Thursday, September 04, 2003

Ekonomi Malaysia diramal tumbuh 5% tahun depan

PUTRAJAYA 3 Sept. - Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan ekonomi Malaysia akan tumbuh lebih lima peratus tahun depan, kata Pengarah Urusannya Dr. Horst Kohler hari ini.

``Saya percaya prospek untuk mengekalkan pertumbuhan yang tinggi dalam tahun-tahun akan datang adalah baik,'' kata beliau pada majlis makan tengah hari yang diadakan di sini hari ini.

Majlis itu yang dihadiri oleh tokoh-tokoh korporat tempatan, dianjurkan oleh Kelab Wartawan Kebangsaan dan Institut Akhbar Malaysia.

Kohler yang berada di negara untuk lawatan kali pertama selama dua hari mulai semalam, menyifatkan Malaysia berada di hadapan dalam pemulihan ekonomi dan merupakan satu cerita kejayaan tersendiri.

Beliau berkata, kadar pertumbuhan ekonomi yang kukuh di Asia termasuk di Malaysia adalah hasil kerja keras dan juga penyusunan semula yang dilaksanakan.

Kohler juga berkata, IMF meramalkan pertumbuhan ekonomi dunia akan berkembang sekitar empat peratus pada tahun depan.

Beliau menambah, IMF juga menjangkakan Asia akan menunjukkan prestasi yang baik memandangkan rantau itu telah mencatatkan pertumbuhan pada purata enam peratus pada tahun ini.

Katanya, pasaran negara-negara sedang membangun di Asia dijangka menunjukkan prestasi baik di peringkat antarabangsa.

Kohler juga menegaskan negara-negara berkenaan mengekalkan kestabilan ekonomi mikro dengan juga kadar faedah dan inflasi yang rendah.

Beliau berkata, mereka masih perlu menyelesaikan penyusunan semula, memperbaharui usaha memperbaiki lembaran imbangan imbangan, urus tadbir korporat, penyusunan semula hutang dan menjadikan pasaran modal tempatan lebih telus melalui rangka kerja yang padu dan boleh ramal bagi pasaran.

Kohler bagaimanapun mengingatkan kejayaan sesebuah negara memulihkan ekonomi bukan menandakan kaedah yang sama boleh diterima pakai.

Katanya, negara-negara di Asia seperti ASEAN juga patut menggunakan kerjasama serantau seperti mana yang dicapai dalam menangani Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) untuk meningkatkan perkembangan ekonomi mereka.

Kohler berkata, IMF yang terus membantu negara-negara anggota sama ada negara miskin, sedang membangun dan maju, bersedia untuk mempelajari kejayaan pemulihan negara-negara Asia dalam menangani krisis masa depan.

``Kami menyokong usaha sesetengah negara di rantau ini untuk meningkatkan pengaruh mereka dalam IMF,'' kata Kohler sambil menambah beliau menyokong kenaikan kuota bagi rantau Asia.

Kohler juga berkata, IMF tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya negara-negara di Asia merasakan mereka perlu mewujudkan Dana Kewangan Asia yang diutarakan idea itu pada tahun 1997.

Beliau berkata: ``Sekiranya mereka merasakan dana itu (Dana Kewangan Asia), negara-negara yang terbabit boleh berbuat demikian.''

Utusan Malaysia, Khamis 4 Sept 2003

No comments: