Tuesday, February 24, 2004

Suara Orang Muda: PM ajak kita amal akhlak cemerlang

AMANAT dan peringatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kepada remaja bahawa mereka akan menjadi pemimpin negara selepas 2020 ketika melancarkan Program Khidmat Negara (PKN), Sabtu lalu adalah pesanan yang wajar menjadi pegangan sepanjang hayat anak muda hari ini.

Dua minggu lalu, beliau mengingatkan rombongan kami yang diketuai oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Hishammuddin Hussein, ketika berkunjung hormat supaya memikul amanah dengan cemerlang.

Perdana Menteri mengingatkan kami bahawa amanah besar kami adalah mencorak budaya, kepemimpinan dan hala tuju generasi dan negara selepas 2020.

Jika sebelum ini Tun Dr Mahathir Mohamad sudah merangka pelan induk mencapai Wawasan 2020, menyediakan minda dan tekad kita untuk membuktikan Malaysia Boleh, kini Abdullah mahu seluruh barisan pemimpin dan rakyat mempertingkatkan usaha untuk menjadi bangsa yang lebih cemerlang, lebih gemilang dan terbilang.

Seruan Abdullah itu bukan ditujukan kepada pemimpin dan kakitangan kerajaan atau parti Melayu teras – Umno, malah kepada segenap lapisan rakyat pelbagai kaum, tanpa mengira perbezaan fahaman dan parti politik.

Sebagai penulis ruangan ini, saya mengajak semua pembaca Berita Harian dan orang Kampung Ayer Merah dan Kulim bekerja bersama Abdullah untuk mencapai matlamat yang selaras ajaran Islam itu.

Islam menganjurkan kita belajar, bekerja, berkhidmat dan beramal dengan cemerlang dengan meniatkan semua amalan kita hanya kerana Allah dan dengan penuh ikhlas melakukan sebaik mungkin, sempurna dan hanya mengharap Dia redha, suka dan menerima ibadat kita itu.

Hal ini dijelaskan oleh Nabi Muhammad dalam hadisnya mengenai solat yang antara lain menyuruh orang Islam khusyuk menunaikan solat seolah-olah kita melihat Allah dan sesungguhnya Allah melihat ibadat kita itu.

Demikianlah tahap dan kriteria cemerlang yang digariskan oleh Rasulullah. Apabila direalisasikan dalam pelbagai kegiatan seharian, apabila kita bercakap, menulis, memandu, menunggang motosikal, bertanding sukan, mengajar, belajar, berkomunikasi mahupun berpolitik, mestilah dengan penuh sopan, mematuhi peraturan dan bertanggungjawab.

Perdana Menteri dalam melaksanakan tanggung jawabnya mengurus kejayaan Malaysia menjelang 2020 mengajak kita menanam sikap bekerja bersama beliau untuk menunaikan amanah Allah dengan cemerlang.

Malah, beliau mengajak kita bukan saja menolak perbuatan haram seperti rasuah, zuriat dari keturunan alim ulama ini memujuk kita meninggalkan perkara makruh seperti merokok menerusi kempen ‘Tak Nak’.

Bagi orang Islam yang ikhlas kepada Allah, perkara makruh juga perlu dijauhi kerana walaupun dibenarkan, tetapi tidak digemari. Seumpama kiasnya kehendak anak yang boleh dilakukan, tetapi tidak diredhai oleh bapanya, kemudian ayahnya memberitahu anak: “Ayah dah beri pandangan, kalau engkau sudah hendak sangat, buatlah.”

Apabila Abdullah memberi amaran kepada perasuah, pada mulanya ramai juga tidak memandang berat, malah ada pertubuhan yang selalu bercakap mengenai moral dan nilai Islam, senyap saja dan tidak memberi sokongan. Mereka ini seolah-olah bersubahat pula dan tidak menyokong amalan baik kerajaan membanteras rasuah. Demikian juga tindakan mereka apabila beberapa kakitangan kanan atau rendah kerajaan dan swasta ditahan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan dihadapkan ke mahkamah.

Namun, sebaik saja BPR menahan dan membawa menteri ke muka pengadilan, barulah ada pertubuhan yang bersuara, tetapi sibuk menakut-nakutkan pelbagai pihak dalam kerajaan dengan menghebahkan spekulasi bakal ditahan BPR. Mereka bersuara kerana kepentingan politik, bukan tanggungjawab agama. Malah, mereka tidak sedar rakan dan ahli pertubuhannya pun ada melakukannya.

Sepatutnya, semua pihak termasuk pertubuhan berkenaan mula melihat semula rekod masing-masing sama ada pernah melakukannya. Rasuah bukan bererti menerima atau memberi wang sogokan saja. Ada juga BPR menemui kes orang yang terlanjur kerana menandatangani dokumen atau menyalahgunakan kuasa.

Jelas sekali kita diajak oleh Perdana Menteri supaya mengamal akhlak cemerlang untuk menjadikan nama Malaysia gemilang. Hal ini tidak terhad kepada orang Melayu dan Islam, kanak-kanak atau muda, orang Barisan Nasional atau pembangkang.

Bersempena Maal Hijrah, khusus kepada umat Islam marilah kita menilai semula dan bermuhasabah amalan yang pernah kita lakukan sendiri. Adakah kita menyumbang kepada masalah sosial yang wujud hari ini atau kita berusaha mencegahnya.

Jika sudah menemui jawapannya, kita perlu memainkan peranan masing-masing. Institusi keluarga, kejiranan, agensi dan jabatan kerajaan, swasta dan pertubuhan kenalah memperbaiki diri dan memberi sumbang positif.

Sebagai permulaan, kita sendiri mesti menyumbang kebaikan. Oleh itu, pihak bertanggungjawab perlu menyemak kesahihan dakwaan surat pembaca semalam mengenai pekeliling kepada Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang didakwa mengarah pelajar wanita Islam mengenakan tudung dengan gaya dibelit ke bahu.

Sesungguhnya, antara pelbagai gejala sosial yang membawa kepada masalah akhlak sudah diingatkan oleh ulama: “Pada satu ketika nanti, ada gadis dan perempuan yang berpakaian menutup aurat, tetapi sesungguhya mereka telanjang.”

Pesanan itu sesuai dengan hadis mengkisahkan strategi iblis dan syaitan ketika membuat pengakuan kepada Nabi Muhammad.Mereka mengaku akan menyesatkan manusia dengan melakukan kesilapan kecil supaya terjebak ke lembah curang.



No comments: