sepasang pengantin baru. Sudah tentu ini adalah satu amalan yang patut menjadi tauladan kepada masyarakat Melayu. Sesungguhnya mencontohi amalan-amalan positif antara satu keturunan etnik, terutama antara Melayu dan Cina ini, patut diinstitusikan dalam masyarakat kita secara sedar.

Sebenarnya memang sangat banyak yang boleh, dan patut, diperkatakan tentang amalan atau interaksi positif antara orang Melayu dan Cina di Malaysia ini. Walau apa pun persepsi Cina terhadap Melayu dan begitu pula kebalikannya, walau apa pun persepsi Melayu terhadap Cina, tiada siapa yang dapat lari daripada realiti bahawa orang Cina dan orang Melayu di negeri ini terpaksa berinteraksi setiap hari. Mereka bertemu di pasar dan di kedai untuk berjual beli atau berurusan di tempat kerja di dalam atau di luar pejabat. Kerana itu kedua belah pihak tidak ada pilihan yang selamat melainkan hidup dalam keadaan yang saling faham memahami. Tetapi jika sekadar saling faham memahami, itu barangkali hanya dapat memenuhi keperluan jangka pendek. Untuk keperluan jangka panjang, Melayu dan Cina perlu terlibat dalam perkongsian bijak, iaitu kerjasama yang saling menguntungkan kedua belah pihak. Pendapat sedemikian memang kedengaran sebagai satu klise, kerana telah terlalu sering diulang-ulang.

Kebanyakan kita memang mempunyai kecenderungan mengulang-ulang satu-satu ungkapan atau perkataan tertentu mengikut sedap lidah menyebut sahaja sehingga maksud asalnya menjadi kabur atau terlupa sama sekali. Akibatnya banyak perkara penting yang diabaikan begitu sahaja, atau taken for granted mengikut istilah mat saleh.

Demikian juga mengenai hubungan Melayu-Cina ini. Masing-masing pihak terperangkap dengan tanggapan atau persepsi yang stereotaip. Sangat jarang usaha yang dibuat atau sangat sedikit di antara kita yang berusaha membebaskan diri daripada perangkap stereotaip itu. Dalam konteks inilah saya berharap semoga tema ``belajar daripada Cina'' yang mula saya sentuh dalam ruangan ini dua minggu yang lalu dan juga minggu ini, dapat memberi manfaat bukan sahaja untuk kemajuan orang Melayu malah juga untuk meningkatkan persefahaman Melayu-Cina.

Pendapat tiga orang tokoh masyarakat Cina yang saya kutip dua minggu yang lalu, antara lain mengingatkan keperluan perkara-perkara berikut:

Jangan terlalu ghairah menikmati hasil kejayaan yang belum pasti kekal sifatnya. Perlu berhemat; Jangan takut berkata ``Tidak.'' Perlu berterus terang;

Mesti membina tradisi ``jalinan kerja'' atau networking. Jangan jadi enau dalam belukar;

Mesti tangkas menyesuaikan diri dalam sebarang pertukaran. Jangan sampai ketinggalan zaman;

Mesti senantiasa rajin bekerja dan berdedikasi. Jangan hangat-hangat tahi ayam.

Akhirulkalam saya kembali kepada Goh Hin San yang saya rujuk di awal tulisan ini tadi.

Beliau mempunyai selingkaran sahabat-sahabat Melayu yang akrab yang tidak merasa terhambat untuk membincangkan isu-isu hubungan kaum yang boleh dianggap sensitif. Tiga rahsia kejayaan orang-orang Cina, menurut Goh, ialah: menepati janji; mementingkan keluarga; mengikuti falsafah Confucius, terutama dari segi kepentingan pelajaran atau pendidikan. Rasanya tidak banyak berbeza dengan ajaran Islam. Yang berbeza barangkali ialah cara penghayatan masing-masing penganut. Sekali lagi mungkin orang Cina boleh dijadikan tauladan tanpa melupakan pengajaran pantun Melayu:

Penakik pisau seraut

Ambil galah batang lintabung

Selodang jadikan nyiru

Yang setitik jadikan laut

Yang sekepal jadikan gunung

Alam terkembang jadikan guru.

Dipetik dari kolum Rencana - Utusan Malaysia, Khamis 4 Sept 2003

No comments: