Wednesday, September 10, 2003

Banyak perancangan perlu dikaji untuk memantapkan dasar, strategi - Ke arah status negara maju

Penulis Tamu Oleh MOHD. HAFLAH PIEI
DALAM perutusan ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-46 minggu lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi menyentuh tentang tahap pembangunan Malaysia setakat ini dalam usahanya untuk mencapai status sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Mengikut pendapat beliau Malaysia boleh mencapai status tersebut lebih awal lagi jika rakyat Malaysia berusaha dengan lebih kuat.

Dalam konteks inilah maka beberapa buah negeri telah merancang untuk mencapai status negeri maju lebih awal daripada Malaysia sendiri. Selangor, contohnya, sedang giat berusaha untuk menjadikan negeri tersebut sebagai negeri yang pertama di Malaysia mencapai taraf negeri maju menjelang tahun 2005 iaitu lebih kurang dua tahun dari sekarang. Begitu juga dengan Pulau Pinang yang dijangka mencapai status yang sama pada tahun 2005. Melaka dan Kedah pula sedang mengatur strategi untuk mencapai matlamat Melaka Maju dan Kedah Maju pada tahun 2010. Beberapa buah negeri lain juga sedang giat membangunkan ekonomi negeri masing-masing supaya mencapai status yang sama lebih awal lagi dari Malaysia.

Persoalannya: Apakah yang dimaksudkan dengan konsep `negara maju'? Apakah ciri-ciri yang perlu wujud bagi sesebuah negara maju? Persoalan yang lebih penting ialah apakah keperluan dan keupayaan sumber (fizikal, ekonomi, sosial dan sebagainya) yang perlu dimiliki dan/atau disediakan oleh negara-negara berkenaan? Bagaimanakah keupayaan dasar, strategi dan projek-projek yang digubal serta bakal dilaksanakan bagi mencapai matlamat status negeri maju? Rencana ini akan menyentuh secara ringkas beberapa persoalan tersebut. Moga-moga ia menjadi panduan kepada negeri-negeri yang berhasrat untuk mencapai status negeri maju lebih awal daripada 2020.

Terdapat beberapa ukuran atau indikator kuantitatif dan kualitatif, serta berasaskan ekonomi, pembangunan, sosial, psikologi dan sebagainya yang digunakan untuk mengkategorikan sama ada sesebuah negara tersebut maju atau sebaliknya.

Di antara indikator yang paling popular yang digunapakai oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang ahlinya terdiri daripada 29 buah negara termaju di dunia ialah pendapatan per kapita dan yang lebih spesifik lagi ialah KDNK per kapita. Walau bagaimanapun indikator ini walaupun penting tetapi ia adalah tidak menyeluruh dan komprehensif untuk mencirikan tahap pembangunan sesebuah ekonomi.

Satu lagi indikator yang lebih efisien ialah indeks kualiti hidup. Kualiti hidup di sini ditakrifkan sebagai merangkumi kemajuan diri, gaya hidup yang sihat, kecapaian dan kebebasan untuk memperoleh pengetahuan dan menikmati taraf hidup yang melebihi keperluan asas dan psikologi individu, untuk mencapai kesejahteraan sosial yang seiring dengan hasrat.

Indeks kualiti hidup atau juga dikenali sebagai Indeks Kompositi Pembangunan terdiri daripada gabungan Indeks Pembangunan Ekonomi dan Sosial. Indeks Pembangunan Ekonomi pula mengukur perubahan ke atas beberapa indikator ekonomi seperti KDNK per kapita, pengangguran, urbanisasi, kadar penggunaan telefon, bilangan kereta, inflasi sementara yang selebihnya dikategorikan sebagai indikator sosial. Peningkatan dalam indeks menggambarkan pembaikan serta kemajuan dalam pembangunan dan kualiti hidup. Untuk diiktiraf sebagai sebuah ekonomi maju, sesebuah negara perlu mencatatkan perubahan/peningkatan indeks yang sama dengan negara-negara OECD.

Bagi Malaysia, setakat ini tidak terdapat dalam mana-mana dokumen rasmi terutama Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama, Kedua dan Ketiga (RRJP 1 (1980-90); RRJP 2 (1990-2000) dan RRJP 3 (2001-2010) yang menetapkan secara khusus matlamat KDNK per kapita yang perlu dicapai menjelang 2020 untuk melayakkan Malaysia sebagai sebuah negara maju. Apa yang terdapat adalah penjelasan beberapa ciri negara maju secara kualititatif sahaja. Juga terdapat pernyataan bagi Malaysia mencapai status negara maju ia perlu berkembang pada kadar purata tahunan sebanyak 7 peratus setahun dalam tempoh 1990-2020.

Oleh sebab itu, kita perlu menentukan sasaran tersebut supaya semua usaha dan pemikiran ditumpukan terhadap sasaran berkenaan. Bagi negeri Kedah, untuk layak mencapai status negara maju salah satu daripada kriterianya ialah pendapatan per kapita melebihi AS$4,000 setahun (Kedah Maju 2010 Action Plan) sementara bagi Melaka pu-la kriteria yang digunakan ialah KDNK per kapita AS$10,400 setahun.

Di antara kedua kriteria tersebut, kriteria yang diguna pakai oleh Melaka adalah lebih tepat dan diterima umum. Kriteria yang digunakan oleh Kedah adalah terlalu rendah. Malah KDNK per kapita Malaysia sendiri telah hampir mencapai AS$4,000 setahun iaitu pada tahap AS$3,710 pada tahun 2002.

Kriteria Melaka Maju 2010 dikatakan lebih tepat sebab kriteria inilah yang digunakan semasa Korea Selatan diiktiraf sebagai negara maju dan sekali gus menjadi ahli ke-29 OECD pada Oktober 1996 dahulu. Disebabkan pada tahun tersebut kadar pertukaran adalah bersamaan AS$1=RM$2.50, maka sasaran KDNK per kapita sebanyak AS$10,400 tersebut adalah bersamaan dengan RM$26,000 setahun. Inilah KDNK per kapita dalam sebutan ringgit Malaysia yang perlu dicapai bagi sesebuah negara/negeri untuk layak dianggap negara/negeri maju. Inilah asas yang tersirat dalam RRJP3 dan Wawasan 2020 serta menjadi dasar matlamat Melaka Maju 2010 selama ini.

Tetapi apabila ringgit Malaysia ditambatkan kepada dolar Amerika pada kadar pertukaran AS$1=RM$3.80 pada 1 September 1998 dahulu, maka matlamat KDNK per kapita dan matlamat wawasan 2020 juga turut berubah daripada RM$26,000 kepada RM$39,520. Dengan ini matlamat KDNK per kapita Melaka juga turut berubah daripada RM26,000 kepada RM$39,520 pada tahun 2010 nanti. Perubahan ini perlu dilakukan oleh semua negeri dalam perancangan ekonomi masing-masing.

Terdapat beberapa kekeliruan dan persoalan berhubung dengan perubahan dan penyelarasan ini. Apa perlunya matlamat KDNK per kapita diselaraskan dari RM$26,000 kepada RM$39,520 apabila kadar pertukaran berubah? Bukankah kita berbelanja dalam negeri dengan menggunakan ringgit Malaysia dan bukannya dolar Amerika? Apa perlunya kita mengguna pakai kriteria yang diamalkan oleh negara-negara Barat? Bukankah kuasa beli domestik ringgit Malaysia lebih kuat berbanding dengan dolar Amerika di negara-negara maju berkenaan?

Kekeliruan ini berpunca disebabkan salah faham tentang konsep KDNK per kapita pada harga semasa dan KDNK per kapita berasaskan pariti kuasa beli (GDP Purchasing Power Parity). Untuk menjelaskan perbezaan kedua konsep ini saya perturunkan statistik berkenaan bagi tahun 2002.

Pada tahun 2002, KDNK per kapita pada harga semasa Malaysia ialah sebanyak AS$3,710 iaitu bersamaan dengan RM$14,098 setahun sementara KDNK berasaskan pariti kuasa beli adalah bersamaan AS$8,873. Jika KDNK berasaskan pariti kuasa beli dijadikan kriteria negara maju, maka Malaysia sudah hampir sangat mencapai statas negara maju (KDNK per kapita AS$10,400). Tidak perlu menanti tahun 2020 lagi. Ini menunjukkan kriteria yang relevan ialah KDNK per kapita pada harga semasa. Dalam kes Malaysia ia perlu ditingkatkan dari tahap sekarang AS$3,710 (RM$14,098) kepada AS$10,400 (RM39,520) menjelang 2020.

Di samping itu disebabkan ekonomi Malaysia amat terbuka di mana peratusan perdagangan luar adalah tertinggi di kalangan negara-negara di Asia ini, maka mahu tidak mahu faktor kadar pertukaran dan perubahannya perlu diambil kira dalam menentukan pendapatan dan pengeluaran ekonomi negara. Lainlah halnya jika Malaysia adalah `Crasoe's Island', tidak ada hubung kait dengan lain-lain negara. Sebagai kesimpulannya Malaysia atau mana-mana negeri perlu mencapai KDNK per kapita sebanyak AS$10,400 atau RM$39,520 untuk melayakkannya dipanggil negara maju dan bukannya RM$26,000 setahun.

Disebabkan ruang yang terhad kita lupakan dahulu penjelasan tentang sasaran beberapa indikator kualiti hidup yang perlu dicapai untuk menjadikan sesebuah negara berstatus maju. Kita terus membincangkan dasar yang perlu dilaksanakan bagi mencapai status negara maju.

Mengikut dasar Wawasan 2020, untuk mencapai status negara maju KDNK Malaysia perlu berkembang pada tahap 7 peratus secara purata setahun dalam tempoh 1990-2020. Dalam tempoh RRJP 2 (1990-2000) Malaysia telah berjaya mencapai matlamat pertumbuhan ini walaupun ia berkembang kurang daripada sasaran iaitu 4.7 peratus dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK-7) 1996-2000 disebabkan krisis ekonomi yang melanda Malaysia pada 1997-2000. Pertumbuhan KDNK Malaysia yang pesat melebihi 8 peratus setahun dalam tempoh 1990-1995 telah dapat menutup kekurangan ini.

Matlamat pertumbuhan bagi RRJP 3 (2001-2010) ialah 7.5 peratus setahun untuk meletakkan Malaysia di atas landasan yang kukuh ke arah Wawasan 2020. Tetapi kadar pertumbuhan sebenar yang dicatat oleh Malaysia dalam tempoh tiga tahun pertama RRJP 3 adalah terlalu rendah berbanding dengan sasarannya. Kadar pertumbuhan telah merosot kepada 0.4 peratus, 4.2 peratus dan 4.5 peratus bagi tahun 2001, 2002 dan 2003 masing-masing. Kadar pertumbuhan ini dijangka berada di bawah tahap 7.5 peratus sekurang-kurangnya sehingga tahun 2006 nanti. Ini bermakna untuk mencatatkan pertumbuhan purata tahunan sebanyak 7 peratus setahun dalam tempoh 2001-2010 ekonomi Malaysia perlu menjana sekurang-kurangnya 8.5 peratus setahun dalam tempoh 2006-2010 nanti untuk menutup kelembapan ekonomi pada tempoh 2001-2005.

Bagi Kedah Maju 2010, dasar yang digubal ialah supaya KDNK Kedah meningkat empat kali ganda iaitu daripada RM$9.1 bilion pada tahun 2000 kepada RM$36.8 bilion pada tahun 2010 iaitu pertumbuhan sebanyak 15 peratus setahun secara purata dalam tempoh 2000-2010. Dasar ini tidak realistik serta mustahil untuk dicapai. Bagi Melaka pula dasarnya ialah untuk menjana kadar pertumbuhan tahunan purata 7 peratus setahun dalam tempoh 2001-2010 bagi membolehkan Melaka Maju 2010. Memandangkan bahawa kadar pertumbuhan sebenar Melaka adalah sebanyak 0.7 peratus pada tahun 2001, 4.5 peratus (2002) dan dijangka terus berada di bawah 7 peratus setahun sehingga 2005, maka hasrat Melaka Maju 2010 tidak mungkin tercapai berasaskan matlamat pertumbuhan yang asal. Untuk merealisasikan Melaka Maju 2010, ia perlu berkembang melebihi 8.5 peratus setahun dalam tempoh lima tahun terakhir (2006-2010).

Masih banyak lagi aspek perancangan yang perlu dikaji semula untuk memantapkan lagi dasar dan strategi negeri-negeri berkenaan ke arah status negara maju. Semakan semula dan perubahan perlu dilakukan segera.

Utusan Malaysia, 7/9/03

No comments: