Oleh Abdul Rahman Abdul Rahim
Di dunia terdapat banyak agama. Kalau penganut setiap agama mahu memaksakan anutannya kepada pihak lain secara berterusan, sama ada secara kekerasan atau politik, seluruh muka bumi ini pasti terbakar dengan peperangan yang tidak berkesudahan. Maka untuk hidup secara aman, semua penganut agama wajar menerima dasar toleransi terhadap kepercayaan lain. Dialog boleh dilakukan tetapi ia harus dibuat secara berhemah dan tidak menyinggung sensitiviti bagi menjamin hubungan baik semua agama.
Begitu juga di dalam agama Islam sendiri. Jika umat Islam mahu mencapai perpaduan dan hubungan baik di antara satu sama lain, sikap toleransi perlu ada. Sememangnya apabila seseorang itu merasakan dia menemui apa yang dirasakan kebenaran, maka terdorong untuknya menyebarkan fahamannya itu kepada orang lain. Lebih-lebih lagi dalam Islam terdapat konsep dakwah.
Maka daripada Islam, muncullah pelbagai tafsiran tentang agama. Ia menjadikan mazhab, aliran dan pelbagai lagi pandangan. Ada yang telah dilabelkan dengan pelbagai istilah, sementara ada pula yang tidak diberikan dengan sebarang nama.
Sudah tentu seseorang yang berpegang pada sesuatu fahaman menganggap orang lain membuat tafsiran yang tidak betul. Malah ada yang menganggap tafsiran orang lain sebagai sesat, jahil malah kafir. Jika setiap golongan atau aliran mahu memaksakan tafsirannya kepada pihak lain, maka akan berlaku pergaduhan dan peperangan. Sikap memaksa tafsiran sendiri pada pihak lain menjadi salah satu punca perpecahan umat Islam.
Maka jalan terbaik ialah mempunyai sikap toleransi. Semua orang mempunyai sudut pandangan atau perspektif terhadap apa saja perkara, termasuklah hal agama. Tafsiran mesti berbeza di antara satu sama lain. Walaupun dialog boleh meningkatkan kefahaman di antara satu sama lain, tetapi ia tidak pasti membawa kepada perubahan fahaman dan tafsiran.
Untuk kebaikan umat Islam di atas dasar persaudaraan, orang Islam mesti bersikap toleran kepada mazhab dan aliran yang berbeza. Caranya ialah menghindarkan diri daripada menyinggung perasaan mazhab atau aliran lain. Begitu juga janganlah sensitif atau melenting dengan tafsiran yang berbeza terhadap agama.
Elak diri daripada menuduh pihak lain kafir, sesat atau jahil. Cukuplah dengan mengemukakan pandangan dan hujah tentang sesuatu perkara. Jika masing-masing sudah faham dan tidak dapat diterima, teruskanlah kehidupan dan bekerjasama pada apa yang boleh mengukuhkan perpaduan umat Islam. Di kalangan wilayah Islam yang aman, suasana itulah yang berlaku. Mereka toleran pada pandangan-pandangan lain. Tetapi di negara-negara Islam di mana umat Islam tidak toleran pada pandangan lain, maka pergaduhan berlaku. Contohnya antara Sunni dan Syiah di Pakistan.
Bagaimanapun dalam banyak keadaan, perpecahan umat Islam bukan disebabkan kerana tiadanya sikap toleransi. Tetapi adalah kerana tekanan politik, sosial dan ekonomi.
Utusan Malaysia, Jumaat 26/9/03
Saturday, September 27, 2003
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment