Friday, September 19, 2003

Medan percambahan minda Melayu

Oleh Hassan Alias

PADA alaf baharu ini, masih banyak perkara negatif yang berkaitan dengan orang Melayu yang diperkatakan. Ada yang mendakwa bahawa orang Melayu tidak mahu berubah; mereka ingin kekal dalam keadaan sekarang.

Orang Melayu juga dikatakan kurang daya saing dan mudah tunduk pada tekanan. Malah dalam konteks yang lebih luas, orang Melayu didakwa kurang iltizam terhadap bangsanya sendiri.

Dalam erti kata lain, orang Melayu yang berada di atas enggan membantu golongan Melayu yang di bawah. Hal ini mungkin berbeza dengan bangsa lain yang susah dan senang akan bersama-sama kawan sebangsa.

Adakah dakwaan di atas benar atau sekadar hipotesis untuk menakut-nakutkan orang Melayu dengan tujuan untuk menaikkan semangat mereka? Atau mungkinkah dakwaan itu suatu kenyataan? Jika benar, sesuatu perlu dilakukan untuk membetulkannya.

Kita harus mengakui bahawa perubahan fizikal dan bukan fizikal yang meliputi intelek, perspektif, dan pemikiran orang Melayu yang sedang berlaku sejajar dengan kemunculan abad ke-21.

Perubahan yang berlaku secara pantas hasil tempias pensejagatan juga mendatangkan kesan yang positif mahupun yang negatif .

Sejajar dengan perubahan nilai orang Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai institusi yang bertulang belakangkan orang Melayu, tidak sekadar mahu menjadi pemerhati pergolakan dan getar itu.

Sebaliknya DBP berusaha untuk menggali persoalan yang terpendam, membincangkan dan meleraikannya, dan merakamkan segala hal yang berkaitan dengan Melayu yang baik atau buruk sebagai panduan dan rujukan generasi hari ini dan akan datang.

Dengan gemblengan tenaga karyawan Bahagian Sains Sosial dan Kemanusiaan DBP satu Wacana Minda Melayu akan diadakan dari 7 hingga 9 Oktober 2003, di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Wacana ini bertujuan untuk mendapatkan pelbagai persepsi tokoh-tokoh pemikir negara untuk membicarakan minda Melayu.

Minda di sini dirujuk sebagai pandangan, tanggapan dan pemikiran para ilmuwan terhadap cara berfikir, kesedaran, ideologi, dan nilai-nilai yang masih dipegang oleh orang Melayu pada zaman ini.

Hasil pemahaman yang jelas tentang minda Melayu, identiti dan realiti sebenar orang Melayu dapat dikenal pasti.

Tokoh yang akan membentangkan kertas kerja pada seminar itu ialah Prof. Datuk Zainal Kling, Datuk Dr. Abdul Monir Yaacob, Prof. Datuk Dr. Hashim Yaacob, Prof. Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh, Dr. Wan Mohd. Nor Wan Daud, Prof. Emiritus Datuk Dr. Asmah Omar, Tan Sri Awang Had Salleh, Datuk Dr. Hassan Ahmad, Dr. Jelani Harun, Datuk Dr. Syed Othman Alhabshi, Kol. Prof. Datuk Dr. Ahmad Fawzi Ahmad Basri, Prof. Chamhuri Siwar, Prof. Mohamed Hatta Shaharom, Dr. Ahmad Sobirin Arshad dan Tan Sri Abdullah Ahmad.

Berbincang

Wacana Minda Melayu ini bakal menjadi medan tokoh-tokoh cendekiawan dan pemikir negara berbincang dan bertukar-tukar pendapat tentang sesuatu isu yang berkaitan dengan orang Melayu.

Hasil wacana ini akan digabungkan dan diterbitkan menjadi sebuah buku besar tentang minda Melayu.

Dalam masa yang sama, pelbagai pandangan daripada pelbagai tokoh ilmuwan tentang Melayu dapat dikongsikan bersama-sama demi mengenal jati diri orang Melayu.

Dengan cara ini kita dapat melihat sama ada orang Melayu masih berada pada tahap lama ataupun sudah sedar dan berubah seiring dengan perkembangan semasa.

Wacana ini terbuka kepada semua peringkat masyarakat Melayu supaya berlaku percambahan idea pelbagai peringkat dan hala.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang wacana, hubungi urus setia melalui talian 03-21481550 (Norhisyam Karno - nhk@dbp.gov.my), 03-21481569 (Nor Aida Mohd. Salleh - noraida2@dbp.gov. my), dan 03-21481597 (Norizan Osman - norizan@dbp.gov.my).

Utusan Malaysia, Jumaat 19/9/2003

No comments: