Saturday, September 27, 2003

PBB perlu dirombak

Mukadimah

Teks ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat Khamis 25 September 2003.

Sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Pengerusi Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), izinkan saya mengucapkan tahniah kepada anda atas pelantikan sebagai Presiden Perhimpunan Agung sesi Ke-58. Saya yakin dengan memberi kebijaksanaan, pengalaman dan kemahiran diplomatik anda, anda akan mampu mengemudi persidangan perhimpunan ini dengan rumusan yang berjaya.

Saya memberi jaminan bahawa delegasi Malaysia akan memberi sepenuh kerjasama kepada anda. Saya cukup yakin bahawa semua anggota NAM turut memberikan seluruh sokongan dan kerjasama mereka kepada anda.

Izinkan juga saya memberi penghormatan kepada bekas presiden, Tuan Yang Terutama Encik Jan Kavan, kerana dedikasi dan gaya kepimpinan yang berkesan dalam menjalankan tugas bagi Perhimpunan Agung sesi ke-57.

Saya juga ingin memberi pujian kepada Setiausaha Agung atas usaha dan ketekunannya dan saya tabik kepada lelaki dan wanita yang memberikan dan berkorban nyawa berkhidmat untuk PBB.

Perhimpunan ini telah diwujudkan sebagai satu forum kepada negara-negara di dunia, kecil dan besar, untuk menyuarakan pandangan dan rasa tidak puas hati secara bebas sebagai pemegang kepentingan dalam tadbir urus masyarakat antarabangsa. Malangnya, ia tertakluk kepada Majlis Keselamatan PBB, yang selanjutnya akur kepada mana-mana satu daripada lima negara pemenang suatu peperangan yang berlaku lebih separuh abad lalu.

Maka ia bukanlah forum yang benar-benar demokratik tetapi itulah satu-satunya yang dimiliki oleh tamadun agung pada akhir abad ke-20 dan awal abad ke-21 ini; suatu tamadun yang sepatutnya menjunjung kebebasan.

Bersuara

Bagaimanapun kami negara kecil lebih banyak bersyukur. Daripada dijajah oleh bangsa Eropah, kami kini merdeka, dan kami diterima menganggotai PBB dengan hak untuk bersuara, walaupun dengan kekangan dan suasana terhormat yang dianggap wajar dalam perhimpunan mulia ini. Dan sebagai negara-negara merdeka, kita percaya kami ada hak mengurus hal ehwal dalam negara kita sendiri tanpa campur tangan asing.

Kita akui terdapat beberapa kerajaan yang melakukan penyelewengan dalam pengurusan negara masing-masing. Tetapi para pengkritik mesti ingat bahawa mereka juga telah menyalahgunakan kuasa kerajaan apabila mereka merampas tanah milik penduduk asal dan menghapuskan mereka, sambil mendakwa ia adalah Manifest Destiny (takdir yang nyata) mereka dan `tanggungjawab orang Kulit Putih', untuk membawa tamadun dengan membentuk negara mereka sendiri di tanah ini dan mengurung orang Asli di tanah rizab yang gersang, tidak mempunyai sebarang peranan dalam kerajaan yang diterajui oleh bangsa baru. Apa yang telah mereka lakukan ke atas orang Asli ini bukanlah sesuatu yang di luar kebiasaan mereka kerana di negara mereka sendiri mereka lakukan pembunuhan ramai ke atas orang Yahudi, perbicaraan palsu, penyeksaan dan pembunuhan dengan membakar mereka pada tiang-tiang.

Kita semua memikul bebanan sejarah. Tetapi kita akan sanggup meninggalkannya jika tidak kerana sejarah sering berulang. Hari ini kita melihat kemunculan semula pengembangan empayar Eropah. Di peringkat awal kita menyangka penjajahan baru hanya berbentuk maya. Hanya dengan menjerut ekonomi dan melemahkan kewangan, negara-negara yang baru merdeka akan melutut kepada mereka, merayu supaya dijajah kembali. Hari ini kita sebenarnya berhadapan dengan penaklukan kaedah fizikal cara lama oleh kuasa-kuasa asing. Rejim-rejim boneka diwujudkan, menari-nari seperti boneka.

Dan institusi terhormat ini, PBB yang kita letakkan harapan yang tinggi, di sebalik pelindungan yang sepatutnya disediakan oleh lima anggota tetap, organisasi ini hari ini runtuh di atas kelemahannya, tidak berdaya untuk melindungi negara miskin dan lemah. PBB boleh diperlekehkan, diketepikan, terawang-awang, tidak berdaya dalam usaha untuk menjadi relevan.

Agensi-agensi PBB telah dikerat, dilapah dan dibentuk semula supaya mereka boleh berfungsi sebagaimana yang dikehendaki oleh tuan-tuan boneka. Bank Dunia, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) kini telah bertukar kepada alat hegemoni, untuk memiskinkan yang miskin, mengayakan yang kaya.

Bukanlah sesuatu yang memeranjatkan hari ini bahawa perbezaaan antara yang kaya dan miskin menjadi terlalu luas.

PBB yang lumpuh dan agensi-agensinya yang bertukar kepada alat-alat negara yang berkuasa, kini negara-negara kecil terdedah dan tidak berdaya. Walaupun kita benar-benar tidak bersalah, tiada apa yang boleh menghalang dakwaan-dakwaan palsu yang dilemparkan terhadap kita.

Kita merasa terdapat keperluan yang mendesak supaya integriti dan kewibawaan PBB dipulihkan semula. Mujurlah, pelanggaran nilai-nilai sejagat dilakukan oleh negara-negara yang terkenal dengan amalan kebebasan bersuara dan hak pihak lain.

Apabila kritikan dihalang, maka penyelewengan akan meningkat sehingga tidak tertahan dan berlaku pemberontakan yang diiringi dengan pelbagai bentuk kemusnahan. Inilah yang berlaku kepada Saddam Hussein di peringkat nasional malah ia boleh terjadi di peringkat antarabangsa.

Kebebasan bersuara merupakan alat kawalan keselamatan yang mana tanpa kewujudannya, keadaan akan akhirnya membawa kepada suatu ledakan.

Sejak krisis kewangan melanda Asia pada 1997, Malaysia belum mampu pulih sepenuhnya. Krisis tersebut disusuli pula dengan kejatuhan syarikat-syarikat Dot.Com., penipuan besar-besaran oleh gabungan syarikat gergasi multinasional yang kaya raya. Seterusnya tercetus pula serangan pengganas yang mengakibatkan peristiwa 11 September di mana seluruh pelosok dunia secara mendadak mengetatkan kawalan keselamatan masing-masing, penaklukan Afghanistan dan Iraq.

Kecurigaan

Dunia sekarang hidup dalam ketakutan - yang kaya daripada serangan pengganas dan yang lain daripada menjadi sasaran kecurigaan dan serangan pintas.

Kemudian muncul pula Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang telah hampir membankrapkan banyak syarikat penerbangan serta perniagaan pelancongan. SARS lenyap begitu pantas seperti mana ia muncul. Tetapi tiada jaminan ia, atau penyakit berjangkit yang serupa tidak akan kembali.

Dunia kini kehilangan arah. Harapan kepada erapasca Perang Dunia Kedua dan PBB terjejas oleh Perang Dingin. Kini Perang Dingin telah berakhir tetapi kewujudan dunia unipolar dan kekuasaan kapitalisme telah membawa ancaman bentuk baru.

Tiada negara yang selamat daripada dirompak oleh peniaga-peniaga mata wang yang dalam masa yang singkat boleh meranapkan ekonomi negara-negara yang sedang membangun. Jauh daripada menghalang perompak-perompak jalanan ini, mereka dipuji kerana kemurahan hati. Sekurang-kurangnya Robin Hood mencuri daripada yang kaya untuk memberi kepada miskin.

Perompak-perompak ini mencuri daripada yang miskin dan memberi sesuatu yang tidak berharga demi mengurangkan rasa bersalah. Mereka bukan dermawan.

Dunia unipolar yang didominasi oleh bangsa yang demokratik telah membawa dunia kepada kekacauan ekonomi, anarki politik, ketidaktentuan dan ketakutan. Kita tidak akan pulih, dan menikmati keamanan selagi ancaman digunakan untuk pembaharuan semula politik dan ekonomi di mana kebanyakan negara tidak bersedia dan tidak rela untuk menerimanya.

Sekiranya kita mahukan demokrasi, kedaulatan undang-undang dan menghormati hak asasi manusia, golongan yang berkuasa mesti menunjukkan komitmen kepada semua idea-idea murni ini. Dan mereka boleh bermula dengan menstrukturkan semula PBB, khususnya dalam pemansuhan sistem undi veto sebuah negara yang merupakan amalan tidak demokratik.

Sistem

Ia harus digantikan dengan sistem lain di mana undi veto diubahsuai. Iaitu undi veto perlu datangnya daripada dua kuasa veto yang disokong oleh tiga negara anggota lain dalam Majlis Keselamatan untuk menghalang sebarang Resolusi PBB. Tetapi secara beransur-ansur, sistem begini juga harus dimansuhkan dan digantikan dengan keputusan majoriti Majlis Keselamatan.

Agensi-agensi penting lain PBB mesti dibebaskan daripada dominasi mana-mana sebuah negara. Secara beransur-ansur, ia juga harus berubah menjadi demokratik.

Pasaran bebas mesti diiktiraf menurut apa yang dimaksudkan sebenarnya - iaitu pasaran di mana keutamaannya ialah keuntungan perniagaan. Ia seharusnya tidak dijadikan suatu kuasa politik untuk mendisiplinkan mana-mana kerajaan. Bagi hak mengaut keuntungan daripada perdagangan dunia, suatu cukai wajar dikenakan oleh PBB dan digunakan oleh PBB untuk membina infrastruktur yang amat diperlukan oleh negara-negara miskin di seluruh dunia.

Kadar tukaran asing juga harus ditetapkan oleh sebuah Suruhanjaya Antarabangsa berdasarkan atas isu-isu yang relevan. Selain daripada suatu komisen kecil, tidak ada keuntungan yang patut diperoleh daripada spekulasi atau manipulasi kadar tukaran asing.

Subsidi oleh negara-negara kaya bagi pengeluaran makanan dan produk-produk lain mestilah dilarang walaupun negara-negara miskin harus dibenarkan melakukannya untuk jangka waktu yang ditetapkan bagi melindungi industri dan pengeluaran makanan mereka.

Dunia sudah kehilangan arah. Dunia bergerak terlalu cepat. Kita perlu berhenti sejenak, dan membuat pertimbangan daripada apa yang berlaku. Ada satu peribahasa Melayu yang menyatakan bahawa apabila seseorang sesat jalan, dia perlu kembali ke pangkal jalan.

Kita perlu kembali kepada pangkal jalan. Jika kita berani mengakui, sesungguhnya banyak daripada masalah yang kita hadapi hari ini adalah kerana rampasan sewenang-wenang tanah Palestin untuk membolehkan diwujudkan negara Israel sebagai jalan penyelesaian masalah Yahudi Eropah.

Utusan Malaysia, Jumaat 26 September 2003

No comments: