Friday, September 19, 2003

Membangunkan dinar emas di kalangan OIC

Oleh Mohd. Nahar Mohd. Arshad

Sempena Sidang Kemuncak Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menganjurkan seminar mengenai dinar emas dalam perdagangan antarabangsa.

Sesungguhnya dunia tanpa sempadan, natijah dari letusan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) menyaksikan kehidupan manusia menjadi semakin kompleks. Liberalisasi perdagangan, buruh dan modal dewasa ini sememangnya tidak pernah dirasai oleh sejarah manusia sebelumnya.

Malangnya, meskipun kehidupan manusia semakin moden, sistem kewangan dunia yang diamalkan sekarang masih lagi ketinggalan dan tidak dapat memenuhi tuntutan zaman yang semakin cepat berubah.

Semenjak runtuhnya sistem kewangan Bretton Woods, sistem kewangan dunia telah digantikan dengan sistem mata wang apungan, di mana nilai mata wang sesebuah negara dinilaikan pada mata wang negara lain.

Sistem ini pada hakikatnya telah memberikan manfaat yang begitu banyak kepada negara-negara kaya. Ini kerana, dalam sistem mata wang apungan, mata wang kertas cetakan negara-negara kaya seperti dolar Amerika Syarikat (AS) dan euro diterima pakai sebagai mata wang dunia.

Kesannya, AS sebagai contoh, dengan mudah menukarkan `kertas' yang dipanggil dolar dengan pelbagai barangan dan perkhidmatan. Keadaan ini jelas daripada pengalaman Malaysia sendiri, di mana suatu masa dahulu, kita adalah pengeluar timah utama dunia dan AS adalah salah sebuah negara yang banyak mengimport hasil bumi tersebut dari negara kita. Kita menukarkan timah dengan `kertas' dolar. Sekarang, timah sudah semakin tiada di bumi Malaysia dan dolar yang kita terima dan kumpul dari hasil jualannya pula tidak menentu nilainya. Dalam kes ini, nyata pihak yang paling untung adalah AS.

Krisis kewangan Asia 1997 merupakan satu lagi peristiwa yang hampir menghancurkan ekonomi banyak negara Asia, termasuklah Malaysia. Ini kerana dalam sistem kewangan apungan, ketidaktentuan turun naik nilai mata wang memberikan peluang kepada spekulator mata wang mengaut keuntungan atas kerugian masyarakat terbanyak. Mujur kerajaan Malaysia telah mengambil langkah yang tepat dan tegas dengan segera menambat ringgit pada dolar dan mengenakan kawalan modal.

Terbukti bahawa sistem kewangan apungan di mana kertas diterima sebagai wang mempunyai banyak kelemahan. Richard Duncan, dalam bukunya The Dollar Crisis, meramalkan kemungkinan satu krisis ekonomi yang mungkin lebih buruk daripada Great Depression akan berlaku seandainya sistem kewangan sekarang diteruskan.

Sebagai jalan penyelesaian, ramai pakar ekonomi mengesyorkan agar emas kembali diguna pakai sebagai perantaraan pertukaran terutamanya dalam perdagangan antarabangsa.

Berbanding kertas atau mana-mana komoditi, emas merupakan komoditi terbaik untuk berfungsi sebagai mata wang. Ini kerana, ia mempunyai kaitan material, psikologi dan sejarah yang rapat dengan kehidupan manusia. Nilainya juga adalah lebih stabil jika dibandingkan dengan mana-mana mata wang utama dunia termasuklah dolar AS.

Untuk menekankan betapa pentingnya emas dalam perdagangan antarabangsa; suatu masa dahulu, kekayaan sesebuah negara diukur pada jumlah emas permata (bullion) yang dimilikinya - pandangan mercantilists. Namun, setelah sistem Bretton Woods runtuh pada tahun 1971, peranan emas sebagai mata wang perdagangan semakin lenyap.

Sistem mata wang apungan yang diguna pakai pasca-Bretton Woods terlalu banyak kelemahannya dan mendedahkan ekonomi dunia kepada pelbagai masalah. Tetapi yang nyata lebih menguntungkan negara-negara kaya dan terus menindas negara-negara miskin dan membangun.

Apakah kelebihan sistem kewangan antarabangsa yang berasaskan emas? Satu kelebihan utamanya dapat dilihat dalam sistem Standard Emas dan sistem Bretton Woods. Dalam kedua-dua sistem, terdapat satu mekanisme pengimbang yang sentiasa memastikan akaun imbangan pembayaran sentiasa berimbang.

Secara teorinya, negara yang mempunyai lebihan dagangan akan menerima banyak emas dan ini membolehkan negara tersebut meningkatkan penawaran wang dalam negeri. Akibatnya, peningkatan penawaran wang domestik akan menyebabkan kenaikan harga barangan dalam negeri.

Ini selanjutnya akan menyebabkan eksport bersih negara berkurangan dan keadaan ini akan berterusan sehinggalah imbangan pembayaran kembali menjadi seimbang. Keadaan yang sebaliknya pula akan berlaku bagi negara yang mengalami defisit dagangan.

Bagaimanapun, mekanisme di atas tidak wujud dalam sistem mata wang yang diamalkan sekarang. Akibatnya, kebanyakan negara kini menghadapi masalah imbangan pembayaran yang semakin melebar antara negara yang mencatatkan lebihan dagangan dan negara yang mengalami defisit dagangan.

Idea penggunaan dinar emas seperti yang dicetuskan oleh Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mampu menyelesaikan masalah dan kelemahan dalam sistem kewangan `kertas' sekarang.

Dinar emas merupakan satu inovasi baru penggunaan emas dalam perdagangan antarabangsa. Ia mengadaptasi penyelesaian pembayaran antarabangsa menerusi Perjanjian Pembayaran Dua Hala atau Perjanjian Pembayaran Pelbagai Hala.

Misalnya, dalam kerangka operasi Perjanjian Pembayaran Dua Hala, hanya baki bersih dagangan antara dua negara sahaja akan diselesaikan menggunakan emas. Pembayaran akan diselesaikan antara bank pusat dua negara tersebut secara periodikal.

Oleh kerana dagangan antara negara akan sentiasa berterusan, baki bersih dagangan boleh dibawa ke hadapan di mana ia secara tidak langsung tidak memerlukan pemindahan emas secara fizikal. Inovasi ini memungkinkan transaksi dagangan besar diselesaikan dengan stok emas yang kecil kerana penyelesaian dagangan dibuat pada nilai bersih dagangan. Sistem ini mampu mengoptimumkan dagangan antarabangsa dengan penggunaan emas yang efisien.

Idea ini semakin mendapat sambutan banyak negara terutamanya dari negara-negara Islam. Dinar emas, cetusan idea Perdana Menteri kita, mampu menjadi satu elemen penyatuan negara-negara Islam.

Sistem ini tidak memerlukan persetujuan semua negara Islam. Ia memadai dengan hanya dua negara bersetuju memulakannya, kemudian lima, tujuh, sepuluh dan seterusnya berkembang menjadi satu blok perdagangan yang berdasarkan satu mata wang yang utuh - emas.

- MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD ialah pensyarah Kulliyah Ekonomi dan Sains Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)



Utusan Malaysia, Jumaat 19/9/2003

No comments: