Thursday, January 06, 2005

Impak tsunami ke atas pertumbuhan ekonomi

Oleh Amran Ahmad (Wartawan Utusan)


USAHA menentukan jumlah kerugian yang dialami oleh kesemua 11 negara di rantau Asia yang dilanda ombak besar adalah sukar.

Hal ini diakui sendiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dipetik sebagai berkata, kerajaan memerlukan masa untuk membuat taksiran terperinci terhadap kerugian yang dialami oleh mangsa-mangsa tsunami.

``Orang ramai tidak perlu mempersoalkan sebab-sebab kerajaan belum mengagihkan wang sumbangan daripada pelbagai pihak kepada mangsa bencana 26 Disember lalu,'' jelas Najib.

Apa pun, soal kerugian ini adalah suatu aspek yang kecil jika dibandingkan dengan kesan ekonomi akibat ombak besar tsunami yang setakat hari ini dilaporkan telah meragut lebih 145,000 nyawa.

Di peringkat serantau, ekonomi Sri Lanka dijangka terjejas paling teruk manakala industri pelancongan Thailand pula terpaksa bangkit semula selepas mengalami kemerosotan akibat ancaman wabak sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan kekacauan politik di wilayah selatan negara itu.

``Secara keseluruhan, ekonomi Asia akan hanya mengalami masalah untuk tempoh singkat ekoran bencana itu dan tidaklah sehingga menjadi faktor penyekat kadar pertumbuhan ekonomi,'' ujar ahli ekonomi JP Morgan Chase, Lian Chia Liang.

Ujar beliau, setakat ini saham sebilangan kecil syarikat pelancongan jatuh dan pasaran saham Thailand merosot sebanyak 1.6 peratus, tetapi mata wang baht Thailand dan rupiah Indonesia hanya jatuh sedikit sahaja, manakala pasaran saham Bombay naik 0.6 peratus.

Bagi peringkat tempatan pula, seorang penganalisis pasaran dari sebuah bank terkemuka tanah air berpendapat, bencana yang melanda hanya melibatkan negeri-negeri di bahagian utara Semenanjung Malaysia.

``Bencana tsunami ini tidaklah dijangka sampai ke peringkat untuk menyekat pertumbuhan ekonomi Malaysia, malahan mungkin sedikit sahaja terjejas dalam soal perdagangan serantau akibat pengurangan perbelanjaan kerajaan serta penduduk di kawasan yang terkena bencana itu,'' katanya lagi.

Beliau berkata, pasaran saham tempatan juga masih menjadi tarikan kepada pelabur asing dan tempatan, walaupun jumlah kematian akibat bencana itu terus meningkat.

Pendapat itu selaras dengan jangkaan pakar runding pelaburan antarabangsa, Morgan Stanley yang mengekalkan unjuran pertumbuhan Malaysia dan Indonesia bagi tahun ini, masing-masing sebanyak 4.8 peratus dan 4.5 peratus.

Morgan Stanley, walau bagaimanapun, telah menurunkan sedikit unjuran pertumbuhan ekonomi Thailand sebanyak 0.3 mata peratusan kepada 5.7 peratus.

Kata firma itu, Malaysia dan Indonesia agak tidak terjejas, meskipun apa yang pasti ia merupakan bencana terdahsyat sepanjang kehidupan manusia yang setakat ini telah mengorbankan banyak nyawa.

Dalam perkembangan yang sama, Naib Presiden Urusniaga Mayban Securities Sdn. Bhd., Wan Ahmad Satria Wan Hussein berpendapat, sehingga hari ini, rantau Asia Tenggara masih lagi menjadi lokasi pelaburan tumpuan pengurus dana asing.

Sambil menekankan bahawa ekonomi serantau terutamanya Malaysia hanya menerima impak negatif daripada bencana itu, beliau berkata, bencana yang berlaku hanya akan melibatkan sektor pelancongan dan penerbangan.

``Itu pun hanya seketika dan beberapa kawasan sahaja kerana tsunami tidak `menyerang' lokasi yang menjadi tempat tumpuan pelabur dan pedagang atau pusat pertumbuhan ekonomi seperti kawasan perkilangan,'' jelasnya.

Tambah beliau, pasaran saham tempatan juga tidak terkena `tempias' bencana itu kerana masih kukuh di paras melebihi 900 mata sehingga kini, dan dijangka terus melonjak ke paras melebihi 1,050 mata dalam masa antara empat hingga lima bulan lagi.

Ditanya mengenai prestasi eksport, ujarnya, Malaysia merupakan negara yang mempunyai fundamental yang sangat kukuh dan mampu `berdikari' kerana bergantung kepada penggunaan dalaman sebagai enjin utama pertumbuhan ekonomi.

Justeru, jumlah eksport yang menurun tidak akan menjejaskan pertumbuhan yang disasarkan, jelasnya.

Tambahan pula, kebanyakan daripada kawasan yang terlibat dalam bencana tsunami ialah kawasan pelancongan atau pantai negara-negara terbabit dan tidak menjejaskan eksport Malaysia dalam beberapa sektor utama seperti elektronik dan elektrik.

Bencana itu, jika dilihat dari aspek positif pula, akan memberi peluang kepada ketua-ketua negara di rantau ini untuk mengeratkan kerjasama dan persefahaman menerusi pemberian bantuan dan saling bergandingan untuk memperbaiki keadaan.

Utusan Malaysia :: 6/1/2005

No comments: