Lidah Pengarang
Keputusan kerajaan melaksanakan sepenuhnya pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris mulai tahun depan merupakan langkah mempercepatkan cita-cita negara untuk melahirkan masyarakat berdaya maju.
Laporan yang menunjukkan bahawa pencapaian pelajar dalam peperiksaan Sains dan Matematik peringkat sekolah yang diajar dalam bahasa Inggeris didapati melonjak sejak dasar baru diperkenalkan awal tahun ini menunjukkan kemampuan yang dimiliki oleh murid-murid itu.
Dengan itu, sudah sewajarnya dasar mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris itu dilaksanakan sepenuhnya pada tahun depan.
Kita percaya pelajar-pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) mampu menyambut cabaran ini dengan sebaik-baiknya.
Kebolehan yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar tahun satu dan tingkatan satu mempelajari mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris setakat ini meyakinkan kita bahawa program serupa dapat dilaksanakan di peringkat-peringkat lain.
Namun begitu, kita dapat memahami masalah dan cabaran besar yang dihadapi oleh bukan saja para pelajar tetapi juga guru-guru yang ditugaskan melaksanakan program ini dengan segala kekurangan dan pelbagai halangan. Sungguhpun begitu, ternyata mereka mempunyai semangat yang tinggi bagi melaksanakan rancangan ini dengan sepenuhnya.
Walaupun ada kalanya terdapat pelbagai keraguan, tetapi secara keseluruhannya ibu bapa dan masyarakat amnya menyedari kepentingan dasar ini untuk masa depan anak-anak mereka dan negara sendiri.
Mereka dapat menerima bahawa untuk negara mempunyai sifat berdaya maju, bahasa Inggeris adalah amat penting dikuasai khususnya dalam bidang sains dan teknologi. Maka penguasaan mata pelajaran Sains dan Matematik menjadi landasan penting bagi kemahiran masa depan.
Apa yang berlaku di dunia hari ini di mana kebanyakan ilmu berkembang dalam bahasa Inggeris menuntut kita menguasainya jika mahu bukan saja hidup tetapi mampu bersaing. Inilah hakikat yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa.
Malah kenyataan pahit yang harus kita telan ialah hakikat bahawa negara ini sudah terlewat dalam menghasilkan sumber manusia yang mahir berbahasa Inggeris. Justeru kita memerlukan tindakan drastik mengubah keadaan bagi mengatasi cabaran besar ini.
Walaupun bahasa Inggeris hanya digunakan untuk pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik, tetapi ia tidak bermakna bahawa pelajar-pelajar hanya mengehadkan penguasaan bahasa itu dalam mata pelajaran tersebut semata-mata.
Ini kerana pelajar-pelajar Malaysia secara umumnya harus mampu menguasai bahasa Inggeris sepenuhnya kerana di persada dunia kepentingan bahasa itu tidak terhad dalam bidang sains dan teknologi saja.
Apabila kita menghadapi dunia, lebih-lebih lagi dalam bentuk globalisasi dengan melalui teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), bahasa Inggeris menjadi alat utama yang melicinkan semua urusan, baik dalam perniagaan mahupun diplomasi.
Rakyat negara ini harus menanam kesedaran bahawa penguasaan bahasa Inggeris akan meningkatkan bukan saja kualiti kehidupan tetapi juga mengkayakan pengalaman hidup kerana kedudukan bahasa itu di peringkat hubungan antarabangsa.
Utusan Malaysia, Isnin 8/9/03
Wednesday, September 10, 2003
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment