Wednesday, September 10, 2003

Umat Islam lemah jika hanya kuasai ilmu agama

Oleh: FAUZI JAAFAR

JOHOR BAHRU 9 Sept. - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, umat Islam akan terus ketinggalan zaman, menjadi lemah, mudah terpedaya dan dikuasai oleh orang lain sekiranya beranggapan mereka hanya perlu menguasai ilmu agama sahaja.

Sehubungan itu Perdana Menteri menyanggah pendapat yang mengatakan penguasaan ilmu agama sahaja yang memberi pahala manakala penguasaan ilmu-ilmu lain tidak mendapat ganjaran yang sama.

``Benarkah orang yang mempunyai ilmu yang boleh menyelamatkan agama Islam dan orang Islam, tidak mendapat ganjaran yang sama dengan mereka yang mempunyai ilmu agama?

``Apakah akan jadi jika semua orang Islam mengejar hanya ilmu agama sahaja untuk mendapat ganjaran atau pahala yang kononnya dijanjikan sehingga tidak ada siapa yang tahu dan mampu menjaga keselamatan agama Islam dan orang Islam?'' katanya di sini malam ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Perujian Membaca Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali ke-46 tahun 1424 Hijrah/2003di Stadium Tertutup Bandar Raya Johor di sini. Turut hadir ialah Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Sebanyak 28 peserta akan menyertai Perujian Membaca al-Quran yang bermula hari ini sehingga 13 september.

Dr. Mahathir menegaskan, jika memberi air kepada anjing yang dahaga pun mendapat pahala, tidakkah orang yang menyelamatkan umat Islam dan agama Islam juga mendapat pahala yang sewajarnya.

Soalan-soalan ini tegas Perdana Menteri, perlu dijawab dengan merujuk kepada al-Quran dan hadis kerana kekeliruan berkenaan dengan apa yang disuruh dan dengan apa yang ditegah oleh agama mempengaruhi cara hidup dan menentukan sama ada orang Islam dan agama Islam hidup subur atau tidak.

Al-Quran katanya, memberi panduan kepada penganut agama Islam secara menyeluruh supaya Islam benar-benar menjadi cara hidup.

``Tetapi biasanya banyak ayat dan isi kandungan al-Quran tidak mendapat perhatian yang seimbang hingga ada ayat-ayat yang diutamakan dan ada yang seolah-olah diketepikan.

``Dengan itu kita tidak mendapat panduan dan nikmat sepenuhnya daripada kitab suci ini,'' kata beliau.

Pada masa yang sama Dr. Mahathir turut melahirkan rasa sedih kerana ketika umat Islam sedang menghadapi serangan musuh, ada orang Islam yang sanggup membunuh orang Islam lain kerana perbezaan fahaman atau dengan kata lain orang Islamlah yang sebenarnya menolong musuh untuk menjayakan hasrat mereka.

``Sudah tentu yang mendapat manfaat adalah musuh Islam. Dengan kata lain orang Islamlah yang sebenarnya menolong musuh untuk menjayakan hasrat mereka,'' kata beliau.

Menurut beliau, perbezaan fahaman wujud disebabkan tafsiran ayat-ayat al-Quran yang berlainan dan kadang-kadang bertentangan berkenaan ayat yang sama oleh pentafsir yang terdiri daripada manusia biasa yang tentu tidak sunyi daripada kesilapan walaupun amat alim dan arif.

Kelainan tersebut menurut Dr. Mahathir telah dapat memecah-belahkan umat Islam kepada mazhab, tarekat dan kumpulan-kumpulan yang begitu berlainan fahaman akan ajaran Islam sehingga mereka sering tuduh menuduh antara satu sama lain dan saling bermusuh.

Perdana Menteri berkata, dalam hal ini tekanan yang diutamakan adalah kepada ibadat tertentu seperti solat dan berpuasa yang ditokok tambah dengan banyak amalan lain mengikut mazhab dan fahaman pihak tertentu yang membuat tafsiran dan memimpin agama.

``Yang amat digemari ialah hukum-hukum ke atas orang yang salah terutama wanita, yang dianggap punca segala keburukan yang berlaku dalam masyarakat,'' tambah beliau.

Bahagian dan ayat-ayat al-Quran yang mengutamakan keadilan tidak dianggap sama penting dengan proses pengadilan yang dikehendaki oleh agama Islam, ujar Perdana Menteri sambil menambah bahawa proses pengadilan adalah untuk menentukan keadilan berlaku juga telah tidak dianggap penting.

``Kalau pun keadilan tidak berlaku, ia dianggap menepati ajaran Islam kerana proses telah diikuti, soalnya ialah apakah proses atau prosedur tertakluk kepada keadilan atau keadilan tertakluk kepada proses?

``Al-Quran menegaskan bahawa apabila menghukum, hukumlah secara adil, tidak disebut dalam al-Quran bahawa keadilan tidak penting atau proses penghakiman dan prosedur lebih penting,'' kata beliau lagi.

Di zaman moden ini kata Dr. Mahathir, manusia mempunyai cara saintifik untuk menentukan siapa yang melakukan kesalahan, dengan menggunakan ujian DNA dan cara-cara lain yang boleh kenal pasti siapa yang bersalah.

``Umpamanya jika anak yang dilahirkan setelah wanita dirogol, mempunyai rupa yang sama dengan perogol, apakah kita akan menolak juga tuduhan terhadap perogol? Apakah adil jika kita terus menuduh mangsa rogol membuat tuduhan yang tidak berasas, mengenakan sebatan dan merejam dengan batu kerana melahirkan anak di luar nikah sedangkan pemeriksaan DNA mengesahkan yang dituduh merogol adalah bapa kepada anak berkenaan?

``Apakah adil hukuman kita? Apakah ia menepati kehendak Islam seperti yang disebut dalam al-Quran iaitu `Apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil?'' katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menyarankan ulama yang meneliti ajaran Islam melalui al-Quran dan hadis yang sahih perlu membuat penjelasan supaya agama Islam tetap sesuai dengan keadaan di zaman ini.

``Jika ulama berpendapat bahawa jika sesuatu tidak disebut dengan tepat dan jelas dalam umul kitab dan hadis maka ia ditegah, maka banyaklah yang haram terdapat di sekeliling kita sekarang, '' tegas beliau.

Utusan Malaysia, Rabu 10/9/03

No comments: