Oleh Zin Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)
Hari Ahad lalu, umat Islam menyambut Awal Muharam 1425. Ini bermakna umat Islam mula memasuki tahun ke-25 dalam abad ke-15 hijrah.
Kalau dikirakan bahawa tahun 1400 hijrah sebagai permulaan abad ke-15 menurut kalendar Islam, maka sudah 25 tahun atau suku abad berlalu.
Tetapi jika perkiraan bermula daripada 1401, maka penghujung tahun hijrah ini, umat Islam mengakhiri suku abad ke-15 hijrah.
Sebagai manusia yang cenderung untuk membuat perkiraan dalam puluhan dan ratusan, maka begitu juga umat Islam ketika menyambut abad baru hijrah, 25 tahun lalu.
Awal Muharam tahun 1400 hijrah bersamaan dengan 21 November 1979. Ketika itu umat Islam di seluruh dunia sedang mengalami pergolakan besar dengan menaruh harapan tinggi terhadap nasibnya sebagai umat terpilih.
Ini kerana setelah dijajah untuk ratusan tahun oleh kuasa Barat dan bangkit dalam gelombang kemerdekaan pada tahun 50-an, nasib negara-negara Islam di seluruh dunia masih tidak menampakkan harapan.
Maka tahun 1979, dapat disaksikan satu perasaan kebangkitan semula umat Islam di seluruh dunia dengan kemasukan abad baru ke-15 sebagai permulaan bagi pemulihan kekuatan umat Islam.
Dalam satu khutbah Jumaat di Masjid Negara pada tahun 1979 sempena sambutan Awal Muharam 1400 yang juga menandakan permulaan abad ke-15 hijrah, khatib dengan nada bersemangat memberi gambaran betapa umat Islam seluruh dunia sedang berubah untuk bangkit semula.
Ketika itu, tumpuan umat Islam di seluruh dunia adalah pada pendudukan Kesatuan Soviet ke atas Afghanistan.
Rakyat Afghanistan tidak mudah menerima penindasan dan mereka bangkit berjuang melalui Mujahidin. Buat pertama kali dalam sejarah moden, perkataan jihad dan Mujahidin digunakan secara khas untuk menentang pendudukan tentera penjajah.
Semangat umat Islam di seluruh dunia dibakar dengan pendudukan tentera komunis di Afghanistan. Demonstrasi dan usaha kutipan derma serta bantuan untuk rakyat Afghanistan dilancarkan.
Yakin
Sebahagian besar umat Islam di seluruh dunia yakin bahawa semangat Islam dan menggunakan cara-cara yang mengikut kaedah tradisi Islam dalam soal peperangan, Mujahidin akan mencapai kejayaan walaupun berdepan dengan peralatan teknologi tinggi Soviet.
Bukan saja harapan tinggi kepada Mujahidin mengalahkan komunisme, tetapi turut diharapkan ialah penubuhan sebuah negara Islam yang memenuhi kehendak tradisi Islam dapat diwujudkan di Afghanistan.
Maka jihad menentang komunis itu mendatangkan imaginasi besar kepada generasi muda umat. Lebih-lebih lagi komunis merupakan musuh Islam yang jelas kerana mereka menolak kepercayaan kepada Tuhan.
Perjuangan jihad di Afghanistan menjadi pelengkap kepada satu peristiwa besar lain yang turut menarik imaginasi umat Islam pada waktu yang sama.
Peristiwa itu adalah Revolusi Islam Iran pimpinan oleh Ayatullah Khomeini yang berjaya menghalau Amerika Syarikat (AS) dari bumi Iran. Inilah pertama kali pada zaman moden, suatu revolusi atas nama Islam dilancarkan dan berjaya menubuhkan sebuah Republik Islam.
Pergolakan di Iran dan Afghanistan memberikan sambutan abad ke-15 sebagai suatu yang bermakna bagi umat Islam. Ia menandakan umat Islam berani bangkit untuk melaksanakan aspirasi agama dan menentang penguasaan sekularisme Barat, tidak kita sama ada ia datang daripada kapitalis AS mahupun komunis Soviet.
Tetapi kini selepas 25 tahun berlalu, apakah pencapaian umat Islam? Kemasukan ke abad baru yang memberikan harapan begitu besar pada tahun 1979 tidak menjadi kenyataan pada tahun 2004 ini.
Sememangnya Mujahidin bukan saja berjaya menjatuhkan kerajaan komunis Afghanistan dan menghalau tentera Soviet tetapi negara komunis yang besar itu sendiri telah tumbang.
Namun begitu, harapan umat Islam untuk melihat sebuah negara Islam cemerlang di Afghanistan berkecai apabila Mujahidin bukan saja gagal menubuhkan negara Islam tetapi juga berperang sesama sendiri. Kini negara itu bergantung sepenuhnya pada tentera AS dan Eropah untuk berfungsi.
Selepas pemerintahan Taliban dan serangan AS ke atas negara itu, Islam di Afghanistan didedahkan sebagai memiliki nilai-nilai begitu mundur dan dihina dengan dahsyat oleh Barat.
Sementara Iran yang pernah diharapkan menjadi negara Islam yang berjaya menyatukan fahaman tradisional dengan pemerintahan moden bersifat republik sekaligus membela golongan mustadhafin (tertindas) kini menghadapi krisis politik apabila sistemnya meminggirkan golongan pembaharuan pimpinan presidennya sendiri, Mohamad Khatami.
Kemunculan
Tahun 1979 juga turut menyaksikan kemunculan Saddam Hussein sebagai seorang pemimpin Iraq yang bercita-cita mahu mewujudkan sebuah kuasa serantau yang mampu mencabar Israel.
Walaupun Saddam mengambil kuasa di Baghdad atas nama fahaman Baathis yang tidak berorientasikan agama, malah dalam isu Afghanistan, beliau menyebelahi kerajaan komunis Kabul, tetapi azamnya untuk membangun kuasa ketenteraan yang kuat bagi membela dunia Arab turut memberikan harapan kepada banyak orang Islam.
Tetapi kini, setelah Saddam memerangi dua negara Islam yang lain iaitu Iran dan Kuwait, Baghdad menjadi sebuah negara yang diperintah oleh AS.
Selama 25 tahun, banyak pengajaran boleh diperoleh oleh umat Islam. Memang banyak kesilapan daripada jalan-jalan yang dilalui.
Semangat kebangkitan Islam yang dirasakan pada awal abad ke-15 hanyalah suatu emosi penuh ilusi.
Mujahidin yang berperang dengan semangat jihad adalah sebenarnya mendapat bantuan perisikan dan ketenteraan daripada AS yang menggunakan mereka untuk menjatuhkan Soviet.
Begitu juga ketika Saddam melancarkan perang ke atas Iran.
Pemimpin Baathis itu mendapat sokongan moral dan material dari AS. Saddam digunakan untuk menghalang Khomeini daripada menyebar revolusinya.
Setelah 25 tahun, penglibatan AS ke atas hal ehwal negara Islam semakin kukuh. Kini AS mempunyai pengaruh besar ke atas banyak negara Islam.
Dari Pakistan dan Afghanistan hinggalah ke Turki dan Iraq. Usahanya kini ialah menggugat Libya, Syria dan Iran yang dipercayai masih mempunyai niat untuk mencabar hegemoni AS sebagai kuasa besar.
Untuk menghabiskan lagi sisa-sisa 75 tahun abad ke-15 hijrah ini, umat Islam perlu mencari jalan lain bagi mendapatkan kebebasan menentukan cara hidup sendiri.
Utusan Malaysia, 24/2/2004
Tuesday, February 24, 2004
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment