Thursday, January 06, 2005

Suasana di Aceh lebih dahsyat daripada Nagasaki, Hiroshima

Daripada: ZULKEFLEE BAKAR

BANDA ACEH 5 Jan. - Sukar hendak digambarkan.

Hati kami begitu sayu, saya menitiskan air mata melihat anak-anak kecil, bayi-bayi, wanita, orang tua menjadi mayat yang tidak lagi bergerak - sudah berbau, hitam, kembung, berulat - yang sepatutnya dikafan dan dikebumikan dengan sempurna.

Kesemua mereka yang dilanda dengan gelombang maut tsunami yang melanda wilayah ini 26 Disember lalu dipercayai mati secara tiba-tiba. Berdasarkan pengamatan di bandar ini yang menjadi padang jarak padang terkukur, saya boleh bayangkan mereka tidak sempat menyelamatkan diri.

Suasananya umpama gambar-gambar keadaan selepas bom atom yang dijatuhkan di Nagasaki dan Hiroshima - malah lebih dahsyat lagi - tiada tara dengan perbuatan bangsa Amerika itu.

Kejadian ini amat menyedarkan diri kami semua, inilah perbuatan Allah kepada hambaNya - satu bayangan kiamat kecil - yang disaksikan oleh mata kita semua.

Ombak yang datang bergulung-gulung setinggi bangunan lima tingkat menyapu bersih siapa sahaja. Yang benar-benar bernasib baik sahaja yang selamat.

Di satu kampung berjumlah 30,000 dekat sini, semua generasinya hilang.

Menurut perangkaan kerajaan, kira-kira 400,000 penduduk wilayah Aceh ini mati. Jika benarlah angka itu bererti ia adalah sekitar 10 peratus daripada seluruh empat juta penduduk wilayah jolokan Serambi Mekah ini.

Tinjauan saya dan jurugambar Halim Khalid di sekitar beberapa jalan utama di pusat bandar hari ini mendapati anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) masih lagi menjalankan gerakan mencari mayat dan cebisan daging manusia.

Berdasarkan keadaan itu, orang ramai yang melalui kawasan berkenaan terutamanya di Jalan Tengku Che Pante Kulu terpaksa berhati-hati bagi mengelakkan mereka terpijak mayat atau cebisan itu.

Di jalan berkenaan, selain cebisan daging manusia, mayat-mayat mangsa yang terbunuh ada antaranya dibiarkan di pinggir jalan atau dalam bangunan yang musnah atau rosak.

Pihak tentera meneruskan usaha bagi memungut mayat-mayat di Sungai Pante Perak yang merupakan kawasan paling banyak mayat ditemui sebelum ini.

``Kami melakukan tugas dalam serba kekurangan, tapi tugas perlu diteruskan, kami harus menyempurnakan semua mayat-mayat ini,'' kata seorang askar Indonesia dari Jawa yang sudah kelihatan letih, selekeh tapi masih bersemangat.

Rakyat Aceh, yang terkenal dengan semangat juangnya meneruskan kehidupan harian dengan perasaan bercampur-aduk - kesedihan, kesayuan, sebak, keliru - satu gangguan psikologi dan jiwa yang amat menekan.

Keadaan itu berlaku memandangkan pusat bandar merupakan kawasan yang teruk dilanda bencana tsunami yang mengorbankan lebih 100,000 orang manakala berpuluh ribu lagi mengalami kecederaan termasuk kehilangan tempat tinggal.

Keadaan yang menyedihkan juga dapat dilihat apabila terdapat ratusan penduduk yang kehilangan tempat tinggal membuat khemah sementara di pinggir jalan yang sama dan di sekitar Jalan Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda.

Malah, ada antara mereka terpaksa tinggal di bangunan-bangunan kerajaan dan sekolah.

Selain itu, sebahagian besar pinggir jalan berkenaan juga turut dijadikan kubur besar bagi mengebumikan mayat-mayat yang tidak dikenali identitinya.

Penduduk juga terpaksa bergantung kepada bantuan bagi mendapatkan air bersih berikutan bekalan berkenaan sehingga hari ini tidak dapat dipulihkan.

Air bersih terlalu bernilai. Saya meminta rakyat Malaysia menghantar bekalan air bersih segera. Makanan, ubat-ubatan, selimut amat diperlukan.

Dalam perkembangan berkaitan, Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda terus sibuk dengan kemasukan pesawat asing termasuk dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa barang makanan dan ubatan serta mangsa yang tercedera.

Utusan Malaysia difahamkan, pasukan penyelamat kini dikatakan berjaya memasuki kawasan-kawasan luar bandar yang sebelum ini sulit untuk dikunjungi berikutan jalan-jalan yang rosak teruk.

Antaranya ialah di daerah Kreung Raya, Long dan Lepong di Aceh Besar serta beberapa kawasan di Pidei yang masih belum menerima bantuan.

Tinjauan Utusan di kawasan Bait dan Khaju yang sebelum ini didiami hampir 30,000 penduduk musnah sama sekali.

Sehingga ke hari ini, hanya beberapa peratus penduduk sahaja di kawasan itu berpindah ke penempatan sementara.

Esok kami akan cuma menghantar lebih banyak laporan dan gambar. Walaupun keadaannya amat sukar kerana bekalan elektrik sering terputus dan telefon satelit yang dibawa sukar dicaj, kami akan terus berusaha.

Rakyat Malaysia harus mengetahui apa yang berlaku kepada saudara mereka di sini.

Itu janji kami, di sebalik bau mayat yang terlalu menyesakkan. - Utusan

um 6/1/2005

No comments: