Wednesday, September 10, 2003

Teknologi, alatan moden untuk 250,000 petani aktif

HANYA 250,000 daripada sejuta petani di negara ini aktif mengusahakan bidang pertanian dan menjadikannya sebagai pendapatan utama, kata Menteri Pertanian, Datuk Seri Effendi Norwawi.

Sehubungan itu, katanya, dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, kerajaan akan memberi tumpuan kepada mereka dengan memperkenalkan teknologi pertanian moden.

Beliau berkata, petani yang aktif itu akan menjadi sasaran untuk mentransformasikan mereka daripada menggunakan kaedah tradisional kepada peralatan pertanian atau jentera moden selain benih dan baja berkualiti.

Effendi berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2003 di Auditorium Taman Budaya di Kangar, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Parlimen Kementerian Pertanian, Datuk Abu Bakar Taib.

Dalam perkembangan lain, Effendi menggalakkan petani mendapatkan Pensijilan Akreditasi bagi hasil keluaran mereka, sekali gus melayakkan hasil pertanian itu mendapat jenama Malaysia's Best.

Beliau berkata, hasil pertanian yang mendapat Pensijilan Akreditasi itu akan berpeluang dipasarkan ke beberapa hypermarket besar di negara ini.

Katanya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mendapat kontrak untuk memasarkan hasil pertanian tempatan ke beberapa pasar raya besar seperti Tesco, Carrefour, dan Giant.

"Bagaimanapun, hanya hasil pertanian bermutu dan dijamin segar, selamat dan berkualiti saja yang dibenarkan dijual di pasar berkenaan.

"Ini adalah syarat yang ditetapkan pihak pasar raya sekiranya mahu hasil pertanian tempatan dijual di tempat mereka," katanya.

Beliau berkata, hasil pertanian tempatan yang menggunakan Pensijilan Akreditasi yang juga layak mendapat jenama Malaysia's Best mempunyai peluang besar untuk dieksport.

Berita Harian

No comments: