Friday, December 24, 2004

Seimbangkan penguasaan ilmu agama - konvensional

Oleh NIK SALIDA SUHAILA NIK SALEH


Umat Islam di negara ini disaran untuk menguasai ilmu dalam pelbagai bidang dan bukan sahaja untuk mengisi keperluan sekarang, tetapi pada masa akan datang.

Sementelah pula sejarah tamadun Islam telah membuktikan bahawa segala ilmu yang diperoleh pada masa dahulu telah memberikan sumbangan besar kepada pembangunan tamadun manusia hari ini, lebih-lebih lagi dalam mengekang keganasan dan ketaksuban terhadap agama.

Masalah keganasan yang semakin buntu untuk ditangani bukanlah tanggungjawab pemimpin atau mana-mana individu yang sedar sahaja tetapi adalah inisiatif yang perlu diambil oleh dunia secara global. Bagaimanapun, punca sebenar keganasan perlu dilihat secara lebih diplomasi.

Umat Islam di dunia perlu memberikan contoh kepada semua kaum bahawa mereka boleh maju dalam semua bidang bukan sahaja politik, tetapi juga ekonomi, budaya, sosial, malah meneraju dunia ke arah corak hidup yang aman dan harmoni tanpa mengetepikan hikmah.

Mereka juga harus mendahului semua kaum dalam bidang pendidikan sebagai tanda penguasaan ilmu yang tinggi.

Hasil penguasaan ilmu, agenda Melayu dan Islam tidak akan mengambil masa yang terlalu lama untuk direalisasikan.

Antara agenda Melayu yang penting adalah revolusi mental, agar Melayu tidak konservatif, cukup dengan apa yang ada, mesti multibudaya tetapi kuat akidah dan agama dan tidak diajar menggunakan tongkat bila sudah agak tua.

Namun revolusi mental juga berperanan dalam menafikan keperluan terhadap program-program tv yang melampaui batas dan mengingkari agama dan moral. Keganasan kecil yang menarik kecenderungan anak-anak muda menerapkan apa yang ditonton boleh menyebabkan kehancuran sesebuah negara tanpa disedari.

Dalam mengejar arus kemodenan jangan abaikan ilmu dan agama kerana ia adalah pemangkin keselamatan bagi diri dan generasi akan mewarisi.

Apalah sangat wang ringgit sekiranya bangsa hancur kerana dakyah budaya songsang dan agama lenyap kerana nafsu mata dan telinga yang tidak sah di sisi syariat lantaran umat Islam kekurangan ilmu yang boleh memacu ke arah landasan yang betul.

Serangan jenayah minda dan moral pada masa ini adalah dilakukan oleh individu yang menguasai ilmu yang baik. Tetapi tanpa pegangan agama yang kuat dan kesopanan yang tinggi, manusia menjadi tidak terkawal kerana nafsu yang meruntun dilihat lebih dominan.

Dialog agama dan ilmiah banyak juga memberi saranan yang serupa. Semua cendekiawan Islam bersetuju bahawa setiap Muslim perlu menguasai ilmu. Kecanggihan teknologi dan instrumen komunikasi, sekiranya tidak dikuasai ilmunya, pasti menjadikan umat Islam terkebelakang.

Tanggungjawab sosial yang perlu ditunaikan oleh setiap individu pula bukanlah bergantung kepada kemampuan komersial semata-mata tetapi peranan yang perlu dimainkan untuk mendidik anak bangsa dalam memenuhi keperluan negara akan datang.

Di sekolah, mata pelajaran agama, perdagangan, pengajian am, sejarah, tamadun, sains, matematik, moral dan sivik diajar tanpa kompromi. Di universiti, tamadun, adab dan agama bukanlah mata pelajaran terpinggir, malah ada universiti awam yang menjadikannya mata pelajaran wajib universiti.

Sebagai contoh, konsep Islam Hadhari amat penting untuk difahami secara komprehensif dan bukan sebelah mata. Ia adalah agenda pembangunan tamadun insan, keluarga, negara dan dunia. Pembangunan tamadun ini bukan bercorak material mahupun ritual sahaja tetapi adalah gabungan kedua-duanya. Penguasaan ilmu yang cemerlang pasti menjadikan umat Islam Malaysia seimbang antara intelek konvensional dan agama.

Umat Islam di Malaysia harus membentuk diri sendiri agar pemandangan, fikiran, perbuatan dan pendengaran mereka diimbangi hadhari yang tinggi.

* NIK SALIDA SUHAILA NIK SALEH ialah Pensyarah Undang-Undang, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM).

Utusan Malaysia :: 24/12/2004

No comments: