Tuesday, March 02, 2004

Apabila kuasa tidak dikuat kuasa
Oleh Abdul Razak Jaafar


“MENJUNJUNG titah perintah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan setelah diperkenan oleh Majlis Raja-Raja, maka saya Pemegang Mohor Besar Raja-Raja Melayu dengan ini mengisytiharkan...”

Demikianlah petikan bagi menggambarkan bagaimana berkesannya ‘kuasa’ apabila diamanahkan kepada seseorang dan kuasa itu menjadi amanah kepadanya untuk dilaksanakan dengan adil dan saksama.

Semua yang lain di bawahnya akan setuju dan akur dengan penguatkuasaan penguasa itu. Misalnya, jika kuasa diraja disalahgunakan, maka semua sistem yang ada akan menjadi huru hara.

Apatah lagi apabila ‘kuasa’ itu dijadikan hak peribadi untuk kepentingan peribadi.

Orang yang paling berkuasa di dalam sesuatu kerajaan, kementerian, jabatan atau syarikat, sering tidak sedar bahawa tindak tanduknya diperhatikan oleh orang bawahan dan menjadi ikutan mereka pula.

Sebab itulah orang berkuasa yang melakukan salah laku kuasa, kadangkala ‘terikat’ tangannya apabila mengetahui anak buahnya menyalahgunakan kuasa kerana mereka ini akan berkata: ‘Bila cikgu kencing berdiri, anak murid kencing berlari’.

Keadaan seperti inilah yang menyebabkan berlakunya perbuatan ‘tutup mata’ oleh pelbagai pihak apabila berlaku sesuatu yang melanggar peraturan di mana tindakan yang sewajarnya tidak dilakukan, bahkan dibiarkan begitu saja.

Penyalahgunaan kuasa hampir sama maksudnya dengan sengaja tidak melaksanakan kuasa yang ada padanya. Ini kerana dengan tidak melaksanakan kuasa mengikut peraturan ditetapkan, dia pastinya mempunyai muslihat yang menguntungkan secara peribadi dan ini sebenarnya termasuk dalam penyalahgunaan kuasa.

Dalam dunia sekarang ini yang sukar membendung ‘pekung’ maka orang ramai secara langsung atau tidak mudah menuding jari kepada ketua jabatan atau kementerian apabila secara jelas penguat kuasa tidak menguatkuasakan kuasanya.

Sebagai contoh, apabila media mendedahkan pencemaran asap atau alam sekitar oleh sesebuah kilang hingga menjejaskan kesihatan penduduk setempat, maka ketua pihak berkuasa tempatan akan diajukan soalan mengenai kenapa kilang itu dibiarkan berleluasa mencemarkan udara sekitarnya.

Apa yang memeranjatkan ialah apabila disahkan bahawa kilang itu sebenarnya sudah bertahun-tahun menjalankan kegiatan tanpa lesen. Berikutan itu timbul pula persoalan bagaimana kilang berkenaan mendapatkan kemudahan prasarana seperti bekalan air, elektrik dan talian telefon jika statusnya belum disahkan lagi?

Persoalan utama di sini ialah pihak berkuasa tempatan tidak menggunakan kuasa yang ada padanya dan membiarkan kilang berkenaan beroperasi tanpa lesen. Sudah tentu pihak penguat kuasa tidak mendiamkan diri kecuali apa yang berlaku itu mendapat restu orang yang lebih tinggi kuasanya.

Kes di atas sekadar contoh kesan penguat kuasa tertinggi yang tidak melaksanakan kuasanya seperti yang ‘diamanahkan’ kepadanya.

Kita sebenarnya ‘malu’ apabila dicop sebagai salah sebuah negara di dunia yang kurang mengekang amalan rasuah. Perbuatan rasuah ini sememangnya ada kaitan dengan pelaksanaan peraturan yang tidak dipatuhi sepenuhnya oleh orang yang berkuasa, terutama yang memiliki kuasa mutlak bagi sesuatu peraturan.

Oleh kerana penguatkuasaannya longgar, ia akan menjurus kepada ada muslihat mengambil kesempatan sama ada oleh pihak yang melanggar peraturan atau penguat kuasa peraturan. Jika ini dilakukan pihak yang tertinggi, kumpulan bawahan terpanggil untuk melakukan yang serupa.

Maka jadilah ia sebagai rutin. Amat sukar mencantas kedurjanaan ini apabila penguatkuasaan tidak dijalankan sewajarnya kerana kesannya akan berpanjangan.

Kita sudah melihat banyak contoh kesan apabila penguatkuasaan tidak dijalankan dengan sepenuhnya yang dalam banyak hal ia menyebabkan kesulitan kepada banyak pihak.

Sebagai contoh, jika peraturan mengatakan bahawa 10 kampit simen diperlukan untuk sesuatu binaan, maka orang yang melakukannya, yang menyelia dan mengesahkannya hendaklah akur dengan peraturan itu.

Jika penyelia atau pihak yang mengesahkannya menyedari simen yang digunakan kurang daripada yang ditetapkan, tindakan tegas perlu diambil ke atas mereka yang melakukan kedurjanaan itu kerana kalau ia dibiarkan, kemungkinan besar binaan tidak kukuh dan akan roboh sehingga boleh menyebabkan kemalangan.

Contohnya ialah kes pembinaan makmal komputer yang tidak mengikut spesifikasi dan projek pembinaan kompleks tentera di Johor yang tidak mematuhi peraturan. Akibatnya, ia bukan saja merugikan pemaju dan negara, malah rakyat.

Tentu dalam hal ini umum akan membuat analisis yang menjurus kepada memenuhi kepentingan peribadi yang merugikan kita semua. Ini termasuk rosaknya imej dan nama baik semua yang berkaitan.

Soal penguatkuasaan peraturan perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak kerana kita telah belajar banyak pengalaman daripadanya.

No comments: