Monday, February 16, 2004

85,000 pelopor Khidmat Negara

Oleh Ahmad Fawzi Mohd. Basri

HARI ini, 16 Februari 2004 adalah satu tarikh bersejarah bagi negara ini kerana bermulanya satu agenda nasional yang dikenali sebagai Program Latihan Khidmat Negara. Sejak kerajaan mengumumkan untuk memperkenalkan program ini, masyarakat telah memberikan perhatian yang serius. Ada yang positif dan tidak kurang juga ibu bapa serta organisasi yang mempersoalkan perancangan dan pelaksanaannya.

Khidmat Negara bukan perkara baru di negara kita. Kali pertama Khidmat Negara diperkenalkan dalam tahun 1952 bagi mengerah tenaga pemuda di Tanah Melayu dalam memerangi pengganas komunis. Ramai anak muda yang dikerah untuk menjalani latihan dan perkhidmatan ketenteraan demi mempertahankan tanah air tercinta ini.

Namun demikian ramai juga anak muda yang tidak setia melarikan diri. Semasa konfrontasi (1963-1966) kerajaan menguatkuasakan Akta National Service 1952 itu. Akta itu mengerah tenaga remaja untuk menyertai perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia.

Jika Khidmat Negara tahun 1950-an dan 1960-an dilakukan kerana faktor pertahanan dan keselamatan, Khidmat Negara yang diperkenalkan mulai tahun 2004 ini adalah atas faktor ketahanan nasional.

Masalah di kalangan remaja sudah kian ketara akibat daripada proses modenisasi dan pembangunan. Sikap individualistik dan materialistik menjadi nilai utama yang menghakis unsur patriotisme, kesukarelawanan, disiplin, dan kemasyarakatan. Nilai-nilai murni yang disaran menjadi hiasan tanpa penghayatan.

Pengisian kepada proses pembangunan sahsiah dan ketiadaan secara jelas garis besar haluan negara yang perlu digarap di minda dan jiwa rakyat tidak terselaras. Setiap badan bukan kerajaan (NGO) dengan agenda organisasi masing-masing, agenda negara bukan yang utama.

Kerajaan menghulurkan dana tanpa menetapkan matlamat bersama dan bersepadu dalam membentuk masa depan remaja dan masyarakat. Negara tidak dapat menentukan masa depan tetapi negara boleh menentukan bentuk masa depan remaja dan warganegaranya. Jika di tahun 1950-an pertubuhan sukarela wujud di bandar-bandar, menjelang tahun 1980-an gerakan belia khususnya sudah pun hampir wujud di setiap kampung, daerah dan negeri. Organisasi belia menjadi sebahagian daripada struktur sosial.

Menjelang tahun 1990-an beribu-ribu pertubuhan belia terbatal pendaftarannya kerana layu dan mati. Ada yang mengatakan tidak ada orang muda yang bersukarela mengambil alih kepemimpinan atau menghidupkan organisasi itu. Ada juga pemimpin lama yang enggan melepaskan kepimpinan sehingga organisasi belia menjadi hidup segan mati tak mahu.

Landskap belia juga berubah menjadi gejala sosial yang menggugat kesejahteraan negara seperti lepak, penyalahgunaan dadah, merokok, peningkatan jenayah dan sebagainya. Usaha pendidikan dan pembangunan remaja tidak menjadi agenda nasional. Golongan yang prihatin terhadap kesan perubahan sosial mendapati masalah remaja perlu ditangani segera.

Antara lain Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Biro Tata Negara (BTN) bergabung tenaga menganjurkan Kongres Patriotisme Negara pada akhir tahun 2002 di Esset Bangi, Selangor.

Kongres dua hari itu mengupas isu berhubung ketahanan nasional dan patriotisme. Gagasan mempertingkat dan memperkasakan patriotisme menjadi tunjang utama yang dibicarakan. Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri bersetuju dengan idea serta cadangan mengadakan program Khidmat Negara.

Bagaimanapun Perdana Menteri meyakinkan peserta kongres bahawa Khidmat Negara yang akan diperkenalkan tidak akan dilaksanakan seperti di Singapura.

Konsep Khidmat Negara di Singapura itulah yang pernah diamalkan di negara kita di tahun 1950-an dan l960-an, ia lebih dikenali sebagai kerahan tenaga atau kerahan negara.

Dengan konsep baru yang diperkenalkan oleh kerajaan, saya telah mencadangkan istilah Khidmat Negara supaya maksud serta pengisian programnya lebih mesra rakyat. Remaja dipilih untuk dilatih diri mereka menjadi warganegara yang bersedia berkhidmat untuk negara.

Dipersetujui

Cadangan daripada kongres ini dipersetujui oleh Kabinet. Di awal tahun 2003 sebuah Jawatankuasa Kabinet mengenai Khidmat Negara ini telah dibentuk dengan dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Najib Tun Razak. Jawatankuasa Kabinet ini menubuhkan beberapa jawatankuasa kecil meliputi aspek kurikulum, kewangan, perundangan dan logistik. Ketua Pengarah BTN, Datuk Dr. Nordin Kardi diberi tanggungjawab mengetuai kerja awalan penggubalan kurikulum Latihan Khidmat Negara.

Penggubalan latihan untuk jurulatih masing-masing diswastakan kepada syarikat swasta, manakala latihan jurulatih khidmat masyarakat dikendalikan oleh kumpulan NGO dan BTN mengendalikan latihan untuk jurulatih kenegaraan.

Jawatankuasa Kabinet ini akhirnya menetapkan empat modul latihan iaitu modul Fizikal, modul Kenegaraan, modul Pembinaan Watak dan juga modul Khidmat masyarakat.

Tempoh latihan juga ditetapkan selama tiga bulan. Latihan modul fizikal dilaksanakan di 41 buah kem yang disediakan selama 30 hari. Latihan selebihnya diadakan semasa peserta berada di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), ini termasuk pelaksanaan modul Khidmat Komuniti yang diadakan di luar IPTA.

Perancangan Program Latihan Khidmat Negara akhirnya diluluskan oleh Parlimen melalui Akta Latihan Khidmat Negara 2003 atau disebut Akta 628. Akta ini telah dibahaskan oleh wakil-wakil kerajaan dan pembangkang. Dalam mukadimah akta ini disebut: Suatu akta untuk mengadakan peruntukan bagi pendaftaran dan kehadiran orang bagi latihan Khidmat Negara di Malaysia berdasarkan falsafah Rukun Negara, untuk menubuhkan Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) bagi maksud latihan Khidmat Negara dan bagi perkara yang berkaitan dengannya dan bersampingan dengannya.

MLKN yang mengandungi 11 orang ahli diwujudkan di akhir tahun 2003, mesyuaratnya yang pertama ialah pada 15 Disember 2003. Kerja-kerja awalan diuruskan oleh Kementerian Pertahanan di bawah arahan Timbalan Ketua Setiausaha Pentadbiran merangkap Setiausaha Jawatankuasa Kabinet mengenai Khidmat Negara.

Tugas terawal ialah mengadakan latihan percubaan selama satu bulan di kem Dusun Minda Kuala Nerang dan juga UUM. Ini diikuti dengan penubuhan Jabatan Latihan Khidmat Negara. Hampir keseluruhan urusan operasi di kendalikan oleh Kementerian Pertahanan termasuk urusan logistik seperti mendapatkan kem-kem latihan, tender uniform, peralatan dan sebagainya.

MLKN sehingga kini telah mesyuarat sebanyak tiga kali dengan memutuskan beberapa dasar penting tentang isu penangguhan latihan, peraturan, dan menasihat dari aspek pemberian uniform dan juga urusan pengangkutan peserta. Setakat ini sebuah jawatankuasa naziran dibentuk oleh Majlis bagi memantau pelaksanaan aspek latihan khidmat negara.

Selepas semua ini bermula MLKN mungkin mewujudkan Jawatankuasa Kecil Logistik, Jawatankuasa Penambaikan Kurikulum Latihan, dan Jawatankuasa Kecil Kewangan dan Pentadbiran serta Jawatankuasa Penyelidikan dan Pembangunan. Dijangka dalam tahun 2004/5 ini, Majlis Latihan Khidmat Negara akan berfungsi sepenuhnya menurut seksyen 6 (1) dan (2) Akta 628 ini.

Majlis juga telah melantik Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) sebagai pihak berkuasa bagi maksud perjalanan peruntukan akta ini. JLKN ditubuhkan di bawah kuat kuasa Akta 628 ini. Seperti ahli Majlis, Ketua Pengarah dilantik oleh Yang di Pertuan Agong atas syor menteri.

Sejak penubuhan majlis, usaha menjelaskan lagi maklumat tentang Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) telah dibuat melalui media massa. Penjelasan demi penjelasan dibuat dan berjaya memberi keyakinan terhadap kebimbangan dan ketidakyakinan serta kekaburan konsep PLKN ini. Pihak media massa telah membantu memberikan gambaran sebenar latihan dan persiapan infrastruktur PLKN.

Pada hari ini bermulalah satu lagi agenda nasional apabila tidak kurang 26,000 peserta PLKN akan memulakan latihan di 41 buah kem di seluruh negara. Pada 22 Mac pula, dua lagi kumpulan peserta PLKN akan melaporkan diri di IPTA menjadikan seramai 85,000 peserta PLKN mengikuti latihan ini. Kumpulan pertama akan menamatkan latihannya pada bulan Mei manakala kumpulan dua dan tiga menamatkan latihan pada bulan Jun 2004.

Selain dari 41 buah kem, sebanyak 22 kampus IPTA digunakan bagi menjayakan PLKN ini. Daripada 8 buah IPTA yang terlibat, UiTM memberikan sumbangan terbesar apabila kampus cawangannya dijadikan pusat latihan PLKN.

Menjayakan

Bagi menyelaraskan pelaksanaan PLKN di IPTA, sebuah jawatakuasa penyelaras telah diwujudkan di peringkat kebangsaan dan juga kampus masing-masing. IPTA akan membantu menjayakan PLKN dari segi penyelarasan pengurusan, sajian, program latihan termasuk sukan dan rekreasi.

Di IPTA nanti pegawai-pegawai dari JLKN, BTN dan pengendali modul serta jurulatih terpilih akan bekerjasama sebagai satu pasukan bagi menentukan kelancaran PLKN semasa di IPTA. Semua IPTA diminta membuka Tabung PLKN khusus bagi mengendalikan urusan penerimaan dan bayaran berkaitan PLKN. IPTA dibekalkan dengan kemudahan bantal dan cadar untuk peserta PLKN, begitu juga alatan latihan Khidmat Komuniti. Malah kontena juga disewakan untuk IPTA bagi tujuan penyimpanan barangan berkaitan PLKN.

Keselamatan, kemudahan dan kebajikan peserta akan menjadi perhatian utama bagi jurulatih semasa PLKN ini dijalankan sama ada di kem-kem mahupun di IPTA. Di samping diberikan enam pasang uniform, elaun juga diberikan di samping makan minum.

Seramai 85,000 remaja yang menyertai PLKN ini akan menjadi pelopor sebuah agenda negara yang bertujuan memupuk dan memperkasakan semangat patriotisme, meningkat perpaduan kaum serta integrasi nasional, pemekaran golongan remaja yang berdisiplin dan membentuk masyarakat yang progresif serta menyemai dan mengukuhkan sikap positif para peserta PLKN.

- Kol. Prof. Datuk Dr. Ahmad Fawzi Mohd. Basri ialah Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) merangkap Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara.

Utusan Malaysia, Isnin 16/2/2004

No comments: