Wednesday, February 04, 2004

Rencana: Pencerobohan Iraq satu kesilapan dunia

Oleh Jamhariah Jaafar

RENTETAN tragedi 11 September 2001, terus bergelumang dengan kemelut yang semakin hari semakin menjerut pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS),, George W Bush dan teman rapatnya, Perdana Menteri Britain, Tony Blair.

Selepas melabuhkan tirai 2003 yang disulami pelbagai peristiwa perit akibat pencerobohan tanpa restu PBB, kegembiraan atas kejayaan menangkap bekas presiden diktator, Saddam Hussein, pada akhir tahun lalu, terus gagal menjulang nama Bush dan Blair sebagai wira-wira yang bertungkus lumus untuk menyelamatkan dunia dari kegiatan ‘pengganas’.

Sebaliknya, keadaan semakin buruk bagi kedua-dua mereka. Jika kes kematian bekas saintis Britain, Dr David Kelly, yang membunuh diri kerana memberi rahsia Downing Street kepada wartawan Badan Penyiaran Britain (BBC) - membabitkan kewajaran Britain menyertai AS di Iraq - dianggap dapat membantu pentadbiran Blair - tapi pendedahan yang mempunyai implikasi yang sama oleh bekas inspektor penyiasat AS, David Kay - bukan saja meningkatkan kemarahan penduduk dunia, bahkan meragut saki baki kepercayaan yang masih dimiliki warga masing-masing.

Lebih buruk apabila Bush sendiri kelmarin membuat keputusan untuk mewujudkan satu panel bebas untuk menyiasat pemilikan senjata pemusnah Iraq - satu tindakan yang membayangkan bahawa ada sesuatu amat musykil dalam alasan diberi kedua-dua pemimpin dunia itu bagi mewajarkan mereka menceroboh Iraq, Mac tahun lalu.

Apa yang jelas, hampir semua orang sama ada yang terbabit atau tidak dengan pencerobohan di Iraq, mengakui bahawa satu kesilapan besar dilakukan dunia ke atas negara itu, dan dosa Iraq hanya satu - memiliki seorang pemimpin yang angkuh.

“Kita semua melakukan kesilapan. Sebenarnya memang tidak ada senjata pemusnah (WMD) di Iraq dan tidak ada kerjasama antara Saddam Hussein dan al-Qaeda,” kata David Kay, minggu lalu.

Pencerobohan Iraq sebenarnya, bukannya hanya berpunca daripada kegagalan agensi perisikan dalam memberi maklumat, bahkan diburukkan lagi dengan keghairahan segelintir tokoh dalam pentadbiran Bush dan Blair untuk membesarkan maklumat yang ada.

Tapi akibatnya, sehingga kelmarin seramai 519 anggota tentera AS maut dan pertempuran antara penentang Iraq dan tentera penceroboh dijangka berterusan. Apa yang menarik ialah semakin ramai warga AS sendiri mempertikai keperluan tentera AS untuk terus berada di negara yang semakin kacau bilau itu - terutama apabila alasan utama mereka berada di medan perang telah pun terbukti tidak wujud sama sekali.

Media massa AS mendesak Bush supaya menjelaskan perkara sebenar kepada warga AS dan ratusan sanak keluarga tentera yang terbunuh di Iraq.

Bagi bertindak adil, Bush ketika mengumumkan dia akan membentuk satu panel bebas dianggotai sembilan orang, yang disyarat melengkapkan laporan pada 2005 - sebenarnya bertujuan mengelak kekeliruan di kalangan orang ramai bahawa maklumat perisikan diterima mereka adalah silap.

Tetapi apa yang tidak diberitahu ialah pentadbiran Bush insaf bahawa sebarang tindakan mengakui kesilapan hanya memberi gambaran bahawa pentadbiran sedia ada memang lemah dan sekali gus mempelawa lebih banyak kritikan ke atas mereka.

Ini adalah satu gambaran yang ingin dielakkan Bush kerana dia sedang dalam proses pemilihan semula bagi penggal kedua.

Bekas Ketua Inspektor PBB di Iraq, Hans Blix, berkata AS tidak akan berputus asa untuk membuktikan bahawa WMD memang wujud di Iraq, bagi menjaga reputasi dan kewibawaan negara itu sebagai kuasa besar dunia.

“Mereka lebih suka berlindung di bawah kabus kontroversi daripada berkata maafkan saya, saya tersilap,” katanya.

Rakan rapat Bush, Blair turut menerima kritikan hebat terutama selepas panel penyiasat diketuai Lord Hutton, minggu lalu, kononnya membersihkan Downing Street daripada dakwaan mendedahkan nama David Kelly, sebagai sumber kepada laporan BBC membabitkan isu WMD Iraq.

Bagaimanapun, keputusan pengarah urusan BBC, Greg Dyke, meletak jawatan dan disusuli demonstrasi besar-besaran oleh seluruh kakitangan BBC – membuktikan betapa media massa yang dikatakan bebas di Britain, sebenarnya masih dikekang dalam membuat laporan - apa lagi sekiranya ia membabitkan kritikan terhadap pentadbiran negara, walaupun laporan dibuat mempunyai asas kukuh.

Lebih buruk apabila Downing Street mendesak BBC memohon maaf secara terbuka atas laporan wartawannya, Andrew Gilligan, bahawa pentadbiran Blair ‘menokok tambah’ dokumen membabitkan pemilikan senjata WMD Iraq – yang menjadi alasan utama Britain menyertai AS menceroboh negara Saddam Hussein.

Bagi Bush, kemelut membabitkan kegagalannya membuktikan Iraq memang memiliki WMD dikatakan lebih buruk daripada skandal Watergate di bawah pentadbiran Richard Nixon.

Pertanyaan yang dicetuskan rakyat negara itu sendiri ialah bagaimana pentadbiran Bush, mahupun agensi perisikannya boleh melakukan kesilapan amat besar terhadap isu yang menjadi alasan utama negara itu menyerang Iraq.

Kegagalan itu turut mencetus keraguan terhadap pelbagai isu lain yang berlaku selepas 911 – benarkah Osama bin Laden dan al-Qaeda benar-benar wujud, apakah kempen anti keganasan AS, berjaya atas sebaliknya ia kini menjadikan AS sebagai musuh nombor satu dunia, atau adakah ugutuan mengenai anthrax pada satu masa dulu hanya khabar angin untuk merancakkan kempen AS sendiri?

Sepucuk surat pembaca kepada sebuah akhbar AS, bertanya Bush: “Bagaimana kita boleh melakukan kesilapan yang amat mengaibkan ini. Mengapa?”

Sementara itu, di London, Blair yang berjaya memaksa BBC memohon maaf kepada pentadbirannya, mengalami kemerosotan sokongan yang amat serius minggu ini. Laporan Lord Hutto mungkin ‘membersihkan’ namanya, tapi gagal menjulang imejnya.

Fakta yang boleh disimpulkan daripada kemelut Blair minggu lalu ialah rakyat negara itu amat marah kerana ‘ditipu’ untuk memberi sokongan kepada pemimpin muda itu. Mereka marah kerana:

l Selepas 275 hari Iraq diceroboh WMD langsung tidak ditemui.

l Dr David Kelly membunuh diri kerana dilayan buruk, selepas membuat spekulasi kegagalan perisikan yang mengheret Britain ke dalam peperangan di Iraq.

l Walaupun BBC melakukan kesilapan dalam laporannya, tapi ia melakukan tugas sebagai media massa yang mendedahkan kebimbangan seorang saintis terhadap kemungkinan wujud penyalahgunaan kuasa dalam mewajarkan Britain menceroboh Iraq.

Seperti kata David Kay, laporan perisikan AS dan Britain mengenai Iraq memiliki senjata nuklear, pancaran maut, van maut, makmal virus maut, kilang gas beracun, depoh senjata yang tersembunyi, peluru berpandu jarak jauh dan mempunyai hubungan dengan al-Qaeda – semuanya adalah palsu.

Justeru, amat membingungkan apabila Bush mengumumkan bahawa: “Saya mahu seluruh rakyat Amerika tahu, bahawa saya juga, ingin mengetahui fakta sebenar.”

Tapi apa yang paling menarik ialah ketika warga negara AS dan Britain turut menyertai dunia mengkritik kedua-dua pemimpin itu – Bush dan Blair, mungkin dicalonkan untuk menerima anugerah Hadiah Nobel Keamanan 2004.

Sekiranya mereka diisytihar sebagai pemenang, penduduk dunia mungkin terpaksa meminta maaf kerana melempar pelbagai kritikan terhadap kedua-dua ‘wira’ yang paling banyak menggemparkan dunia dalam tempoh dua tahun terakhir ini.

Berita Harian, Rabu - 4/2/2004

No comments: