Saturday, January 08, 2005

Tsunami menyatukan dunia

Oleh Zulkefli Hamzah (Di Jakarta, Indonesia)


APA yang dibanggakan pada Mesyuarat Ketua-Ketua Negara ASEAN Mengenai Bencana Gempa Bumi dan Tsunami di Jakarta Khamis lalu ialah sambutan pemimpin dunia untuk sama-sama terlibat membantu negara-negara mangsa bencana itu.

Mesyuarat yang diadakan 12 hari selepas gempa bumi dan ombak tsunami melanda Asia yang mengorbankan lebih 150,000 nyawa ini bukan sahaja `padat' dengan pemimpin-pemimpin utama dunia tetapi sarat dengan komitmen untuk menghulurkan bantuan.

Sempena pertemuan tergempar ini, para pemimpin dunia turut tidak melepaskan peluang untuk melihat sendiri kesan-kesan kemusnahan akibat gempa bumi dan tsunami di kawasan yang paling teruk terjejas, Aceh.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Colin Powell, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah antara pemimpin yang melawat Aceh.

Pada pertemuan sehari ini malah pada hari-hari sebelumnya, bantuan antarabangsa mengalir begitu menakjubkan. Pelbagai negara dan organisasi antarabangsa seperti berlumba-lumba memberi bantuan - wang tunai, penangguhan bayaran hutang dan pinjaman mudah yang jumlahnya mencapai RM13.3 bilion.

Malaysia sendiri, sebagai jiran terdekat Indonesia iaitu negara yang paling teruk terjejas dalam bencana itu menyerahkan derma wang tunai RM12.95 juta hasil sumbangan kerajaan dan syarikat yang beroperasi di republik ini.

Jumlahnya mungkin kecil berbanding bantuan dari negara lain tetapi sebagai negara yang turut terjejas akibat bencana itu komitmen Malaysia menggambarkan semangat membantu yang tinggi.

Malah Malaysia seperti dinyatakan Abdullah membuka tawaran untuk membantu memulih dan membangunkan semula Aceh, proses bantuan kedua selepas bantuan kecemasan yang kini telah dihantar ke wilayah tersebut.

Negara-negara mangsa khususnya Indonesia memang wajar mendapat bantuan antarabangsa kerana tidak mungkin sebuah negara dapat menangani bencana sedahsyat ini.

Di wilayah Aceh dan Sumatera Utara, bencana itu mengorbankan lebih 97,000 orang. Ibu kota Banda Aceh porak-peranda manakala kota-kota lain yang terletak di pesisir pantai Barat termasuk Aceh Jaya, Meulaboh dan Aceh Besar lenyap disapu tsunami.

Powell yang sudah biasa berada di medan bencana dan peperangan pun membuat kesimpulan bahawa beliau belum pernah menemukan bencana sedemikian dahsyat dan tidak mampu membayangkan kengerian bencana itu.

Kengerian tsunami dan kesan kemusnahan yang diakibatkannya inilah yang mengetuk pintu hati banyak negara dan organisasi antarabangsa menghulurkan bantuan yang terbahagi kepada peringkat bantuan kecemasan, pemulihan dan pembangunan semula serta pencegahan.

Kehadiran pemimpin dunia walaupun dengan notis singkat dan komitmen mereka untuk membantu memang wajar dikagumi. Hampir semua negara dunia seperti tidak mahu ketinggalan untuk ikut berperanan serta meringankan penderitaan sesama umat manusia.

PBB yang diberi tanggungjawab untuk mengurus semua bantuan bencana tsunami melantik Margareta Wahlstrom sebagai penyelaras berikutan adanya kebimbangan kerenah birokrasi bakal menghambat kelancaran bantuan.

Mungkin masyarakat antarabangsa telah belajar daripada pengalaman tragedi gempa bumi di Bam, Iran pada 26 Disember 2003. Janji bantuan dari banyak negara dilaporkan hanya sampai setahun kemudian.

Malah beberapa negara dan organisasi antarabangsa tidak menunaikan janjinya sehingga jumlah sumbangan yang terkumpul jauh lebih rendah daripada yang dijanjikan.

Atas alasan ini, mesyuarat kelmarin sebagaimana yang terkandung dalam deklarasi menekankan pentingnya PBB memainkan peranan utama mengelola bantuan secara telus dan dapat sampai kepada mangsa secepat yang mungkin.

Kofi Annan menganggarkan sekurang-kurangnya RM3.7 bilion diperlukan dalam waktu terdekat ini untuk bantuan kecemasan terutama bagi menghindari jangkitan penyakit berikutan keadaan negara yang terkena bencana begitu memprihatinkan.

Sebagaimana di Aceh, masih banyak mayat belum dikuburkan walaupun telah memasuki hari ke-12 manakala keadaan persekitaran yang kotor dan bekalan air bersih masih terhad.

Indonesia yang masih dijerat dengan hutang menganggarkan memerlukan dana sebesar antara RM5.7 bilion dan RM7.6 bilion untuk menangani bencana tersebut.

Isu bantuan kecemasan dan pemulihan serta pembangunan semula yang menjadi inti perbincangan dalam mesyuarat kelmarin telah menghasilkan ketetapan-ketetapan yang menjanjikan buat negara-negara yang menjadi mangsa.

Sebuah lagi kesepakatan yang penting sebagai langkah pencegahan kepada rantau ini ialah membangunkan sistem amaran awal di Lautan Hindi agar musibah ini jika ia datang semula tidak mendatangkan kemusnahan sedemikian besar.

Tetapi sekali lagi, banyak negara rantau ini tidak mampu untuk membangunkan sistem amaran awal ini kerana kos infrastrukturnya begitu tinggi tanpa dibantu oleh negara maju mahupun pertubuhan antarabangsa khususnya PBB.

``Saya setuju pembangunan sistem amaran awal ini yang dapat membuka peluang menyelamatkan banyak jiwa itu,'' kata Annan mengulas kesepakatan negara ASEAN untuk membangunkan sistem berkenaan.

Beberapa buah negara telah memberikan komitmennya untuk membantu mewujudkan sistem amaran awal ini sebagaimana dinyatakan oleh Perdana Menteri Jepun, Junichiro Koizumi.

``Kita bersedia menjalin kerjasama dengan negara-negara lain dan organisasi antarabangsa untuk membangunkan mekanisme amaran awal tsunami bagi negara-negara di sekitar Lautan Hindi,'' kata Koizumi.

Sistem tersebut, menurut Koizumi, akan meniru model di Lautan Pasifik yang dibangun setelah terjadi bencana tsunami yang diakibatkan oleh gempa bumi di Chile pada 1960.

Rancangan untuk membangunkan sistem amaran awal itu akan dibentangkan pada Persidangan Antarabangsa PBB Mengenai Pengurangan Kesan Bencana di Kobe, 18 Januari ini. Kobe ialah wilayah yang pernah dilanda gempa bumi dahsyat sepuluh tahun lalu.

AS juga kini sedang merancang untuk mencipta sistem amaran tsunami global yang dapat melindungi populasi besar penduduk yang tinggal di wilayah pantai.

Selain itu Australia juga dilaporkan sedang mereka cipta sistem amaran di Lautan Hindi yang dapat dibangun dalam waktu setahun dengan kos awal sebanyak RM76 juta.

Memang alam tidak selalu dapat dijinak dan ditaklukkan tetapi manusia seharusnya belajar daripada pengalaman agar derita yang ditanggung di Indonesia, Thailand, Sri Lanka, Maldives, India mahupun Malaysia tidak terulang lagi.

Di Jakarta, masyarakat antarabangsa telah menunjukkan komitmennya untuk menghulurkan bantuan dan memastikan agar tsunami tidak menelan banyak korban lagi. - Utusan

Utusan Malaysia :8/1/2004

No comments: