Saturday, February 28, 2004

Strategi menjadikan Malaysia hub halal

BANYAK yang telah diperkatakan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat atau hub untuk makanan halal, namun pada hakikatnya bolehkah ia menjadi kenyataan?

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengeluarkan sijil halal sejak 1974 lagi dan jika tempoh ini dijadikan kayu ukur, isu halal itu sendiri telah wujud lebih kurang 30 tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sewaktu merasmikan Minggu Pembangunan Ekonomi Islam (MPEI) 2003 di Pusat Dagangan Dunia Putra Disember lepas telah menyentuh isu hub halal.

Dalam ucapannya, beliau mengingatkan pengusaha produk halal tempatan supaya memberi penekanan kepada kualiti produk untuk menjadikan Malaysia hub untuk makanan halal.

Perdana Menteri juga mahu pengusaha tempatan menimba ilmu dalam bidang sains dan teknologi untuk membolehkan mereka mempelbagaikan produk keluaran dan mendapat nilai tambah bagi produk mereka dari semasa ke semasa.

Tanpa diragui, kerajaan memang serius untuk menjadikan Malaysia sebagai hub halal dan sebagai bukti, Jawatankuasa Teknikal Untuk Menjadikan Malaysia Hub Pengeluaran Makanan Halal Serantau dibentuk tahun lepas untuk tujuan itu.

Ia dipengerusikan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Angka-angka yang dikaitkan dengan pasaran makanan halal dunia bukan sahaja besar malah sesetengah penganalisis menggunakan istilah `amat besar'.

Menurut MITI, pada masa ini, tiada perangkaan menyeluruh diperoleh mengenai prestasi pengeluaran makanan halal di Malaysia tetapi saiz pasaran dapat dilihat daripada jumlah import dan eksport makanan yang diproses.

Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) pula telah memberi lesen pengilang kepada 424 syarikat pengeluar makanan, bagi tempoh 1995 hingga Jun 2003 dengan jumlah pelaburan sebanyak RM5.9 bilion.

Berdasarkan maklum balas daripada MITI, para pengeluar makanan halal Malaysia telah berjaya mengeksport makanan yang diproses ke 80 buah negara.

Tiga pasaran utama bagi produk halal berasaskan ternakan ialah ASEAN (Indonesia, Singapura, Thailand), Timur Tengah/Asia Barat (Emiriyah Arab Bersatu, Arab Saudi, Iran dan Iraq) dan Eropah (United Kingdom, Perancis dan Jerman).

Pengeluar makanan tempatan perlu berusaha lebih gigih untuk mendapat bahagian yang lebih dalam pasaran makanan halal dunia memandangkan jumlah eksport mereka juga ternyata begitu kecil berbanding anggaran jumlah pasaran tersebut.

Menurut MITI, antara masalah utama yang dihadapi oleh pengeluar makanan dan produk halal tempatan ialah kekurangan daya saing berbanding negara maju terutama dari segi teknologi pemprosesan, kualiti produk, penyelidikan dan pembangunan (R&D), jaringan pengedaran yang cekap dan pembangunan jenama.

Dalam usaha untuk negara menjadi hub halal, MITI diberikan peranan menyelaras dasar dan program pembangunan produk halal.

Antara inisiatif yang sedang diberi perhatian termasuk menyeragamkan proses dan prosedur pensijilan halal, menyelaraskan pembangunan standard piawaian halal dan menyelaraskan penguatkuasaan undang-undang.

MITI juga dari semasa ke semasa berbincang dengan industri mengenai isu-isu dan masalah yang perlu diselesaikan bagi merealisasi objektif pembangunan produk halal selain mengadakan rundingan dan misi pelaburan di peringkat antarabangsa.

Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengambil alih Kementerian Pertanian berkata keutamaan beliau sekarang adalah untuk meningkatkan pengeluaran makanan negara.

Lazimnya, apabila bercakap tentang pasaran makanan halal, ia sering dikaitkan dengan produk berasaskan daging dan Malaysia tidak mengeluarkan binatang ternakan yang mencukupi untuk memenuhi keperluan pengeluar bagi pasaran tempatan dan luar negara. Negara-negara yang mengimport bekalan daging termasuk India, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat dan Republik Rakyat China.

Untuk daging ayam dan itik pula, import negara untuk tempoh yang sama ialah RM123.88 juta berbanding keluaran dalam negeri sepanjang 2003 iaitu RM3.37 bilion.

Presiden Persekutuan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Prof. Datuk Hamdan Adnan berkata fokus yang perlu diberi sekarang adalah untuk meningkatkan pengeluaran binatang ternakan negara.

``Pada dasarnya, hub halal ialah mengenai industri berasaskan daging. Buat masa ini, kita masih bergantung kepada import. Kerajaan mungkin perlu menghidupkan semula Majuternak atau menubuhkan sebuah agensi baru yang lebih agresif untuk ternakan lembu, kambing dan kambing biri-biri umpamanya,'' katanya.

Presiden FOMCA juga berkata usaha-usaha perlu dibuat untuk meyakinkan belia-belia supaya tidak meninggalkan kampung halaman mereka tetapi sebaliknya menternak lembu atau ayam.

Ketua Eksekutif Kumpulan Prima Agri-Products Sdn. Bhd., Datuk Jamaluddin A. Kadir berpendapat Malaysia perlu menumpukan perhatian untuk kegiatan nilai tambah daripada menjadi pengeluar binatang ternakan.

Syarikat beliau menceburi dalam pemprosesan dan pengeluaran produk halal berasaskan daging sejak 1987.

Kira-kira 70 peratus daripada produk syarikat ini adalah untuk pasaran tempatan sementara bakinya adalah untuk eksport ke negara-negara seperti Brunei, Indonesia, Singapura, Hong Kong, Arab Saudi, Kesatuan Eropah (EU), Pakistan dan Bangladesh.

``Masyarakat Malaysia sudah mewah di mana kos sara hidup sudah tinggi. Kita sudah lihat banyak kilang terpaksa dipindahkan lokasinya kerana kekurangan pekerja.

``Jika kerajaan mahu mewujudkan hub halal, ia adalah bertepatan tetapi fokusnya mestilah betul.

``Jika kita kembali kepada asas, ia mungkin mengambil masa yang panjang dan tidak kompetitif,'' jelas Jamaluddin.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu memahami keperluan industri dan menyokong strategi pemasaran mereka.

``Di Eropah, misalnya, semasa kami memasuki pasarannya, kami terpaksa berusaha sendiri, tidak seperti di Thailand di mana kerajaannya berusaha untuk mengeksport ayamnya ke Eropah,'' jelas beliau.

Apa jua alasan, kerajaan perlu menyusun strategi. Epidemik seperti penyakit lembu gila dan selesema burung wajar menjadi iktibar dan dalam beberapa hal, Malaysia perlu berdikari selain memastikan sistem perladangan dan penternakan dibuat secara teratur dengan mengutamakan aspek kebersihan supaya bebas daripada sebarang wabak penyakit! - Bernama

Utusan malaysia, 28/2/2004

No comments: