Thursday, January 06, 2005

Anjakan minda pasca-tsunami

Selepas satu minggu peristiwa tsunami melanda Malaysia dan merata tempat di seluruh dunia, masih ada yang kehilangan ahli keluarga walaupun sebahagian besarnya sudah ditemui sama ada mati, dirawat di hospital ataupun masih bergelut dengan nyawa di unit penjagaan intensif hospital.

Usaha mencari masih diteruskan oleh pelbagai pihak walaupun hakikat mereka yang masih bersabung dengan nyawa amat tipis sekali. Tsunami yang berlaku akibat gerakan tanah dan laut dari gempa bumi yang melanda Sumatera sebenarnya suatu kejadian alam yang tidak pernah diimpi akan berlaku di negara kita. Walaupun begitu, banyak nyawa yang terkorban yang angka sebenarnya akan terus menjadi misteri.

Apakah yang harus dilakukan kini iaitu dalam tempoh masa pasca-tsunami Asia!

Apakah mungkin bilangan yang terkorban itu sebenarnya merupakan pejuang keamanan untuk keselamatan berbilion nyawa di dunia ini. Sejak kebelakangan ini, banyak peristiwa berlaku akibat tindakan manusia sendiri yang dianggap seolah-olah mahu menjadi `Tuhan', melangkaui batasan-batasan tertentu yang tidak bersifat kemanusiaan sama sekali. Pasca-tsunami melihat bagaimana gencatan senjata boleh mengambil tempat di Aceh, perbalahan etnik di Sri Lanka di antara kumpulan Singhala dan gerila Tamil dan pertembungan keagamaan dapat dielakkan untuk bersama-sama menyelamat dan membantu mangsa ancaman yang maha dashyat ini.

Kesemua pihak tanpa mengira kelas, agama, bangsa dan warna kulit menjadi mangsa `taufan pelabuhan', terjemahan dari tsunami (perkataan Jepun) dan hari ini kita melihat bagaimana manusia dari kategori yang sama saling bantu-membantu di antara satu sama dengan matlamat yang satu - Satu Negara, Satu Masa Depan.

Kemuafakatan ini harus diikat menjadi kukuh, bukan sekadar menunggu bala melanda dan hanya memperlihatkan kematangan fikiran sewaktu bencana itu. Di Malaysia, kita masih menunggu untuk melihat kerjasama dari pihak atau parti yang bertentangan ideologi untuk bersama menangani bala ini.

Masing-masing menggunakan kapasitinya untuk membantu mangsa. Adalah wajar kesemua pihak, parti politik terutamanya tanpa mengira sama ada penyokong kerajaan ataupun tidak membuat gerakan bersama agar kerahan tenaga itu dapat memantapkan lagi struktur atau jentera mencari, menyusun semula kedudukan mangsa tragedi ini, tanpa menuding jari mencari kesalahan.

Ketepikan perbezaan pendapat atau pegangan untuk bersama-sama meringankan beban mangsa dan membentuk pelan tindakan yang bersifat menyeluruh.

Inilah mesej tsunami - penghuni bumi harus bersama-sama menangani apa sahaja dugaan tanpa mengira kelas, status, agama dan bangsa, jangan alpa dengan kehidupan yang bersifat sementara.

Sahsiah dan amalan kerohanian mesti dipertingkatkan. Perbezaan agama tidak harus menidakkan bantuan, malahan menerima sesuatu bantuan itu wajar dikongsi bersama. Yang kaya, seharusnya murah hati, yang miskin, tabahkan hati.

Ini juga merupakan peringatan kepada generasi muda. Walaupun seronok bermain futsal, menghantar sms dan minum kopi di Starbucks, mendengar musik R&B dan menari seperti penyanyi Barat, pegangan keagamaan jangan sekali-kali dilupakan. Ia tidak akan dikompromi.

Nilai moral harus dijaga di dalam arus peredaran zaman. Wanita, kanak-kanak dan bayi yang terkorban sebenarnya merupakan insan yang paling bermaruah - pejuang keamanan dunia. Mereka terkorban untuk meninggalkan mesej supaya yang masih selamat, jangan leka dengan kehidupan.

Laungan nyanyian simpati ke atas mangsa sebenarnya merupakan laungan ikhlas bersama, elak rasa benci yang berlebihan dan bantulah mereka yang memerlukan. Ramai yang menjadi mangsa merupakan mereka yang daif dan miskin. Bantu untuk mereka terus hidup. Proses pemulihan pasti memakan masa. Pihak berkuasa harus memastikan kemudahan asas dan prasarana yang akan dibina akan mengubah gaya hidup masyarakat di tempat berlakunya tragedi.

Beberapa langkah di masa hadapan juga harus diambil supaya jika ia berlaku sekali lagi, kita bersedia. Mungkin dewan serbaguna dengan kelengkapan peralatan keselamatan boleh dibina, begitu juga dengan hospital bergerak misalnya. Penempatan sementara bagi mangsa juga harus disediakan dengan pemantauan yang berterusan.

Mereka boleh diminta bekerja sementara di agensi-agensi bergantung kepada kebolehan mereka supaya motivasi tidak tergugat atau mula merasa tertekan dengan segala dugaan. Jangan biarkan pihak tertentu memanipulasi insiden ini untuk kepentingan diri. Wakil rakyat di kawasan terlibat wajar memain peranan mereka dengan lebih efektif kerana Perdana Menteri dan menteri mempunyai tanggungjawab yang besar dan tidak mampu untuk memantau setiap masa.

Pengorbanan adik Junaydi Baharuddin yang berumur 10 tahun untuk menderma kesemua wang simpannya wajar dijadikan iktibar dan dorongan untuk tampil dan bantu. Pihak berkuasa juga mesti memastikan mangsa mendapat bantuan secepat mungkin.

Biarlah tahun 2005 bermula sebagai secara satu pengajaran ke arah kehidupan masyarakat cemerlang, masyarakat kelas satu di sebuah negara kelas pertama, masyarakat yang berganding bahu untuk kesejahteraan masa depan. - Dr. Sivamurugan Pandian, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM).

Utusan Malaysia :: 6/1/2005

No comments: