Thursday, January 06, 2005

Trauma kanak-kanak mangsa tsunami

Oleh Sapora Sipon


Bencana tsunami menyebabkan begitu ramai kanak-kanak kehilangan ibu bapa dan tempat tinggal. Kehidupan mereka dengan sekelip mata berubah. Kini mereka terpaksa menjalankan satu kehidupan yang amat asing.

Bagi kanak-kanak yang tiba-tiba hilang tempat bermanja seperti ibu bapa, mereka akan menghadapi pelbagai kesukaran hidup. Tentu sekali, persoalan asas ialah siapakah yang akan menjaga mereka setelah kehilangan orang-orang yang paling dikasihi. Inilah senario yang berlaku kepada beribu-ribu kanak-kanak di Aceh yang tiba-tiba sahaja menjadi yatim piatu.

Keadaan menjadi lebih malang lagi apabila terdapat pihak yang tidak berperikemanusiaan yang mengambil kesempatan untuk mencari keuntungan dengan memperdagangkan mereka. Tentu sekali, sikap pihak ini kejam dan menambahkan lagi penderitaan kanak-kanak mangsa bencana ini.

Mangsa bencana akan mengalami kesan sama ada dari sudut fizikal atau psikologikal atau kedua-duanya sekali. Keadaan yang sama juga berlaku kepada kanak-kanak.

Kesan yang dialami oleh kanak-kanak akan bergantung kepada beberapa faktor. Kajian yang dilakukan oleh University of Illinios Extension Disaster Resources menjelaskan antara faktor yang akan mempengaruhi kesan yang dialami oleh kanak-kanak akibat bencana ialah sama ada persiapan telah dilakukan untuk menghadapi bencana.

Selain daripada itu faktor implikasi bencana itu terhadap masyarakat sekeliling dan setakat mana kanak-kanak itu terdedah kepada bencana akan juga menentukan tahap kesan bencana kepada kanak-kanak tersebut.

Dua perkara penting yang akan dialami oleh kanak-kanak mangsa bencana ialah (i) kesan trauma yang dialami akibat bencana dan (2) perubahan dan gangguan yang akan dilalui dalam kehidupan seharian mereka.

Dari aspek trauma yang akan dialami mengikut kajian universiti tersebut ialah seperti kesan akibat dari kehilangan dan kerosakan harta benda termasuklah kerosakan dan kehilangan rumah dan juga barang-barang kepunyaan peribadi mereka.

Trauma kanak-kanak juga boleh dialami apabila mereka mengalami kecederaan atau menyaksikan sendiri kematian.

Kesannya boleh berlaku untuk jangka masa pendek atau panjang atau kedua-duanya sekali. Yang pastinya, bencana sering meninggalkan kesan yang akan mengakibatkan perubahan dalam kehidupan harian dan kesusahan dan penderitaan dalam jangka masa panjang.

Sepertimana yang mungkin dialami oleh kanak-kanak di Aceh, perubahan dalam kehidupan yang akan membawa kepada kesukaran dalam kehidupan mereka ialah apabila tempat tinggal mereka musnah dan kehilangan ibu bapa mereka.

Ini menyebabkan kanak-kanak terpaksa dipindahkan ke tempat lain atau tinggal dengan saudara-mara atau rakan-rakan. Bertukar tempat tinggal juga memberi kesan seperti terpaksa berkongsi dan tinggal dengan rakan-rakan yang ramai. Mereka juga terpaksa belajar di sekolah yang baru. Jelasnya, kanak-kanak terpaksa menyesuaikan diri kepada persekitaran yang baru.

Kajian oleh universiti tersebut juga mendapati bahawa terdapat tanda-tanda biasa yang akan dialami oleh kanak-kanak selepas bencana.

Tanda-tanda yang biasa ialah seperti tingkah laku regresif (antaranya seperti menghisap ibu jari, sering menangis, dan terlalu bergantung kepada orang lain), kesukaran untuk tidur, mengalami mimpi buruk, kekurangan ekspresi emosi, kelihatan amat sedih, menarik diri dan lebih banyak mendiamkan diri tidak seperti biasa.

Selain daripada itu, antara tanda-tanda yang biasa dialami oleh kanak-kanak akibat bencana ialah mengadu tentang sakit kepala, sakit perut dan simptom-simptom penyakit, bersikap agresif, tidak mengikut kata dan sering kepenatan.

Seterusnya kanak-kanak yang berisiko tinggi untuk mengalami kesan selepas bencana ialah kanak-kanak yang paling terdedah kepada bencana tersebut.

Contohnya, kanak-kanak yang mengalami kecederaan atau mengalami kematian di pihak ahli keluarga.

Walaupun simptom yang dijelaskan tadi dilihat sebagai tindak balas normal bagi kanak-kanak yang mengalami bencana, kanak-kanak perlu dirujuk kepada ahli-ahli profesional untuk rawatan jika mereka menunjukkan beberapa simptom tertentu.

Kajian tersebut mendapati kanak-kanak yang menunjukkan perubahan yang luar biasa dalam tingkah laku dan diri di mana tanda-tanda ini berlanjutkan lebih daripada dua minggu memerlukan bantuan ahli profesional. Kanak-kanak yang mengugut untuk mencederakan diri dan menunjukkan tanda-tanda penderaan juga memerlukan rawatan ahli profesional. Begitu juga kanak-kanak yang tidak diberi perhatian.

Tentu sekali, berdasarkan penderitaan yang dialami kanak-kanak mangsa bencana terutama sekali kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa dan tempat perlindungan, adalah amat tidak wajar jika ada pihak yang ingin mengambil kesempatan di atas penderitaan mereka dengan memperdagangkan mereka.

Mereka amat memerlukan bantuan daripada orang ramai terutama sekali pertubuhan-pertubuhan atau badan-badan yang teratur dan sistematik yang dapat meminimumkan penderitaan yang dialami.

* Sapora Sipon ialah pensyarah Fakulti Dakwah dan Pengurusan Islam Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM).

utusan malaysia:6/1/2005

No comments: