Lidah Pengarang
Rakyat merupakan aset terpenting untuk memastikan pembangunan dan kemajuan sesebuah negara yang berterusan. Rakyat yang berkualiti akan menjadikan negara terus maju dan progresif.
Kerajaan Malaysia yang cukup menyedari hakikat tersebut telah membuat pelaburan yang amat besar bagi memastikan kesinambungan rakyatnya yang benar-benar mampu membawa cabaran Malaysia di arena antarabangsa.
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) adalah antara pelaburan besar yang secara khusus untuk melengkapkan diri generasi muda Malaysia supaya mereka betul-betul bersedia memikul tanggungjawab negara.
PLKN akan memberikan pengalaman berfaedah kepada para peserta berusia 18 tahun, dan ia termasuklah penerapan nilai-nilai murni dan baik. Semuanya itu dilakar untuk memastikan generasi muda Malaysia menjadi aset manusia yang berkemampuan, lebih berdaya tahan dan cekal, lebih berilmu dan lebih memahami untuk menghadapi segala cabaran hidup.
Penyediaan aset manusia yang berkualiti itu perlu bagi menggerakkan terus wawasan negara yang begitu besar seperti terkandung dalam Wawasan 2020.
Selain mempertahankan status negara ini yang sudahpun menjadi salah sebuah negara Islam contoh, kewujudan rakyat yang cukup bersedia akan mampu melonjakkan Malaysia di hadapan negara-negara yang sedang membangun, yang akhirnya berupaya bersaingan dengan negara-negara maju.
Keupayaan dan kesungguhan pucuk pimpinan untuk memajukan negara ini sudah pasti terhad, tanpa penglibatan dan sokongan seluruh rakyat pelbagai lapisan.
Negara sama sekali tidak dapat bersandar kepada pembangunan secara fizikal untuk mencapai kemajuan hakiki. Dalam erti kata lain, pembangunan fizikal sememangnya akan memberi gambaran kepada tahap kemajuan sesebuah negara tetapi ia tidak semestinya membawa apa-apa erti jika rakyatnya tidak bersama-sama maju.
Oleh itu, rakyat khususnya golongan belia menerusi program pembangunan insan seperti PLKN perlulah lahir sebagai generasi mantap yang bersedia menjadi pelengkap kepada pelbagai proses pembangunan negara.
Menyedari hakikat itu, kerajaan telah memilih secara rawak 65,000 peserta daripada 450,000 orang belia dari seluruh negara pada Disember tahun lepas untuk menyertai PLKN. Sebanyak 26,000 orang daripada yang dipilih itu memulakan PLKN sebagai kumpulan perintis di 41 buah kem di seluruh negara sejak semalam.
Dalam menjayakan program tersebut, kerajaan dan pihak berkuasa telah mengambil semua langkah perlu bagi memastikan semua aspek berkaitan keselamatan peserta dipertahankan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah pun mengarahkan pihak berwajib di semua kem PLKN supaya mematuhi program yang ditetapkan oleh kerajaan dan tidak melatih peserta seperti melatih rekrut tentera.
Utusan Malaysia, Selasa 17 Feb 2004
Tuesday, February 17, 2004
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment