Oleh Noor Mohamed Mohamed Haniba
Isu pencemaran alam sekitar mula diketengahkan oleh Rachel Carson pada tahun 1962 dalam bukunya yang bertajuk Silent Spring (Musim Bunga yang Senyap). Buku ini telah membuka mata masyarakat Amerika Syarikat (AS) dan Eropah untuk menghargai alam sekitar dan memberi perhatian yang sewajarnya.
Apakah kita tidak boleh belajar dari kesilapan orang lain? Atau perlukah kita melakukan kesilapan untuk mempelajarinya?
Perhatikan dua senario ini:
Kita akan mengelak dari membayar tol beberapa sen atau seringgit, tapi sanggup beratur di jalan raya berjam-jam lamanya. Kita beranggapan bahawa kita berjaya menjimatkan satu ringgit tersebut. Tetapi sebenarnya kita kerugian lebih dari itu, kita rugi bahan bakar dan masa. Yang kita perolehi hanyalah tekanan yang menjadikan kita pemandu yang kurang bertimbang rasa atas jalan raya.
Apabila kita membeli empat jenis kuih, sering kali kita pulang dengan lima plastik. Keempat-empat jenis kuih ini akan dimasukkan dalam empat plastik yang berasingan dan kesemua plastik kuih ini akan dimasukkan ke dalam satu lagi plastik.
Ini hanyalah contoh di antara banyak perlakuan harian kita. Apakah perlu pembaziran sedemikian rupa?
Akibatnya ialah masalah pengurusan sisa pepejal yang semakin meruncing. Masalah ini adalah kritikal terutamanya di Lembah Kelang serta bandar-bandar besar seperti Pulau Pinang dan Johor Bahru.
Kuala Lumpur serta kawasan sekitarnya sahaja menghasilkan hampir 2,500 tan sampah sehari. Sampah ini jika dimuatkan dalam KLCC, dalam masa kurang dari tujuh hari tempat itu akan penuh dengan sampah.
Daripada kajian Dr. Mohd Nasir Hassan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) didapati secara puratanya, kita menghasilkan sampah pada kadar 1.0kg hingga 1.5kg sehari. Satu kadar tinggi untuk negara membangun seperti Malaysia.
Salah satu penyelesaian yang dicadangkan ialah dengan pembinaan insinerator atau kaedah pembakaran tertutup. Insinerator yang dicadangkan di Broga, Semenyih, Selangor dengan kapasiti hampir 1,500 tan sehari mencecah kos hampir RM 1.5 bilion.
Kita bersyukur kerana kerajaan sanggup mengeluarkan belanja besar untuk melupuskan sisa pepejal seterusnya menjaga alam sekitar.
Sebaliknya, kita tidak pernah ambil pusing tentang sampah yang dibuang. Kita tidak tahu apa yang kita buang, berapa banyak yang kita buang, ke mana kita buang, atau apa yang terjadi dengan sampah yang kita buang? Yang kita tahu, buang saja, kerana ada pihak yang akan datang dan pungut. Selagi kita tidak melihat sampah terlonggok di hadapan rumah kita, kita beranggapan semuanya elok.
Hanya dengan sedikit perubahan sikap, tanpa perlu mengorbankan keselasaan hidup kita mampu mengurangkan masalah pengurusan sampah.
Jika setiap individu bertekad untuk mengurangkan penghasilan sampah 0.3kg hingga 0.5kg, kita telah pun menyelesaikan masalah pelupusan sebanyak 30 hingga 50 peratus.
- NOOR MOHAMED MOHAMED HANIBA, Program Sarjana Sains dalam Pengurusan Sisa Pepejal, Universiti Putra Malaysia (UPM)
Utusan Malaysia, Rabu 9/9/03
Wednesday, September 10, 2003
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment