Thursday, September 04, 2003

Mikrocip: Negara dapat hak -- Pemindahan teknologi dari Jepun untuk penghasilan produk

Oleh: ARSHAD KHAN

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Malaysia akan mempunyai hak untuk menghasil dan memasarkan mikrocip termaju di dunia dikenali sebagai MM Chip mulai tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif FEC (M) Sdn. Bhd., Kunioki Ichioka berkata, paten pembuatan dan pemasaran mikrocip tersebut akan dipindahkan dari Jepun ke Malaysia dalam masa enam bulan lagi menerusi apa yang dipanggil MM Project.

Menurut beliau, syarikatnya memilih untuk menghasilkan mikrocip tersebut di Malaysia sebagai penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang begitu menghargai kemajuan dunia teknologi maklumat (IT).

Ichioka menjelaskan bahawa mikrocip bersaiz 0.5 milimeter persegi dan dihasilkan pada nilai harga kurang daripada 38 sen satu itu akan membawa revolusi baru kepada banyak perkara di dunia ini.

Malah apa yang menakjubkan, katanya, cip tersebut mempunyai ciri eksklusif iaitu maklumat yang diisi ke dalamnya dapat diganti berkali-kali dan saiznya yang kecil itu membolehkan MM Chip dipasangkan dalam pelbagai benda termasuk dokumen berharga seperti wang, bon, sijil saham dan tubuh manusia.

``Dengan alat khas yang dikenali pengimbas RF, dokumen penting seperti itu dapat ditentukan kesahihannya dengan begitu mudah,'' katanya semasa mengadakan pertemuan khas dengan pemberita di Hotel Regent di sini hari ini.

FEC yang beribu pejabat di Jepun merupakan sebuah syarikat elektronik yang pada mulanya terbabit dengan penghasilan antena untuk televisyen dan komunikasi satelit.

Pada perjumpaan dengan media itu juga, Ichioka yakin bahawa kerajaan Malaysia merancang untuk menggunakan mikrocip berkenaan dalam pengeluaran wang kertas di negara ini.

Melalui cip tersebut juga, kata beliau, para peniaga di Malaysia dan di seluruh dunia kini tidak perlu lagi menggunakan kod bar pada pembungkus produk mereka.

Selain penggunaan pada kertas, Ichioka juga memberikan beberapa senario pengguna bahan tersebut:

* Pengguna di pasar raya tidak perlu menunggu untuk setiap barangan mereka dikira satu persatu kerana mikrocip tersebut membolehkan semua barangan yang dibeli diimbas sekali dan terus menghimpunkan nilai jualan.

* Mikrocip tersebut boleh dipasang pada peluru untuk membantu pihak berkuasa mengesan senjata yang digunakan sekiranya perlu.

* Kad kredit hanya perlu diimbas sekali sahaja.

* Jika dipasang pada daging haiwan yang dibungkus dan dibekukan, mikrocip berkenaan akan dapat memberikan maklumat berkenaan jenis, tempoh dan suhu daging berkenaan.

* Mikrocip ini juga boleh digunakan dalam bidang kesihatan dan boleh dimasukkan ke dalam badan manusia.

Ichioka juga memberitahu bahawa nilai MyKad yang dihasilkan oleh kerajaan Malaysia pada nilai RM7 sekeping, kini boleh diturunkan kepada RM1 dengan penggunaan mikrocip berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, mikrocip tersebut akan dihasilkan di sebuah kilang di Kulim, Kedah, menjelang pertengahan tahun depan.

Ditanya sama ada MM bagi nama mikrocip itu bermaksud `Mahathir Mohamad', Ichioka hanya berkata: ``Mungkin, ia juga mungkin Mikrocip Malaysia''.

Utusan Malaysia difahamkan, penghasilan mikrocip itu diideakan selepas lawatan Dr. Mahathir ke Jepun tidak lama dulu dan disusuli dengan kunjungan balas oleh pengurusan syarikat berkenaan ke atas Perdana Menteri.

Maklumat lanjut berkenaan cip itu dijangka diumumkan oleh Dr. Mahathir di Putrajaya, esok.

Utusan Malaysia, Khamis 4 Sept 2003

No comments: