Saturday, January 08, 2005

Ujian nuklear mempengaruhi gempa dan tsunami?

Oleh LAUPA JUNUS dan KHAIRUNNISA SULAIMAN

TRAGEDI gempa bumi yang mencetuskan gelombang besar atau tsunami kini semakin menimbulkan banyak perdebatan meskipun bencana alam itu pernah berlaku dan sudah mengorbankan ramai manusia sejak berkurun lamanya.

Antara pendapat yang timbul adakah aktiviti manusia seperti ujian nuklear yang dijalankan di dasar laut mampu memberi kesan kepada bencana alam tersebut.

Sememangnya kita mengetahui banyak aktiviti manusia yang menjejaskan perjalanan alam semula jadi seperti pelepasan gas-gas karbon ke udara, pencemaran laut dan sungai dan pembalakan di hutan.

Bagaimanapun, pakar-pakar geologi berpendapat, belum ada bukti menunjukkan bahawa ujian nuklear boleh dianggap penyebab utama gempa bumi besar dan tsunami.

Fellow Kehormat Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Emeritus Dr. Tjia Hong Djin berpendapat, ujian nuklear biasanya hanya mencetuskan gegaran kecil yang magnitudnya mencatatkan angka yang minimum sahaja.

Beliau yang juga pakar geologi berkata, biasanya gegaran yang dihasilkan akibat ujian nuklear hanya mencatatkan magnitud kurang daripada 5 pada skala Richter.

Gempa bumi yang melanda Banda Aceh di Sumatera yang menyebabkan berlakunya tsunami di beberapa pantai negara sekitarnya baru-baru ini adalah berukuran 9 pada skala Richter.

``Tenaga dari ujian nuklear kecil berbanding gempa bumi,'' katanya kepada Utusan Malaysia.

Malah, menurut beliau, letupan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki (pada Perang Dunia Kedua) mengeluarkan tenaga yang sejuta kali lebih kecil berbanding gempa bumi baru-baru ini.

Justeru beliau berkata, ujian nuklear mungkin boleh dianggap sebagai pemacu (triggering) kepada gegaran gempa bumi dan bukan faktor penyebab.

Bagaimanapun, kemungkinan gempa bumi boleh berlaku sekiranya ujian nuklear dilakukan di kawasan sempadan antara tektonik (plet bumi) pada permukaan bumi, tidak boleh ditolak.

Namum demikian, ia bergantung kepada bagaimana letupan itu menyebabkan pergerakan kepada tektonik.

``Kalau ujian diadakan di kawasan tersebut dalam tempoh seminggu sebelum berlaku gempa bumi, maka ia juga tidak boleh dikaitkan,'' katanya.

Sebenarnya, ujian-ujian nuklear yang boleh menghasilkan gegaran kepada kerak bumi merupakan sebahagian daripada gempa bumi aruhan (induced earthquake) iaitu kejadian gegaran yang dihasilkan daripada aktiviti manusia.

Aktiviti manusia terutama di negara maju dan membangun sememangnya banyak menyumbang kepada kerosakan alam sekitar.

Ada yang mendakwa kerakusan aktiviti manusia seperti ujian nuklear, letupan kuari, pembinaan empangan dan struktur tinggi mungkin menyumbang kepada kejadian gempa bumi serta tsunami.

Pensyarah di Jabatan Geologi, Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. John Kuna Raj tidak menolak kenyataan bahawa gempa bumi juga boleh terhasil akibat aktiviti manusia.

``Gegaran yang terhasil daripada aktiviti manusia dinamakan gempa bumi aruhan.

``Di negara ini misalnya, ketika pembinaan Empangan Kenyir di Terengganu dulu, beberapa gegaran kecil yang berpusat di kawasan empangan dikesan dalam masa satu hingga tiga tahun,'' katanya.

Kajian menunjukkan fokus gegaran berkenaan terletak di kawasan empangan yang baru dibina.

Guna Raj berkata, gempa bumi aruhan juga banyak berlaku di beberapa kawasan di dunia dan telah dikaji dengan baik di beberapa kawasan di Amerika Syarikat (AS).

Contohnya, gegaran terjadi apabila sebuah lubang yang dalam digerudi untuk memasukkan bahan tercemar ke dalam sub permukaan dengan menggunakan tekanan suntikan yang tinggi.

``Kadang kala gempa bumi juga boleh berlaku disebabkan oleh tekanan air yang tinggi,'' tambahnya.

Gegaran atau gempa bumi yang berlaku boleh dikaitkan dengan kegiatan manusia harus dipertimbangkan apabila sesebuah empangan dibina kerana ia boleh mempengaruhi kestabilan empangan.

Biasanya, sebelum empangan dibina kajian perlu dijalankan sekiranya gempa bumi berlaku akibat faktor manusia serta kesannya kepada empangan.

Jadi adakah ujian letupan bom nuklear di bawah permukaan bumi mempengaruhi kejadian gempa bumi?

Menurut beliau, dari segi geologi, sesuatu gegaran yang berlaku di permukaan bumi boleh juga diakibatkan oleh beberapa faktor misalnya letupan bom nuklear atau letupan di kawasan kuari.

Misalnya, ujian letupan bom nuklear menghasilkan gelombang yang boleh mengakibatkan getaran yang boleh dikelaskan sebagai gempa bumi.

Gelombang seismos tersebut boleh dapat dikesan oleh stesen seismologi.

``Bagaimanapun bentuk gelombangnya adalah berlainan daripada ombak semula jadi yang terhasil daripada beberapa siri getaran,'' katanya.

Gempa bumi akibat gegaran atau getaran di permukaan bumi juga boleh diakibatkan oleh letupan bom dan kuari.

``Bagaimanapun letupan bom nuklear dan kuari tidak mampu menyebabkan alihan batuan di sub permukaan, tetapi lebih di permukaan bumi,'' katanya.

Gempa bumi merupakan proses semula jadi yang berlaku apabila sempadan kepingan tektonik beralih dan mengubah permukaan.

Dari segi geologi, gempa bumi terjadi apabila terdapat alihan jasad batuan ke arah bertentangan dan sempadan dua jasad batuan permukaan bergeser antara satu sama lain.

Terdapat beberapa sempadan kepingan tektonik yang membahagikan beberapa kawasan di dunia sama ada di lautan atau daratan.

Oleh kerana dua kepingan tektonik bergerak ke arah yang bertentangan, alihan berlaku serta-merta dan terikan atau tenaga terkumpul dibebaskan dikeluarkan sebagai gelombang-gelombang seismos.

Tenaga gelombang seismos itu akan melalui bumi ke permukaan dan melalui sub permukaan yang menghasilkan getaran dan boleh dikaitkan dengan gempa bumi.

Gegaran yang berlaku di permukaan bumi akan menyebabkan gempa bumi, manakala di lantai lautan mungkin mengakibatkan tsunami.

Sebelum alihan, terikan yang berlaku sejak bertahun-tahun akan menyimpan tenaga yang banyak.

Apabila alihan berlaku, gempa bumi terjadi dengan melepaskan tenaga yang begitu banyak.

Bagaimanapun hanya gempa bumi semula jadi yang berlaku di bawah lantai laut yang menghasilkan tsunami.

``Tsunami biasanya hanya boleh berlaku jika gempa bumi terjadi di bawah lantai lautan dengan magnitud lebih 7 pada skala Richter,'' katanya.

Tsunami, menurut Guna Raj merupakan satu proses semula jadi yang banyak memberi kesan kepada penduduk di kawasan tepi pantai.

``Kita tidak boleh menghentikan proses pergerakan kepingan tektonik semula jadi tetapi kita harus mencari jalan bagi meminimumkan kesan kerosakan serta bilangan yang terkorban,'' tegasnya.

Misalnya pusat amaran awal perlu dibina bagi memberikan amaran kepada penduduk di sekitar tepi pantai.

Guna Raj menambah, pembinaan struktur atau bangunan perlu dibina jauh dari pantai dan perlu mempunyai zon penampan.

``Dinding perlindungan yang kukuh mungkin diperlukan, perancangan pembangunan tepi pantai harus dibuat dengan teliti dengan mengambil kira masa akan datang.

``Manakala hutan bakau yang berada di sekitar pantai juga boleh mengurangkan kesan kelajuan ombak tsunami,'' katanya lagi.

Beliau menegaskan, kebarangkalian tsunami berlaku dalam jangka masa singkat adalah terlalu rendah kerana tenaga yang dikeluarkan pada 26 Disember lalu amat besar.

Pensyarah geofizik gunaan dari Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam, Fakulti Sains dan Teknologi UKM, Prof. Dr. Abdul Rahim Samsudin pula berkata, sama ada letupan akibat ujian nuklear menghasilkan gegaran yang menyerupai gempa bumi bergantung kepada sejauh mana besarnya tenaga nuklear yang dihasilkan.

Kesan mungkin berlaku sekiranya ia dilakukan di sempadan-sempadan plet tektonik (kepingan batu di bawah tanah) tetapi magnitudnya mungkin kecil.

``Belum ada bukti atau kajian mengenai perkara ini bagi menentukan kebenarannya tetapi letupan hasil ujian nuklear mungkin boleh dianggap sebagai faktor pemacu sahaja,'' katanya.

Bagaimanapun, dakwaan tersebut tidak boleh ditolak sama sekali, tetapi kebenaran hanya boleh ditentukan sekiranya terdapat kajian mengenai perkara tersebut.

Utusan Malaysia: 8/1/2005

No comments: