Saturday, January 08, 2005

Pendidikan menghadapi gempa bumi dan tsunami

Oleh NOR AZIZI YUSOFF

GEMPA sebesar 9 skala Richter pada 26 Disember lalu banyak meninggalkan kesan kepada kita semua.

Sebanyak 12 negara yang terlibat secara langsung terhadap bencana yang boleh dikira sebagai yang terburuk pada abad ini.

Setakat Khamis lepas, angka kematian telah mencecah 140,339 orang di beberapa negara Asia sehingga Somalia di Afrika.

Kematian sememangnya sesuatu yang tidak dapat diganti tetapi kemusnahan harta benda juga suatu yang agak memeritkan.

Di Malaysia sahaja angka kematian adalah 68 orang dengan kemusnahan harta benda masih belum jelas ditafsirkan.

Ramai nelayan dan penduduk di sekitar pantai juga kehilangan mata pencarian.

Apa yang berlaku di negara jiran terutamanya di Banda Aceh, Indonesia jauh menyedihkan lantaran mayat-mayat masih terdampar dengan kerja-kerja menyelamat masih diteruskan.

Ujian yang diberi memang amat dahsyat dan ada pihak yang menuding jari menyalahkan satu sama lain.

Ada yang menyalahkan Jabatan KajiCuaca oleh kerana tidak memberi maklumat awal dan pelbagai tuduhan lagi yang tidak mampu menyelesaikan apa-apa.

Tsunami yang berlaku akibat gegaran gempa kali ini adalah luar dari biasa dan juga di luar daripada kemampuan jangkaan orang biasa termasuk saintis.

Secara umumnya, kita selama ini diberi maklumat yang Malaysia tidak berisiko terhadap gempa bumi kerana kedudukan kita di luar Lingkaran Api.

Bukan itu sahaja, sejarah terdahulu menunjukkan bahawa Malaysia, Myanmar dan Thailand juga bebas dari pengaruh ini.

Bagaimanapun kejadian 26 Disember lepas telah mengubah segalanya.

Hari ini kita dikejutkan dengan kenyataan yang tidak dapat disangkal sama sekali. Malaysia juga tidak lagi selamat dari gempa bumi dan tsunami.

Pada tahun 1833, satu gempa bumi sebesar 8.8 pada skala Richter pernah direkodkan dan tsunami terbentuk tetapi tidak memberi kesan kepada kita.

Gempa bumi ini telah meranapkan bangunan di sekitar 100 kilometer jejari dan terdapat juga bangunan yang sejauh 300 kilometer turut mengalami kesannya.

Pada tahun 1883, letusan gunung berapi Krakatau telah mengorbankan sekitar 86,000 orang dan memusnahkan 160 perkampungan akibat lahar dan gegaran yang terwujud.

Kesan gegaran dapat dirasai di Singapura, Kuala Lumpur dan Selangor. Walaupun ia juga menyebabkan tsunami tetapi tidak memberi kesan kepada negara kita.

Tsunami diwujudkan oleh gempa bumi yang pernah berlaku pada satah kegagalan subduksi yang sama adalah sekitar 8.5 pada skala Richter dan tidak membawa kesan kepada Semenanjung Malaysia.

Sebenarnya, gempa bumi yang sebesar 9 skala Richter merupakan sesuatu yang amat luar biasa di rantau Asia Tenggara dan juga di dunia.

Ia sangat jarang berlaku, amat besar dan hakikatnya ia telah pun terjadi.

Penulis telah mengkaji sejarah kejadian gempa bumi yang memberi kesan kepada Malaysia.

Hasil analisis dari tahun 1897 hingga tahun 2004, gempa terbesar yang memberi kesan kepada Malaysia dan pernah direkodkan sebelum ini adalah berukuran 8.6 pada skala Richter dan berpusat di 1.1 darjah utara dan 126.4 darjah timur iaitu pada sekitar tahun 1950.

Bagaimanapun, gempa ini tidak mendatangkan kesan yang besar kepada negara pada masa itu memandangkan belum ada bangunan-bangunan tinggi seperti sekarang.

Jadi apa kesimpulan yang dapat dibuat? Sebenarnya bencana yang baru sahaja terjadi amat sukar dijangkakan.

Sejarah sebelum ini menunjukkan kesan gempa boleh mengakibatkan kemusnahan yang besar sehingga sejauh 500km seperti yang dialami di Mexico City pada tahun 1985.

Berkuasa

Gempa bumi sekuat 8.3 pada skala Richter telah mengorbankan hampir 10,000 orang serta menyebabkan kerugian sekitar AS$4,500 juta (RM17 bilion) kepada negara Mexico.

Bagaimanapun, gempa pada 26 Disember lalu membuka lembaran baru dalam kajian serupa apabila memberi kesan yang jauh lebih hebat hingga mengorbankan 298 rakyat Somalia yang letaknya beribu-ribu kilometer dari pusat gempa yang menghasilkan tsunami.

Dari suatu sudut, bencana yang berlaku mungkin ujian Allah ke atas semua. Ia berkuasa atas segala sesuatu dan berhak merencanakan segalanya, baik di laut, darat mahupun di mana jua.

Dari aspek sains, gempa bumi sehebat itu bukanlah suatu yang mustahil. Ahli seismologi dan ahli geologi sedia arif tentang keadaan ini.

Penulis bersetuju dengan tulisan bekas Pengarah Bahagian Seismologi, Jabatan Kaji Cuaca Rosaidi Che Abas pada 2 Januari lalu yang menyatakan kita masih belum teruji dengan ujian yang sebenar.

Sebenarnya Semenanjung Malaysia terdedah kepada ancaman gempa yang berada kira-kira 400 kilometer, manakala di Sabah memang terdapat gempabumi setempat yang pernah berlaku.

Gempa yang berlaku beberapa hari lalu berjarak lebih 1,000 kilometer dari Semenanjung Malaysia dan di atas kertas ia tidak akan memberi implikasi yang hebat pada negara ini.

Bagaimanapun, kesannya lebih besar dari apa yang disangkakan.

Semenanjung Malaysia adalah terdedah kepada gempa bumi yang berpusat dari kawasan yang dinamakan Lengkung Indonesia yang sangat aktif (kawasan gempa bumi kerap berlaku).

Setakat ini, ia telah menjana gempa sebesar 9 pada skala Richter dan boleh sehampir 400 kilometer dari Semenanjung Malaysia.

Jadi, apakah yang boleh dilakukan? Penulis amat percaya saranan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mewujudkan Sistem Amaran Awal Serantau adalah tindakan yang paling bijak.

Ini kerana bencana seperti ini tidak akan mengenal sempadan antara negara seperti yang ada di dalam peta dunia.

Ia perlu digerakkan dan penulis percaya Malaysia boleh memainkan peranan yang penting memandangkan kita mempunyai prasarana yang baik dan boleh membantu ke arah usaha ini.

Aspek pendidikan juga merupakan sesuatu yang amat penting. Masyarakat perlu didedahkan dengan situasi yang sebenar supaya lebih bersedia.

Ini kerana masyarakat mungkin tidak dapat menggambarkan betapa bahayanya tsunami ataupun gempa bumi.

Kita tidak dapat menganggarkan bila kejadian seumpama ini akan berulang dan berapa kuat gegaran serta tsunami yang terhasil.

Mungkin dalam masa lima tahun, sepuluh ataupun 100 tahun akan datang ia akan berulang.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna ia tidak akan berulang dalam masa terdekat dan aspek siap sedia sepanjang masa perlu ditanamkan di hati masyarakat.

Pendidikan boleh disampaikan secara formal mahupun tidak formal dari peringkat rendah hinggalah ke universiti.

Di peringkat sekolah rendah, pengetahuan seumpama ini boleh dimasukkan di dalam mata pelajaran berteraskan sains, manakala di peringkat sekolah menengah pula, banyak pilih untuk ia diteapkan dalam mata pelajaran geografi, fizik, sains mahupun mata pelajaran sejarah.

Di universiti pula, ia mungkin menjadi bertambah penting.

Kajian demi kajian harus dilakukan bukan hanya untuk memahami permasalahan yang dihadapi, malah mencari jalan penyelesaian yang terbaik berdasarkan acuan kita sendiri.

Penulis percaya anak Malaysia mampu mencorakkan yang terbaik untuk negara kita sendiri.

Televisyen dan radio pula boleh dijadikan saluran pendidikan secara tidak formal. Rencana dan maklumat yang sesuai boleh disalurkan melaluinya.

Diharap kita akan lebih bersedia sekiranya bencana ini berulang lagi. Apa yang berlaku harus dijadikan ingatan dan teladan supaya pisang tidak berbuah dua kali.

- Nor Azizi Yusoff ialah pensyarah di Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO).

Utusan Malaysia : 8/1/2005



No comments: