Thursday, January 20, 2005

Rasional kempen nilai-nilai murni

Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni perlu diadakan kerana kedapatan di kalangan masyarakat kini mengamalkan hidup yang kasar, melanggar bahasa, tidak mengendahkan tatasusila dan beradab.

Cara memberi khidmat, cara melayani pelanggan atau orang ramai oleh kakitangan kaunter hadapan di jabatan-jabatan kerajaan kurang cekap seterusnya menimbulkan tidak puas hati di kalangan orang ramai.

Ada yang menjawab telefon dengan kasar atau acuh tak acuh (atau langsung tidak berjawab), surat-menyurat rakyat lambat dijawab; merosotnya amalan gotong-royong dan kecenderungan menolong orang lain dalam kesusahan; hilangnya amalan hormat-menghormati identiti manusia dan pihak-pihak tertentu yang dahulunya dihormati; keterlaluan mengejar kemajuan kebendaan sehingga lupa akan betapa pentingnya tatasusila berhemah diamalkan semula secara menyeluruh.

Tuntutan Rukunegara tentang tatasusila yang baik harus diisi semula. Bangsa Malaysia yang dicita-citakan harus terus dibekalkan dengan amalan-amalan murni.

Segala bentuk program penerapan nilai yang lalu telah menanam asas keutuhan yang kuat namun permasalahan nilai dan kelemahan integriti masyarakat masih berlaku dengan ketara. Selain kelakuan yang tersua dalam amalan di atas, perkara-perkara berikut juga kedapatan secara meluas di kalangan masyarakat Malaysia:

* Kurang hormat kepada guru, ibu bapa, pemimpin, ketua dan orang-orang tua.

* Trend atau kecenderungan suka mengambil hak orang lain.

* Tidak suka senyum bila bertegur sapa atau semasa memberi khidmat.

* Tidak suka mengungkapkan terima kasih atau bersyukur bila beroleh sesuatu yang baik.

* Kurangnya mengungkapkan ``Apa khabar'' atau ``Assalamualaikum''.

* Kurang mengendahkan budaya kebersihan (misalnya tandas kotor).

* Tidak menepati masa.

* Kurang bertolak ansur di jalan raya.

Budi bahasa dan amalan murni tidak boleh bercambah dengan hanya membiarkan keadaan yang sedia ada. Rakyat dan kerajaan mesti berjuang bersama untuk mewujudkan masyarakat yang berhemah dan berbudi agar tamadun kita tidak hilang mutu dan keindahan sosialnya. Untuk itu kita perlu ingat-mengingatkan akan amalan murni yang sudah hilang itu.

Gerakan dan kempen budi bahasa dan nilai-nilai murni ini adalah puncak daripada tindakan kerajaan untuk menerapkan serta menanam nilai-nilai murni ke dalam alam fikiran, hati budi serta perilaku warganegara Malaysia pada pelbagai lapisan masyarakat. Kempen ini diharap akan meneguhkan kembali kekuatan peribadi dan jati diri masyarakat.

* Petikan daripada Buku Panduan Kempen Budi Bahasa Budaya Kita, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Utusan Malaysia::19/1/2005

No comments: