Saturday, January 01, 2005

Tsunami ubah tanggapan

MUKADIMAH

Fenomena gempa bumi yang berpusat di lautan dan menyebabkan gelombang ombak besar tsunami melanda rantau Asia merupakan yang terburuk dalam tempoh 40 tahun.

Ahad lalu gelombang ombak besar terjadi di sekitar Lautan Hindi apabila gegaran sekuat 6.0 hingga 9.0 pada skala Richter yang berlaku di kawasan seluas 250 kilometer ke barat daya Sumatera telah mengorbankan lebih 100,000 orang di selatan Asia dan sebahagian Afrika.

Kejadian terburuk yang amat jarang sekali berlaku di rantau ini amat memeranjatkan dan sepatutnya menjadi titik tolak kepada perubahan paradigma berhubung tanggapan bahawa Malaysia bebas daripada bencana besar.

Wartawan Utusan, LAUPA JUNUS dan KHAIRUNNISA SULAIMAN mendapatkan pandangan beberapa pakar bagi membincangkan tragedi berkenaan dan persediaan menghadapinya pada masa akan datang.


Tidak ramai daripada kita mengenali apa dia fenomena tsunami, sehinggalah ombak besar itu membawa bencana alam baru-baru ini.

Tsunami hanyalah sebahagian daripada bencana alam.

Terdapat banyak bencana alam tetapi tiga kejadian besar ialah gempa bumi, letupan gunung berapi dan taufan.

Tsunami boleh berlaku akibat daripada gempa bumi, letupan gunung berapi atau gelungsuran yang berlaku di dasar laut.

Mungkin gempa bumi dan gunung berapi tidak berlaku di negara kita tetapi kesannya dapat menimpa Malaysia sekiranya terjadi di negara jiran.

``Tetapi kita di Malaysia sejak awal lagi, telah ada pemahaman sendiri bahawa kita bebas daripada bencana alam.

``Apabila berlaku bencana kecil seperti tanah runtuh, selalu dianggap ia kejadian sekali sahaja atau kes terpencil,`' kata Pengarah Institut Pembangunan dan Alam Sekitar (Lestari), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Ibrahim Komoo.

Bagaimanapun, rakyat Malaysia sepatutnya mengubah paradigma tersebut memandangkan sejak 10 tahun kebelakangan, beberapa kejadian tanah runtuh yang besar berlaku dan terbaru dilanda ombak besar tsunami.

Oleh itu, Malaysia bukan kawasan yang bebas bencana, kata Ibrahim.

Pakar kejuruteraan geologi atau kaji bumi itu berkata, walaupun Malaysia bukan dalam lingkungan kawasan berlakunya bencana, tetapi terdedah kepada bencana disebabkan kita terletak dalam kawasan laut terbuka.

Justeru bencana seperti ombak besar dan angin taufan dari kawasan luar boleh melanda negara bila-bila masa seperti yang dibuktikan oleh fenomena tsunami.

Malah katanya, kira-kira 25,000 tahun dahulu, sebuah gunung di Tawau, Sabah pernah meletup.

``Sehubungan itu, kemungkinan dia berlaku (meletup) akan datang, adalah tidak mustahil,'' katanya.

Perubahan paradigma kata beliau penting sebagai langkah berjaga-jaga dan sikap kewaspadaan yang tinggi terhadap apa juga yang berlaku di luar Malaysia kerana ia boleh membawa kesan kepada negara.

Katanya, sebuah institusi perlu diwujudkan bagi memantau sebarang perkembangan berkaitan bencana yang berlaku di luar negara bagi membolehkan pengawasan dan pemantauan dilakukan.

Pada masa sama, institusi tersebut dapat menghimpunkan kepakaran dalam pelbagai bidang berkaitan bencana alam yang akan menilai dan meneliti setiap rekod bencana yang diterima.

Pada masa ini hanya Jabatan Kaji Cuaca yang dipertanggungjawabkan berhubung bencana yang berlaku tetapi timbul masalah bagaimana jabatan berkenaan memanfaatkannya.

Ini kerana katanya, anggapan bahawa Malaysia bebas daripada beberapa bencana di luar negara menyebabkan rekod tersebut dijadikan maklumat simpanan sahaja dan bukan maklumat tindakan.

``Akibatnya, apabila tsunami berlaku, kita memang tidak bersedia mengambil tindakan susulan yang boleh meminimumkan kesan bencana,'' katanya.

Sebagai contoh kata beliau, berdasarkan rekod, gempa bumi yang menyebabkan tsunami Ahad lepas, dikatakan berlaku kira-kira pukul 9 pagi dan ombak besar tersebut tiba tiga jam kemudian ke pesisir pantai barat Semenanjung Malaysia.

Ini memberi peluang kepada amaran awal disebarkan kepada penduduk yang berada di kawasan terdedah kepada ancaman.

Mengenai tsunami baru-baru ini, Ibrahim berkata, ia berlaku kerana gempa bumi di dasar laut di Lautan Hindi.

Kata beliau, secara umum, apabila berlaku gempa bumi, ada tiga perkara akan berlaku iaitu:

i) Rekahan permukaan atau dalam istilah geologi dikenali sebagai sesaran. Ia berlaku di tempat kejadian atau juga dikenali sebagai pusat gempa.

Ia satu fenomena yang tidak boleh dihalang dan boleh menyebabkan bangunan runtuh sekiranya terdapat struktur di lokasi tersebut.

ii) Gegaran-Ia boleh merebak dan dirasai dalam lingkungan garis pusat sehingga beberapa ratus kilometer dari pusat gempa. tersebut

Menurut Ibrahim, kadangkala gegaran boleh dirasai dalam lingkungan antara 200 dan 500 kilometer.

Gegaran semakin kecil bagi kawasan semakin jauh tetapi kadangkala meruntuhkan struktur bangunan atau tanah kerana frekuensinya yang pantas.

Gegaran

Kata beliau, catatan saintis geologi menunjukkan bahawa tidak kurang 500,000 gegaran berlaku setiap tahun di seluruh dunia iaitu di kawasan Lingkaran Api Pasifik tetapi kebanyakan magnitudnya agak kecil dan tidak dapat dirasai.

iii) Tsunami-Berlaku kerana pelepasan tenaga daripada dua struktur yang bergeser iaitu kepingan lautan (batu di dasar laut) yang menjunam masuk ke kepingan benua atau daratan.

Gerakan kepingan batu lautan setebal kira-kira 30 kilometer yang menjunam masuk ini dihalang oleh kepingan benua tetapi apabila ia berjaya merempuh halangan tersebut, pelepasan tenaga berlaku. Tenaga yang dibebaskan ini memampatkan air laut menyebabkan berlakunya ombak besar.

Ombak besar ini dinamakan ombak kelautan kerana ia bukan berpunca daripada tiupan angin seperti lazimnya ombak di permukaan laut.

Tsunami merupakan bahasa Jepun bermaksud ombak pelabuhan dan ia digunakan sebagai istilah khusus untuk menggambarkan ombak besar.

Ia disebut tsunami kerana dibincangkan secara saintifik di Jepun, negara yang juga dilanda ombak tersebut.

Ombak ini menurut Ibrahim sangat besar dan boleh berkelajuan mencapai 800 kilometer (km) sejam.

Menurut Ibrahim, berdasarkan rekod yang berlaku di Indonesia, ombak tsunami boleh mencapai ketinggian sehingga 35 meter.

Ombak tsunami yang melanda negara baru-baru ini berpusat di Lautan Hindi iaitu kepingan lautan (Hindi) menjunam masuk ke kepingan Sunda (Sumatera).

Oleh kerana dihalang oleh Pulau Sumatera, Malaysia bernasib baik kerana kekuatan ombak diminimumkan oleh halangan pulau tersebut.

Dalam pada itu beliau memberitahu, fenomena kepingan lautan tersebut antara punca peta dunia berubah.

Proses tersebut yang berlaku melibatkan hanya pergerakan kira-kira lapan milimeter setahun bagaimanapun mengubah kedudukan atau menenggelamkan pulau-pulau.

Pergerakan ini berlaku kerana sifat semula jadi Bumi yang dinamik.

Satu ketika, benua kecil India terasing dengan selatan Asia tetapi apabila berlaku pergerakan kepingan bumi secara berterusan, India bercantum dengan Asia

Pergerakan berterusan ini menjadi punca pembentukan Banjaran Himalaya dan gempa bumi.

Berdasarkan rekod, kira-kira 280 juta tahun dahulu, benua Afrika dan benua Amerika Selatan mungkin bercantum, manakala Pulau Langkawi terletak berhampiran dengan Australia.

Sementara itu, berdasarkan rekod gempa bumi yang besar, China antara yang terawal menerima kesannya yang membunuh kira-kira 6,000 orang.

Tragedi ini berlaku 70 tahun Sebelum Masihi.

Selepas itu, lebih 40 gempa bumi besar dicatatkan di seluruh dunia tetapi magnitudnya yang paling besar ialah di Chile (1960) dan Alaska (1964) iaitu masing-masing berukuran 8.5 dan 8.6 skala Richter.

Bermakna, magnitud gempa bumi yang menimbulkan tsunami baru-baru ini adalah yang terbesar dalam sejarah yang direkodkan manusia kerana ia mencapai 9 pada skala Richter.

Dua gempa bumi besar yang menyebabkan tsunami ialah pada 1896 di Jepun yang mengorbankan 22,000 orang dan di Alaska tetapi hanya mengorbankan 131 orang.

Pada 1883 pula, ombak tsunami yang berpunca daripada letupan gunung berapi Krakatoa di Indonesia antara yang terbesar dan membunuh ramai mangsa di Jawa.

Sementara itu, pensyarah di Jabatan Geologi, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Mohd. Ali Hasan berkata, struktur bumi di sekitar Lautan Hindi tidak aktif dan tidak menunjukkan tanda-tanda akan berlakunya sebarang gempa bumi yang besar terutama di bawah aras laut.

``Itulah antara sebab utama amaran awal tidak dapat dikeluarkan kerana tiada siapa menduga kejadian sebegitu buruk akan berlaku,'' katanya.

Sebelum ini bencana yang sebegini besar memang tidak pernah berlaku atau direkodkan dalam sejarah.

``Walaupun demikian rekod menunjukkan terdapat lebih kurang 30,000 gegaran berlaku di sekitar Lautan Hindi dan Lautan Pasifik sekitar 1961 hingga 1967,'' katanya lagi.

Gegaran berkenaan menurut Mohamad Ali adalah kecil dan tidak dapat dirasai serta tidak memberikan sebarang kesan kepada struktur bangunan.

Bagaimanapun gempa yang berasal daripada dasar lautan amat jarang berlaku dan jika berlaku, ia akan memberikan impak yang besar.

Gempa bumi yang berlaku bawah permukaan laut pernah direkodkan bermula 0 kilometer sehingga 700 km bawah laut.

``Semakin dalam gempa yang berlaku, semakin kuat kesannya dan gempa yang berlaku baru-baru ini hanya 40 km di bawah paras bumi,'' katanya.

Menurut Mohamad Ali, gempa bumi yang berlaku di dasar laut akan mengakibatkan gelombang ombak besar dan menyebabkan pelbagai kerosakan besar di kawasan tepi pantai.

``Biasanya pertembungan antara benua lautan dan daratan (dua jisim berlainan) akan menghasilkan kekuatan yang amat luar biasa.

``Pertembungan berkenaan akan menghasilkan gegaran kuat di lautan yang kemudiannya dijelmakan dalam pepejal.

``Kemudian tenaga disebarkan kepada jisim air yang membentuk serakan dan apabila sampai ke pantai menghasilkan gelombang besar dan dengan cepat menghempas pantai dan memusnahkan apa saja yang ada di depannya,'' katanya.

Biasanya sesuatu perkara yang jarang berlaku akan menghasilkan magnitud lebih kuat berbanding gegaran yang berlaku di daratan yang lebih kerap tetapi magnitud rendah kerana tenaga kurang.

Makin jauh pusat gempa di bawah paras laut semakin kuat gelombang yang dihasilkan di permukaan.

Menurut Mohamad Ali, gegaran berkenaan dapat dirasai hingga ke India, Sri Lanka dan sebahagian benua Afrika mungkin kerana dipengaruhi oleh arah dan kelajuan tiupan angin.

Biasanya terdapat beberapa siri gegaran selepas gempa bumi dan akan stabil dalam masa satu atau dua minggu.

Ada kalanya beberapa tempat mungkin mengalami gegaran kuat di daratan dan menghasilkan kemusnahan besar seperti di California, Amerika Syarikat.

Ini berlaku apabila ada zon sesar di mana lapisan bumi akan bergesel antara satu sama lain dan ada rekahan.

Tetapi mengapakah gegaran tidak dapat diramalkan lebih awal?.

Mohamad Ali berkata, ketiadaan sistem amaran pemantauan seismik di sekitar Lautan Hindi berbanding Lautan Pasifik seperti sekitar Jepun menyebabkan amaran awal tidak dapat dikeluarkan.

``Mungkin kerana fenomena berkenaan tidak pernah berlaku di sekitar Lautan Hindi.

``Bagaimanapun kita harus mengambil iktibar mengenai apa yang telah berlaku walaupun negara terletak jauh dari Lingkaran Api Pasifik,'' katanya.

Mohamad Ali menambah, langkah-langkah sewajarnya perlu diambil kerana apa yang berlaku menunjukkan negara telah mula mendapat kejadian alam luar biasa yang lebih kerap berbanding tahun 60-an.

Mohamad Ali berkata sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan geohazard centre (pusat pemantauan malapetaka alam).

``Pusat berkenaan diwujudkan bukan saja untuk memantau kejadian seperti tsunami tetapi juga kejadian lain seperti banjir, tanah runtuh dan jerebu supaya amaran awal boleh diberikan,'' katanya.

Kerajaan boleh memanfaatkan kepakaran tempatan dan pusat gempa bumi sedia ada dengan mewujudkan rangkaian dengan baik.

Mungkin pengesanan awal telah dirasakan oleh pusat gempa bumi yang ada di negara maju tetapi tidak mempunyai mekanisme untuk menyampaikannya kepada penduduk.

Pihak berkuasa pula perlu mendapatkan kesahihan mengenai sesuatu maklumat sebelum menyebarkannya kepada orang ramai.

Bagi mengatasi masalah berkenaan pusat kaji cuaca perlu meluaskan khidmat seismologi dengan kaedah lebih baik dan ini perlu dilakukan segera.

Utusan Malaysia::1Januari 2005

No comments: