LUMBA haram, gangsterisme, kes dera di sekolah, merokok dan menagih dadah adalah antara masalah sosial dikaitkan dengan remaja kita. Namun kerajaan tidak berdiam diri dan satu daripada usahanya ialah melalui Program Khidmat Negara (PKN) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin. Seramai 25,889 remaja perintis PKN di 41 kem seluruh negara yang memulakan program itu 16 Februari lalu sebenarnya diharapkan menjadi benteng kukuh menangkis ancaman gejala sosial yang mempengaruhi anak muda. Program tiga bulan itu diharap mampu menerap dan membangkitkan semangat patriotisme, memupuk perpaduan kaum dan integrasi nasional serta melahirkan perwatakan positif melalui pembentukan nilai murni.
Tidak dinafikan ketika di sekolah, remaja kita digalakkan menyertai program Rakan Muda, pengakap, kadet tentera, bomba dan polis bertujuan melahirkan generasi muda dengan nilai hidup positif. Namun hanya sejumlah kecil merebut peluang ini sedangkan yang lain terpengaruh dengan gejala kurang sihat hingga mencetuskan masalah sosial. Di sinilah PKN memainkan peranan membantu membawa remaja yang sudah lama tergelincir kembali menjadi warga berguna. Malah, remaja yang terpilih menyertai PKN sepatutnya menganggap diri mereka bertuah kerana pada bahu merekalah kita serahkan tanggungjawab membimbing rakan sebaya yang terdedah kepada pengaruh negatif sehingga merosakkan hidup mereka dan menjadi ancaman kepada masyarakat.
Dengan 60 peratus penduduk kita adalah golongan muda, tidak menghairankan jika kerajaan meletakkan harapan tinggi terhadap mereka untuk memainkan peranan penting dalam membawa negara ke mercu kejayaan dan mencapai status negara maju 16 tahun lagi. Hakikatnya, remaja yang hanya asyik lepak, menagih dadah, tidak berpandangan jauh dan mengamalkan ciri negatif amat merugikan negara. Oleh itu, tidak keterlaluan jika kerajaan meletakkan harapan tinggi kepada PKN untuk mencapai matlamat melahirkan generasi muda Malaysia yang baik, berdisiplin, berpekerti mulia, bercita-cita tinggi dan berjaya dalam segala bidang diceburi.
Adalah menjadi harapan kita, PKN mampu menjadikan remaja kita golongan yang sanggup berkorban demi perpaduan bangsa dan menyintai negara sebagaimana ibu bapa mereka yang memberi sumbangan hingga wujudnya Malaysia hari ini yang makmur, aman dan damai. Remaja hari ini harus sedar barisan pemimpin dan generasi yang sudah berjaya menggalas cabaran membangun dan memajukan negara pasti menyerahkan kepemimpinan kepada generasi muda hari ini yang bakal pula memimpin negara ke tahap lebih maju sejajar Wawasan 2020.
Berita Harian, 24/02/2004
Tuesday, February 24, 2004
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment