Sunday, October 05, 2003

Cek guna mikrocip -- Cadangan Kementerian Kewangan atasi pengklonan, pemalsuan

Oleh: AIZAWATI AHMAD

MUADZAM SHAH 4 Okt. - Kementerian Kewangan akan mencadangkan ciri-ciri keselamatan baru termasuk penggunaan kaedah Mikrocip Malaysia (MM Chip) yang termaju pada cek sebagai usaha mengatasi masalah pengklonan dan pemalsuan cek.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Dr. Jamaluddin Jarjis berkata, pihaknya akan mendapatkan kerjasama daripada Bank Negara Malaysia untuk sama-sama mencari kaedah terbaik bagi mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan cek sebelum mengemukakan cadangan itu kepada Kabinet.

``Kita perlu bertindak selangkah ke hadapan dalam usaha menangani masalah pengklonan cek dan sekiranya penggunaan mikrocip berkesan, kita akan melaksanakannya setelah kelulusan diperoleh daripada Kabinet,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pengisytiharan Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Tenaga Nasional di sini yang disempurnakan oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah hari ini.

Jamaluddin diminta mengulas kes pengklonan cek kerajaan yang dikesan berlaku di beberapa negeri.

Pada 27 September lepas, Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon mendedahkan 500 keping cek kerajaan negeri bernilai RM4 juta telah diklonkan.

Cek-cek yang bernilai RM3 juta telah ditunaikan manakala selebihnya berjaya disekat.

Kes yang serupa juga turut dikesan di Melaka apabila Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam mendedahkan kes pengklonan cek kerajaan negeri bernilai RM1.29 juta.

Ketika ditanya lagi mengenai cadangan bentuk ciri-ciri keselamatan yang akan dikemukakan kepada Kabinet, Jamaluddin berkata: ``Tak semua cadangan bagi meningkatkan ciri-ciri keselamatan cek boleh didedahkan.''

``Kita akan kaji dari semasa ke semasa mengenai bagaimana kita hendak menghindarkan masalah ini dan kementerian akan meminta Bank Negara membuat penyiasatan sama ada terdapat kelemahan dalam sistem cek yang digunakan,'' ujarnya.

Pada 9 September lalu, Malaysia memeterai perjanjian yang membolehkan negara memiliki hak mereka bentuk MM Chip, berukuran 0.25 mm persegi iaitu menyamai saiz satu titik pen. Ia boleh disematkan dalam kertas serta boleh digunakan dalam pelbagai aplikasi termasuk keselamatan dan pengesahan kesahihan.

Menurut Jamaluddin lagi, kementerian juga akan meminta kerjasama daripada kerajaan-kerajaan negeri untuk mengadakan perbincangan, selain memberi nasihat mengenai masalah yang timbul.

Beliau menjelaskan, penyelarasan sistem kewangan akan dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan dengan kerjasama Bank Negara sekiranya mendapat persetujuan daripada kerajaan negeri

Mingguan Malaysia, Ahad 5/9/03

No comments: